Wednesday 9 April 2014

DEMAM

.DEMAM –
 TANDA BADAN ANAK ANDA MELAWAN PENYAKIT.
APABILA anak demam dan suhu badan meningkat mendadak, ramai ibu bapa tidak boleh tidur malam. Perasaan risau, serba salah dan bimbang bercampur aduk, apatah lagi jika berlaku pada pasangan muda yang baru menimang cahaya mata serta tidak tahu bagaimana hendak mengurangkan penderitaan si kecil.

Demam adalah masalah kesihatan biasa yang berlaku pada kebanyakan kanak-kanak. Walaupun kadangkala membimbangkan, ia sebenarnya menandakan badan mereka melawan jangkitan atau keradangan yang disebabkan bakteria atau virus.

Apabila demam, sel darah putih pesakit akan cuba melawan bakteria atau virus dengan mengeluarkan bahan kimia yang menaikkan suhu badan.

Peningkatan suhu badan ini sebenarnya cara membunuh kuman, tetapi ia juga boleh menyebabkan anak anda demam.
Bagaimanapun, dalam risalah keluaran Panadol, perunding paediatrik, Dr Khoo Phaik Choo, berkata demam itu bukan satu penyakit, tetapi ia menjadi petanda atau amaran kepada penyakit lain iaitu daripada sakit tekak hinggalah kepada jangkitan demam denggi.

Ramai beranggapan lebih tinggi suhu badan, demamnya semakin berbahaya. Namun tanggapan ini kurang tepat kerana suhu tinggi tidak semestinya bermakna anak anda lebih sakit berbanding suhu lebih rendah.

“Suhu badan tidak boleh dijadikan pengukur kesakitan anak. Cara lebih tepat ialah melihat keadaan dan tindak balasnya. Jika anak anda tidak menangis, tidak banyak kerenah dan masih ada selera makan, kemungkinan mereka tidak menghadapi masalah yang perlu dirisaukan.

“Sebaliknya, masalah mungkin serius jika mereka menunjukkan tanda terlalu lesu, lemah dan tidak bermaya serta muntah secara berlebihan,” katanya.
Malah, suhu badan tinggi masih tidak dianggap demam hinggalah ia mencecah 37.5 darjah Celsius (100 darjah Farenheit) atau lebih tinggi. Suhu badan normal ialah 37 darjah Celsius (98.6ºF) dan paras ini turun naik sepanjang hari.

Katanya, suhu badan juga bergantung kepada waktu ia diambil dan kelasakan si kecil. Justeru, ibu bapa disaran menyimpan jangka suhu (termometer) di rumah supaya lebih mudah mengukur suhu badan anak dengan tepat, dan bukan berdasarkan sentuhan tangan saja.
Ukuran suhu badan anak kecil biasanya diambil di bawah lengan (ketiak) atau telinga. Ukuran suhu badan yang diambil di bawah lengan adalah 0.5 darjah lebih rendah daripada suhu yang diambil pada telinga.

Malah, ia juga perlu diukur beberapa kali untuk melihat perubahan suhu badan anak. Ukuran tepat ini dapat membantu doktor mengenal pasti masalah kesihatan anak anda jika demamnya berterusan.

Walaupun ramai ibu bapa resah apabila anak demam, ada juga yang mengambil sikap tunggu dan lihat sama ada keadaan menjadi bertambah buruk atau sebaliknya sebelum memberikan ubat. Ini terpulang kepada penilaian masing-masing.

Kaedah melawan demam
Demam biasanya membuat kanak-kanak berasa resah, tidak selesa dan meragam. Jika ia berlaku, Dr Khoo menasihatkan anda melakukan kaedah di bawah untuk membuatkan anak berasa lebih selesa dengan cepat dan dapat melawan demam.

Beri si manja minum banyak air masak. Demam menyebabkan kanak-kanak banyak kehilangan air dalam badan, dan demam yang berpanjangan boleh mengakibatkan penyahidratan atau kekurangan air dalam badan.

Bantu anak untuk berasa selesa. Kanak-kanak yang demam mungkin berasa letih, lesu dan kurang selera makan. Bagaimanapun, semua ini gejala sementara dan mereka akan pulih seperti biasa sebaik demamnya sembuh. Ketika ini, pakaikan si manja dengan baju daripada fabrik nipis dan ringan yang mempunyai aliran udara baik.

