Tuesday 14 May 2013

PERSETUJUAN TERMAKLUM/ INFORMED CONSENT DAN KEBENARAN TERMAKLUM/ INFORMED ASSENT

Profesor Emiritus Dato'Dr Amir Awang

Dalam Kod Etika Persatuan Psikologi Amerika telah dimasukkan ENAM prinsip moral yang perlu dipatuhi oleh setiap psikologis dan kaunselor atau terapis yang ingin memberi perkhidmatan di peringkat inspirational.

Antara prinsip moral tersebut ialah melakukan apa yang termampu bagi memastikan yang perkembangan optimum klien tercapai, dan di samping itu kita diingatkan supaya tidak mengambil sebarang tindakan yng boleh mendatangkan kemudaratan kepada klien.
Ata kesedaran inilah para kaunselor telah diwajibkan supaya mendapat persetujuan termaklum atau kebenaran termaklum semasa melakukan penstrukturan di awal sesi kaunseling.

PERSETUJUAN TERMAKLUM

Melibatkan orang dewasa yang bebas/autonomous yang sudah menjangkau umur 18 tahun ke atas dan mempunyai keupayaan berfikir yang normal.  Mereka boleh membuat keputusan sendiri sama ada mahu atau tidak mahu memasuki sesi kaunseling

KEBENARAN TERMAKLUM

Adalah satu bentuk kebenaran memasuki sesi kaunseling yang dibuat oleh waris atau penjaga yang diluluskan oleh undang-undang bagi pihak kanak-kanak bawah umur.  Kebenaran termaklum juga diperlukan bagi orang dewasa yang tidak mempunyai keupayaan untuk memberi persetujuan termaklum secara sendiri lantaran ketidakupayaan tertentu.

Menurut Corey dan rakan-rakannya, ia merupakan salah satu cara yang terbaik untuk melindungi hak-hak klien.  Umumnya, klien handaklah diberikan maklumat yang cukup dan berterusan sama ada secara bertulis atau lisan mengenai:-
  • Apakah itu kaunseling/terapi?
  • Apakah matlamat kaunseling/terapi?
  • Apa yang akan kaunselor lakukan di dalam proses terapi?
  • Apa yang kaunselor harapkan daripada kliennya?
  • Apakah faedah dan risiko-risiko terapi?
  • Apakah kelayakan kaunselor?
  • Apakah bayaran-bayaran yang akan terlibat dan bagaimana bayaran dibuat?
  • Setakat mana sesuatu proses terapi itu boleh diramal?
  • Apa erti kerahsiaan dan apakah batasan-batasannya?
  • Apakah nlai-nilai peribadi kaunselor?
  • Dalam keadaan bagaimanakah kaunselor diwajibkan membuat laporan?
  • Apakah rujukan dan bagaimana dan kepada siapa rujukan akan dilakukan?
  • Apakah hak klien dan kaunselor untuk menamatkan terapi?
  • Apa yang mesti dilakukan di dalam masa kecemasan atau ketidakupayaan kaunselor/klien?
Dan banyak lagi yang tidak semestinya disampaikan sedikit demi sedikit.  Malah boleh di buat scara bahagian demi bahagian.  

DILEMA KAUNSELOR

Berapa banyakkah maklumat yang harus disampaikan terutama dalam sesi pertama.  Pengalaman akan mengajar terapis amaun yang optimum, serta memilih perkara-perkara yang lebih penting dahulu, dan menambah yang lain kemudiannya.

Maklumat yang perlu  disampaikan kepada klien boleh diberi secara verbal/lisan atau lebih baik secara bertulis, kerana secara bertulis klien mempunyai peluang untuk mendapat penjelasan jika isi yang disampaikan itu kurang jelas.  Sayugia ditekankan bahawa bahasa yang digunakan hendaklah simple and straight foward, "culturally sensitive", tersusun dengan baik dan hendaklah mudah difahami,  hatta oleh klien bawah umur.
Persetujuan termaklum ini bukanlah sesuatu yang dibuat sekali sahaja, malah ia merupakan suatu proses yang berterusan sepanjang perhubungan menolong wujud, kerana ia mempunyai kaitan dengan isu dan persoalan yang akan  ditimbulkan.

