Saturday 24 August 2013

TAUBAT ABU LUBABAH



Kaum Yahudi Bani Quraizah telah mengkhianati perjanjian mereka dengan Rasulullah s.a.w., iaitu ketika Peperangan al-Khandaq mereka bersekongkol dengan musyrikin Quraisy yang telah membentuk suatu pakatan yang dinamakan al-Ahzab untuk menyerang Madinah. Sebagai warga Madinah yang telah mematerai perjanjian untuk sama-sama mempertahankan kedaulatan Madinah, sepatutnya Yahudi Bani Quraizah bersama-sama dengan Nabi s.a.w. dan umat Islam menghadapi ancaman musuh dari luar. Namun sebaliknya mereka bertindak memungkiri perjanjian dan berpihak kepada musuh.

Selesai peperangan Khandaq dengan kemenangan yang nyata atas pertolongan Allah Yang Maha Kuasa, Nabi s.a.w. segera berangkat ke perkampungan Bani Qurazah dan mengepung mereka selama 15 hari 15 malam secara berterusan sehingga mereka benar-benar rasa tertekan dan tidak sanggup lagi bertahan di dalam kubu-kubu mereka.

Mereka meminta supaya Rasulullah s.a.w. menghantar seorang utusan untuk berunding. Mereka sendiri memilih Abu Lubabah bin Abd al-Mundzir r.a., seorang sahabat dari kalangan Ansar, suku Aus.

Kenapa mereka memilih Abu Lubabah?

Abu Lubabah merupakan sekutu mereka pada zaman jahiliah. Mereka beranggapan, kemungkinan mereka dapat berbincang, mencari persefahaman dan menagih simpati kerana hubungan yang rapat dengannya sejak dahulu.

Ketika itu, Rasulullah s.a.w. telah membuat keputusan akan membunuh Bani Quraizah lantaran pengkhiatan mereka yang sangat besar. Mereka telah merancang untuk membuka jalan kepada Quraisy supaya memasuki Madinah dan menghapuskan umat Islam yang berada di Madinah hingga ke akar umbinya.

Atas permintaan mereka, Rasulullah s.a.w. bersetuju untuk menghantar Abu Lubah. Rasulullah s.a.w. berpesan kepada Abu Lubabah supaya merahsiakan keputusan yang telah dibuat kerana jika mereka mengetahui keputusan itu, mereka tidak akan membuka pintu-pintu pagar mereka. Mereka akan terus berada di dalam kubu-kubu mereka yang besar itu. Kubu mereka lengkap dengan bekalan air dan makanan dan boleh bertahan berbulan-bulan. Dengan itu kepungan akan memakan masa lebih lama.

Abu Lubabah pun pergi melaksanakan misinya bertemu dan berunding dengan Bani Quraizah. Apabila melihat Abu Lubabah datang, kaum lelaki berdiri menyambutnya, wanita dan kanak-kanak mengerumuninya sambil menangis teresak-esak di hadapannya. Abu Lubabah yang mempunyai hubungan rapat dengan mereka sejak sekian lama sangat tersentuh dengan apa yang berlaku di hadapan matanya. Mereka berkata kepadanya:
“Wahai Abu Lubabah, pada pendapatmu adakah kami mesti tunduk kepada keputusan Muhammad?” Abu Lubah menjawab dengan lidahnya, “Ya. Tunduklah kepada keputusannya.” Pada masa yang sama dia membuat isyarat dengan tangannya, meletakkan tangan di lehernya yang membawa maksud bahawa keputusan Rasulullah s.a.w. adalah mereka akan dibunuh.

Dia telah membuka rahsia Rasulullah s.a.w., mengkhianati janjinya dengan pemimpinnya. Satu jenayah yang sangat besar dilakukan oleh seorang sahabat dari kalangan Ansar, seorang yang telah mencipta nama yang cukup hebat dalam sejarah Islam sebelum ini.

Abu Lubabah menceritakan pengalaman pahitnya:

“Maka demi Allah, dua tapak kakiku belum lagi berganjak dari tempat ia berpijak, aku telah menyedari bahawa sesungguhnya aku telah mengkhianati Allah dan RasulNya!”

