Saturday 14 May 2016

KISAH SI TUKANG BESI


Di sebuah kampung yang kecil, terdapat seorang tukang besi dikenali sebagai Abu al-Yusr. Ketika dia menempa besi untuk menjadikan sesuatu, dia memanaskan besi dengan api kemudian membentuk besi tersebut dengan tangannya tanpa berlapik. Orang ramai yang melihatnya sangat kaget dan hairan, bagaimana dia boleh memegang besi yang sangat panas dan tangannya tidak terbakar atau melecur sedikitpun? 


Mereka bertanya, bagaimana dia boleh memegang besi yang panas itu? Dia menjawab, bahawa itu terjadi berkat doa seorang wanita solehah. Lalu dia menceritakan kisahnya dengan panjang lebar. Katanya:

Sewaktu muda dahulu aku menghabiskan usia dengan berniaga. Aku mempunyai sebuah kedai di suatu kampung kecil seperti ini. Kebanyakan penduduknya adalah faqir. Aku pula memiliki harta yang banyak dan perniagaan aku sangat laris.

Jiran aku adalah seorang wanita cantik. Dia sangat miskin dan hidupnya susah. Suatu hari, dia datang ke kedaiku untuk meminjam wang buat membeli makanan. Aku bersetuju untuk memberikan apa yang dia minta dengan syarat dia membenarkan aku menidurinya. Lantas diapun berkata "kalau itu syaratnya, tidak mengapa, aku sanggup berlapar"

Pergilah dia mencari seseorang yang boleh menolongnya. Beberapa hari berlalu, tidak ada juga insan yang mampu menolongnya. Dia kembali semula kepadaku dalam keadaan yang amat menyedihkan, dan berkata "sudah beberapa hari aku tidak makan, berikan aku sedikit wang demi engkau mendapatkan keredhaan Allah" namun aku tetap meletakkan syarat yang sama. Dia tetap menolak syaratku dan pulang dalam keadaan hampa.

Apabila keadaan bertambah mendesak, dia datang sekali lagi merayu-rayu meminta tolong dan berkata "berikan aku sedikit wang demi engkau mendapatkan keredhaan Allah" lalu aku sangat terharu akan sikap perempuan itu dan berkata "Engkau dalam keadaan yang sangat lapar namun engkau tetap dapat menahan nafsumu, sedangkan aku dalam keadaan kenyang dan tidak dapat menahan nafsuku, demi keredhaan Allah, ambillah apa yang engkau inginkan"

Tak terkira gembiranya dia. Dengan segera dia mengangkat tangan ke langit dan berdoa, “Ya Allah, ya Tuhanku! Jika dia benar ingin mendapatkan keredhaanMu maka Haramkan ke atasnya api di dunia dan akhirat!”

Kemudian dia mengambil sekadar memenuhi keperluannya dan terus keluar.

Berkat doa perempuan solehah itu Abu al-Yusr diharamkan olehnya api didunia dan
akhirat
.

source : Blog Sri Embun.

Sunday 8 May 2016

MENGURUSKAN DAN MEMAHAMI REMAJA DAN DIRI ANDA SEBAGAI IBU BAPA

 Image result for keluarga bahagia
Kemahiran Gaya Keibubapaan   
Tanpa latihan mendidik anak, ibu bapa mungkin cenderung ke arah tindakan ekstrem  
Kemahiran gaya keibubapaan yang dipraktikkan oleh ibu bapa terhadap anak mereka secara tidak langsung mempengaruhi perkembangan anak-anak tersebut. Berdasarkan kajian oleh Diana Baumrind, beliau telah mengenalpasti tiga jenis  gaya keibubapaan yang utama dan bentuk-bentuk tingkah laku yang terhasil  berdasarkan kepada setiap gaya keibubapaan ini (Baumrind 1971; Baumrind & Black, 1967).