TUJUAN PT/KB


  • Untuk mendorong klien supaya lebih terlibat dan komited dalam proses terapi
  • Untuk menjadikan klien lebih terdidik dan lebih termaklum akan apa yang akan berlaku, kenapa ia berlaku dan kemana ia menuju;
  • Untuk menjadikan klien seorang yang lebih bersedia untuk memberikan kerjasama yang optimum kerana ia sudah faham apa yang akan berlaku di dalam sesi kaunseling.
  • Untuk memastikan yang klien membuat keputusan dengan mata yang terbuka yakni dengan maklumat yang mencukupi.
TIGA ASPEK PERSETUJUAN TERMAKLUM YG BERKAITAN DGN UNDANG-UNDANG:-


  • Klien hendaklah mempunyai keupayaan untuk membuat keputusan atau memberi persetujuan (capacity to make decision)
  • Klien hendaklah benar-benar faham akan isi atau perkara yang dinyatakan oleh terapis (comprehension of information)
  • Klien tidak dipaksa untuk memberi persetujuan ini. (voluntariness)
APA YANG HARUS DIMASUKKAN DALAM PERSETUJUAN TERMAKLUM

Salah satu tujuan utama dalam pertemuan pertama ialah membina hubungan/rapport, supaya wujud iklim/suasana rasa selamat dan selesa.
Memandangkan amaun dan jenis maklumat yang perlu disampaikan di dalam pertemuan pertama ini sering memeningkan terapis, eloklah terapis tidak terlalu runsing tentang hal ini, walaupun biasanya mereka bimbang akan didakwa.  Fokuslah kepada apa yang difokuskan oleh klien, minatnya, dan soalan-soalan yang dikemukakannya.  Namun begitu sebagai panduan,  Corey et al. telah menyenaraikan perkara-perkara berikut untuk dijadikan bahan persetujuan termaklum.


  • Proses Terapi
  • Latarbelakang Terapis
  • Kos yang terlibat dalam terapi
  • Jangkamasa terapi dan penamatan
  • Perundingan dengan rakan sejawat
  • Gangguan di dalam terapi
  • Faedah dan risiko rawatan
  • Alternatif kepada terapi tradisional
  • Sesi merakam secara audio atau video
  • Hak klien untuk melihat failnya
  • Hak berhubung klasifikasi diagnosis
  • Sifat dan tujuan kerahsiaan
PROSES TERAPI
Jelaskan apa yang akan berlaku dalam proses terapi, termasuk perubahan-perubahan pada diri klien, yang kadang-kadang menimbulkan keresahan.  Walau bagaimanapun, klien hendaklah faham mengenai prosedur dan matlamat terapi dan tahu yang mereka mempunyai hak untuk tidak mahu melibatkan diri dalam teknik-teknik tertentu.

LATARBELAKANG KAUNSELOR
Terapis boleh memberikan maklumat mengenai latihan dan pendidikan mereka, sijil-sijil yang terdapat di dalam bilik, lesen, sebarang kemahiran khas, orientasi teori mereka, jenis-jenis klien dan masalah yang mereka rasa boleh kompeten, serta masalah -masalah yang mereka tidak boleh kendalikan.  Jika terapis seorang pelatih, ia hendaklah memberitahu kliennya yang dia seorang kaunselor pelatih, dan jika dia akan diselia oleh penyelianya, itupun perlu diberitahu.  dengan cara ini setidak-tidaknya salahamalan atau malpractice dapat dikurangkan

KOS YANG TERLIBAT
Klien hendaklah diberitahu kos yang akan terlibat, cara kos itu akan dikenakan dan jika ada kemungkinan perubahan pada jumlah kos, klien hendaklah diberitau.  Klien juga perlu dimaklumkan cara kos ini akan diperolehi.  Jika wujud pro bono, klien hendaklah diberitahu.