Jangan paksa anak anda makan. Secara umumnya orang yang demam kurang selera makan dan ia juga berlaku pada kanak-kanak. Biarkan mereka menentukan bila dan apa yang ingin dimakan.

Timbangkan pemberian ubat. Pemberian parasetamol seperti diarahkan doktor adalah langkah selamat. Ia boleh membantu membuat kanak-kanak lebih selesa dengan mengurangkan demam dan melegakan pelbagai kesakitan atau ketidakselesaan fizikal lain yang dialaminya.

Ubat paling kerap digunakan untuk melawan demam di kalangan kanak-kanak ialah parasetamol. Oleh kerana parasetamol adakalanya disyorkan bersama antibiotik, penggunaannya menimbulkan beberapa kekeliruan.

Paracetamol ialah ubat pelega kesakitan dan berbeza daripada antibiotik dalam dua cara:
Pertama, antibiotik tidak berkesan menentang demam yang disebabkan jangkitan virus. Sebaliknya, parasetamol adalah ubat pelega kesakitan atau analgesik yang berkesan untuk menentang segala demam, walau apa pun puncanya.

Biasanya doktor tidak mengesyorkan pemberian aspirin kepada kanak-kanak kerana ia dikaitkan dengan sindrom Reye, iaitu penyakit ganjil tetapi serius yang menjejaskan otak dan hati bayi dan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun.

Kedua, ubat antibiotik yang disyorkan mesti diambil semuanya mengikut preskripsi untuk mengekalkan keberkesanannya. Tindakan tidak menghabiskan antibiotik ini boleh menghasilkan bakteria lebih berdaya tahan dan menyebabkan jangkitan berulang.

Bagaimanapun, parasetamol bukan antibiotik, jadi isu ketahanan bakteria tidak timbul. Malah, ia digunakan lebih 50 tahun, terbukti selamat, tidak merengsakan perut dan memberikan kesan konsisten.
“Kanak-kanak bukan saja kerap jatuh sakit, malah serangan biasanya berlaku tanpa diduga. Jadi, anda boleh menyimpan ubat demam seperti parasetamol di rumah untuk memudahkan anda mengurus demam anak yang boleh menyerang bila-bila masa.

“Dos yang betul bergantung kepada usia dan berat badan anak. Baca arahan pada label botol dengan teliti dan dapatkan nasihat doktor untuk memastikan dos yang betul,” katanya.
Sudu sukatan, cawan sukatan atau picagari dapat membantu memastikan anak anda mendapat jumlah ubat secukupnya. Elakkan penggunaan sudu biasa yang digunakan di rumah kerana saiznya tidak seragam.

Menjaram atau meletakkan tuala sejuk di atas dahi anak boleh mengurangkan demam. Pakaian longgar daripada fabrik yang ringan dan tuala sejuk yang diletakkan di bawah lengan atau pangkal paha boleh menyokong keberkesanan ubat menurunkan suhu badan.
Selain itu, ibu bapa dinasihatkan supaya sentiasa membaca label sebelum memberikan ubat pelega demam kepada anak. Label atau risalah memberi penerangan mengenai:
Kekuatan atau kepekatan produk.
Bagaimana dan bila anda patut menggunakan produk.
Berapa banyak perlu diambil dan berapa lama.
Bila anda patut mendapatkan nasihat doktor.
Cara terbaik untuk menyimpan ubat.

Meskipun demam boleh menimbulkan kebimbangan, kebanyakan kanak-kanak akan sembuh dalam sehari dua. Rehat secukupnya dan bantuan ubat, kanak-kanak boleh kembali cergas dengan cepat.

ANTARA FAKTA YANG PERLU DIKETAHUI MENGENAI DEMAM
Suhu badan normal biasanya 37 darjah Celsius.
Ukuran suhu badan anak kecil biasanya diambil menerusi bawah lengan (ketiak) atau telinga. Ukuran suhu badan yang diambil di bawah lengan adalah 0.5 darjah lebih rendah daripada suhu yang diambil menerusi telinga.

Demam tinggi tidak semestinya menandakan keseriusan penyakit.
Demam dialami kanak-kanak sihat yang sembuh dalam tiga atau empat hari tidak harus menimbulkan kebimbangan.

Sumber : Alpha Lipid Lifeline

Keajaiban Menderma

  Dalam 1 program TV di Amerika, pengacara siaran tersebut mengiklankan tentang seorang pesakit yang memerlukan pembedahan segera yang berha...