Abu Lubabah benar-benar menginsafi bahawa dia telah melakukan satu dosa yang sangat besar. Tanpa bertangguh, dia terus meluru keluar dari tempat itu. Bukan pulang ke rumah, bukan juga ke rumah Rasulullah s.a.w. Sebaliknya dia terus ke masjid. Dia mengikat dirinya di satu tiang daripada tiang-tiang masjid. Dia berkata: “Aku tidak akan tinggalkan tempat ini selagi Allah tidak mengampunkan dosa yang telah aku lakukan”

Berita mengenai Abu Lubabah yang mengikat dirinya di tiang masjid dan sumpahnya tidak akan tinggalkan tempat itu selagi dosanya tidak diampunkan sampai ke pengetahuan Nabi s.a.w. Baginda mengulas perbuatan itu dengan bersabda (maksudnya): “Kalaulah dia datang menemuiku, nescaya aku akan memohon ampun untuknya. Namun, dia telah buat apa yang dia buat, maka aku tidak boleh melepaskannya sehingga Allah mengampuninya.”

Abu Lubabah r.a. ada pilihan untuk pergi bertemu Rasulullah s.a.w. meminta maaf dan memohon supaya Rasulullah s.a.w. meminta agar Allah ampunkan dosanya. Atau dia pulang ke rumah bertaubat dan memohon ampun kepada Allah. Siapa yang tahu akan dosanya? Namun dia memilih untuk menghukum dirinya di atas satu kesalahan yang sememangnya sangat besar. Dia tidak peduli orang akan melihatnya terikat di tiang masjid, dia tidak peduli berapa lama dia akan berada dalam keadaan begitu. Yang penting, dia sungguh-sungguh ingin bertaubat dan dia mahu Allah benar-benar menerima taubatnya. Selama enam hari berturut Abu lubabah terikat di tiang masjid. Setiap kali masuk waktu solat, isterinya akan datang membuka ikatan untuk membolehkan dia menunaikan solat berjamaah. Selepas itu dia kembali kepada ikatannya semula.

Genap enam hati turunlah wahyu yang dinanti. Di waktu dinihari yang hening wahyu turun kepada Nabi s.a.w. Ketika itu baginda bermalam di rumah Ummul-Mukminin, Ummu Salamah r.a.

Ummu Salamah menceritakan detik yang bersejarah itu:

"Saya mendengar Rasulullah s.a.w. tertawa di waktu dinihari." Baginda begitu gembira menerima wahyu yang menyatakan Abu Lubabah telah diampunkan. Betapa kasihnya Baginda kepada Abu Lubabah dan kepada sahabat seluruhnya. Ummu Salamah r.a. yang belum mengetahui punca Baginda tertawa telah bertanya, apakah yang menyebabkan suami tercinta tertawa di waktu yang bening itu?

Baginda s.a.w. menjawah: “Sesungguhnya Abu Lubabah telah diampunkan!”

Ummu Salamah turut tidak dapat menahan rasa gembiranya dan ingin mengambil peluang menyampaikan khabar gembira itu kepada Abu Lubabah yang sedang terikat di tiang masjid.

Ummu Salam berkata kepada Nabi s.a.w.: “Bolehkah saya sampaikan berita gembira ini kepadanya ya Rasulullah?”

Baginda menjawab: “Silakan jika engkau mahu.”

Peristiwa ini berlaku sebelum difardhukan hijab ke atas isteri-isteri Nabi s.a.w.

Dengan keizinan daripada Rasulullah s.a.w. itu Ummu Salamah berdiri di pintu rumahnya - semua pintu rumah isteri-isteri Nabi s.a.w. menghala ke masjid – sambil berkata: “Wahai Abu Lubabah, bergembiralah! Sesungguhnya Allah telah mengampunimu.”

Pengumuman itu bukan saja didengari oleh Abu Lubabah, malah turut mengentuk gegendang telinga sahabat-sahabat yang lain. Mereka segera berduyun-duyun mendapatkan Abu Lubabah mengucap tahniah dan ingin segera membuka ikatannya. Namun Abu Lubabah tidak mahu tali itu dibuka oleh sesiapa kecuali Rasulullah s.a.w.

Menjelang azan Subuh, Rasulullah s.a.w. keluar ke masjid untuk menunaikan solat Subuh. Maka Baginda s.a.w. membuka ikatan Abu Lubabah sebelum menunaikan solat.

Sumber:
http://islamstory.com/ar/

No comments:

Post a Comment

Keajaiban Menderma

  Dalam 1 program TV di Amerika, pengacara siaran tersebut mengiklankan tentang seorang pesakit yang memerlukan pembedahan segera yang berha...