JANGKA MASA/TEMPOH TERAPI DAN PENAMATAN
Terapis hendaklah memberitahu klien jangkaan tempoh masa rawatan.  Namun demikian, klien berhak menamatkan rawatan pada bila-bila masa, dengan syarat penamatan itu dilakukan secara teratur.  Dalam keadaan biasa pun terapis hendaklah menjelaskan prosedur penamatan supaya ianya berlaku dengan licin dan memberi manfaat kepada klien.  Mengenai jangka masa/tempoh rawatan dan penamatan di negara-negara maju, dan mungkin di sesetengah bandar di Malaysia, pihak ketiga/insuran/majikan yang membayar mungkin telah membuat ketetapan tertentu dari segi bilangan sesi yang dibolehkan, atau jumlah fi yang akan ditanggung.  Hal ini mestilah jelas kepada kedua-dua belah pihak bagi menghindari isu-isu yang kurang menyenangkan.

PERUNDINGAN DENGAN RAKAN SEJAWAT
Klien hendaklah diberitahu yang ada kalanya kesnya dibincang dengan rakan-rakan sejawat dengan tujuan untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepadanya.

GANGGUAN TERHADAP PROSES TERAPI
Kadang-kadang proses terapi terganggu lantaran sesuatu kecemasan ataupun sesuatu rancangan percutian.  Dalam hal ini, adalah menjadi obligasi terapis untuk menjelaskan kepada kliennya semasa melakukan penstrukturan langkah-langkah yang berkaintan dengan kecemasan atau jika ia merancang untuk bercuti, terapis gantian yang disetujui secara bertulis oleh klien bagi mengelak daripada klien merasa dirinya ditinggalkan (abandoned)

FAEDAH DAN RISIKO RAWATAN
Klien hendaklah diberitahu tentang faedah dan risiko yang berkaitan dengan sesuatu program rawatan.  Klien hendaklah juga diberitahu yang terapis hanya berusaha sedaya upaya yang dapat, tanpa memberi jaminan tentang sembuhnya simptom yang dialami oleh klien.  Jika terapis mengguna sesuatu pendekatan baru yang berbeza  daripada amalan tradisional, klien hendaklah diberitahu baik buruknya dan juga risiko-risiko yang berkaitan dengannya.


ALTERNATIF KEPADA TERAPIS KONVENSIONAL

Klien hendaklah diberitahu tentang kaedah-kaedah rawatan alternatif yang yerdapat ditempatnya, seperti program pengurusan stress, pengurusan kemarahan, relaksasi dan sebagainya.  Maklumat ini bolehlah disampaikan secara bertulis, secara rakaman audio atau video atau semasa pendaftaran.  Terapis tidak harus bimbang akan kehilangan punca rezekinya jika maklumat seperti ini didedahkan, kerana biasanya, klien akan tetap memilih terapis yang ditemuinya.

RAKAMAN AUDIO ATAU VIDEO
Jika rakaman hendak dibuat, klien hendaklah diberitahu dan persetujuannya diperolehi.  Dalam menyatakan hasrat ini, terapis hendaklah menjelaskan sebab mengapa rakaman perlu dibuat.  Adakah untuk membolehkan terapis mendengar semula sesi, atau untuk digunakan dalam perbincangan dengan penyelia jika ia seorang kaunselor pelatih, ataupun digunakan untuk perbincangan dengan rakan profesionalnya.  Perkara ini hendaklah dilakukan di awal sesi dan persetujuan klien diperolehi terlebih dahulu sebelum rakaman dibuat.