Gaya keibubapaan yang dimaksudkan ialah:  

a) Gaya keibubapaan autoritatif:
Ibu bapa autoritatif bersifat tegas namun sedia  mendengar pandangan anak-anak mereka. Ibu bapa juga sedia bertolak ansur mengikut keadaan dan anak-anak pula dididik dengan penuh kemesraan. Kesannya anak-anak dapat menikmati kehidupan dan mempunyai motivasi yang tinggi. Ini adalah gaya keibubapaan yang terbaik. 

b)  Gaya keibubapaan autoritarian:
Ibu bapa sedemikian bersifat tidak bertolak ansur, mengenakan kawalan yang ketat, menentukan peraturan keluarga yang perlu dipatuhi tanpa membenarkan mereka mempersoalkannya, menggunakan kaedah disiplin yang bersifat hukuman dan setiap keputusan yang dibuat oleh para ibu bapa tidak boleh dibantah. Kesannya hubungan akan lebih renggang di antara ibu bapa dan anak-anak serta lebih untuk tidak mempercayai dan berpuas hati. Selain itu, kanak-kanak perempuan lebih bergantung kepada ibu bapa manakala kanak-kanak lelaki cenderung bersikap agresif. 

c)  Gaya keibubapaan permisif:
Ibu bapa memberikan kebebasan sepenuhnya kepada anakanak mereka tanpa ada kawalan. Ibu bapa lebih kepada memenuhi keperluan anak-anak mereka. Mereka juga tidak membentuk peraturan keluarga yang jelas dan tidak menerangkan antara tingkah laku yang baik dan sebaliknya. Ibu bapa yang menggunakan cara gaya keibubapaan ini akan membentuk sifat kurang matang, kurang kawalan diri, kurang tanggung jawab sosial dan kurang keyakinan diri pada anak-anak mereka.  

Apa Yang Ibu Bapa Boleh Lakukan 

Ibu Bapa Sebagai “Role Model”
Ibu bapa adalah “role model” untuk remaja. Remaja mempelajari secara berkesan melalui peniruan dan pemerhatian. Bersikap negatif seperti panas baran, mendera, mementingkan diri memaki hamun memberi kesan psikologi remaja. Adalah tidak mustahil jika remaja sendiri mempunyai sifat-sifat sedemikian memandangkan pengaruh yang diterima.
   Kenali Rakan Anak
Buangkan rasa malu atau ego untuk mengenali rakan-rakan anak anda.  Cara ini memberitahu anda dengan siapa anak anda berkawan. Bonus kepada anda jika anda mengetahui seperti nama, keluarga, tempat tinggal serta tingkah laku mereka. Jika perlu, luangkan masa lapang anda seperti anda turut bersama hadir ke majlis rakan anak anda. Malah adalah tidak menjadi suatu kesalahan bagi ibu bapa untuk menganggap rakan-rakan anak mereka seperti rakan mereka sendiri.  

Sentiasa Berhubung Dengan Guru Anak Anda
Sentiasa berhubung dengan guru sekolah anak anda mengenai perkembangan anak. Cara ini membolehkan guru akan memberitahu anda seawal mungkin jika anak anda dikesan bermasalah. 

Kualiti Masa 
Berbual kosong dengan anak sahaja adalah tidak memadai. Fikirkan bagaimana anda memaksimakan masa bersama dengan anak itu benar-benar berkualiti. Misalnya sedia mendengar apa jua ingin diberitahu oleh anak atau luangkan masa membantu anak dalam apa-apa pun. Sara Gable (2000) berpendapat bahawa ibu bapa dan anak-anak yang sejahtera sering berkomunikasi mengenai pelbagai perkara dan bukan hanya apabila wujudnya konflik. Berbincang dan mencari penyelesaian bersama dapat mengatasi atau mengurangkan tekanan yang dihadapi dan juga membina pertalian (bonding).  