HAK KLIEN UNTUK MELIHAT FAILNYA
Nota kes klien disedia dan disimpan di tempat yang selamat untuk faedah klien yang mempunyai hak undang-undang untuk melihatnya.  Dalam hal initerdapat terapis yang kurang senang dengan hak ini, kerana bimbang klien tidak faham atau salah faham akan maksud catatan yang dibuat.  Oleh yang demikian nota kes ini hendaklah ditulis secara deskriptif tanpa elemen penilaian dengan mengunakan bahasa yang jelas dan tidak taksa (ambiguous). Terapis harus sedar bahawa nota kes ini amat perlu ditulis secara profesional kerana ia boleh digunakan di dalam prosiding undang-undang serta mengelak daripada salahamalan.

HAK BERHUBUNG DENGAN KLASIFIKASI DIAGNOSIS
Salah satu rintangan atau objection oleh sesetengah terapis terhadap perkongsian maklumat fail dengan klien ialah kerana ia mengandungi maklumat mengenai diagnosis, yang mungkin tidak difahami oleh klien dan mungkin menjadi suatu stigma kepadanya.  Diagnosis biasanya jarang diberikan kepada klien atas sebab-sebab yang dinyatakan di atas.  Malangnya maklumat ini akan dikongsikan dengan berbagai-bagai pihak, sedangkan klien sendiri tidak mengetahuinya.  Dari segi etika, ini kurang adil.


SIFAT DAN TUJUAN KERAHSIAAN

Klien hendaklah diberi pendedahan yang cukup mengenai kerhsiaan dan batasan-batasannya, komunikasi privilej dan privasi, kerana dengan cara begini klien akan tahu apa akan terjadi kepada apa yang dikongsikan dengan terapisnya.  Dengan cara ini juga kepercayaan yang menjadi tulang belakang kepada sesuatu perhubungan baik antara terapis dengan klien akan wujud.

KLIEN HENDAKLAH JUGA DIBERITAHU BATASAN-BATASAN KERAHSIAAN YANG TERDIRI DARIPADA SALAH SATU ATAU GABUNGAN PERKARA-PERKARA BERIKUT:
  • Jika klien berniat atau merancang untuk mendatangkan kemudaratan kepada dirinya.
  • Jika klien berniat atau merancang untuk mendatangkan kemudaratan kepada orang awam
  • Jika klien berniat atau merancang untuk mendatangkan kemudaratan kepada harta benda sendiri atau harta benda awam.
  • Jika klien mengidap penyakit HIV/AIDS
  • JIka terapis diarahkan oleh mahkamah
  • Jika klien menyaman terapis
  • Jika klien mengambil tindakan undang-undang untuk membuat tuntutan gantirugi
  • JIka terdapat Statut atau undang-undang yang memerlukan pendedahan ini seperti Akta Keganasan Rumahtangga atau Akta Keganasan Terhadap Kanak-kanak.
Selain daripada itu, klien hendaklah diberitahu bahawa maklumat yang dikongsinya dengan terapis boleh dikongsi dengan pihak-pihak tertentu demi untuk memberikan perkhidmatan yang kompeten kepada klien.  Keadaan-keadaan yang mengizinkan perkongsian maklumat rahsia adalah seperti berikut:
  • Apabila kita sendiri memberi izin
  • Apabila bayaran Fi dan peraturan undang-undang lain memerlukan maklumat
  • Apabilaa maklumat klien diuruskan oleh pegawai kerani
  • Apabila kaunselor berunding dengan pakar-pakar dan rakan sejawat.
  • Apabila kaunselor pelatih diselia
  • Apabila profesional kesihatan mental lain memohon maklumat dan klien memberi izin
  • Apabila profesional lain terlibat di dalam pasukan rawatan.

No comments:

Post a Comment

Keajaiban Menderma

  Dalam 1 program TV di Amerika, pengacara siaran tersebut mengiklankan tentang seorang pesakit yang memerlukan pembedahan segera yang berha...