Kebebasan Terkawal
Ibu bapa wajar menerapkan kebebasan yang terkawal ke atas anak-anak mereka. Kebebasan yang diberikan patut tidak melampaui batas iaitu mempunyai had-had tertentu. Ini penting penting bagi menjamin tidak timbul sebarang unsur-unsur negatif yang mempengaruhi mereka. Misalnya anak anda  boleh keluar rumah bersama rakan tetapi perlu memahami akan had-had yang perlu dipatuhi seperti berpakaian kemas, menjaga tingkah laku atau pulang pada masa yang telah dipersetujui bersama.
   Bersikap Realistik
Pastikan anda bersikap realisik terhadap kemampuan anak anda seiring dengan perkembangan umurnya. Ini penting agar anda tidak menaruh harapan yang terlalu tinggi atau tidak realistik. Ada ibu bapa terlalu mengharapkan anak mereka cemerlang dalam bidang-bidang tertentu mengikut kemahuan mereka tanpa menghiraukan akan kemahuan dan kebolehan remaja itu sendiri. Harapan ibu bapa yang tidak realistik dikhuatiri boleh menyumbang kepada tekanan ke atas anak-anak. Sewajarnya ibu bapa mengenalpasti akan kebolehan, bakat dan kecenderungan anak mereka dan seterusnya memberi dorongan. Ini adalah salah satu cara dalam memenuhi keperluan emosi anak-anak dan seterusnya penting dalam membantu meningkatkan harga diri mereka. 
  Pengurusan Disiplin
Pengurusan disiplin yang salah boleh membawa implikasi kepada anak-anak  terutamanya dari segi kognitif, emosi dan tingkah laku. Menurut Maznah & Siti Nor (2002) disiplin sebenarnya melibatkan langkah pencegahan dan pemulihan. Langkah pencegahan termasuklah pengajaran dan latihan untuk membina kebolehan remaja serta penyediaan sempadan bertingkah laku. Pemulihan pula bertujuan membetulkan salah laku remaja dan membantu remaja supaya tidak mengulangi tingkah laku yang jelas bertentangan dengan norma masyarakat dan agama. Linke (1994) bependapat disiplin yang lebih efektif ialah mengajar apa yang perlu dibuat daripada apa yang tidak patut dibuat dan juga menerangkan limitasi agar mereka berasa selamat dan terjamin.  
Peraturan sepatutnya diwujudkan sejak di peringkat awal lagi. Ini boleh dimulakan dengan membuat peraturan-peraturan yang mudah. Dalam membentuk pengurusan disiplin, perbincangan bersama ibu bapa dan anak-anak remaja perlu mengenai peraturan yang ingin ditetapkan. Sebagai remaja, mereka boleh berfikir secara rasional dan ini berfaedah lepada mereka dalam proses membuat sesuatu keputusan (Teoh Hsien-Jin, 2003).  


Cara ini membolehkan wujudnya pertimbangan dan tolak ansur bagi menjalankan peraturan. Remaja sendiri memahami dengan jelas maklumat dan matlamat peraturan yang dilaksanakan. Ibu bapa juga perlu melaksanakan peraturan secara konsisten dan tidak bersikap berat sebelah. Misalnya ibu bapa menetapkan peraturan itu perlu dipatuhi oleh semua anaknya tanpa sebarang pengecualian terhadap seseorang itu sahaja. Dalam mempraktikan disiplin juga, ibu bapa seharusnya memberi sokongan kepada remaja bukannya mengkritik. Dalam hal ini kesilapan yang dilakukan oleh remaja itu perlu diterangkan dan membincangkan bagaimana untuk memperbaikinya. Apa yang lebih penting ialah ibu bapa melaksanakan disiplin dengan perasaan kasih sayang dan bukannya sebagai cara melepaskan kemarahannya. 


Beri Penghargaan
Memberikan penghargaan terhadap remaja juga adalah salah satu usaha untuk menunjukan kasih sayang. Remaja akan berasa bangga kerana mendapat penghargaan terutamanya daripada ibu bapa. Remaja akan berasa bahawa bakat atau kebolehan yang dipamerkan itu mendapat perhatian dan dihargai. Penghargaan yang diberikan akan memberikan semangat dan inspirasi untuk remaja melakukan yang terbaik.
  Pendidikan Seks
Ibu bapa perlu prihatin atau peka dengan perkembangan biologi remaja. Ini kerana adalah normal untuk remaja mempunyai perasaan ingin tahu mengenai seks. Mereka perlu memberitahu remaja perkara yang sewajarnya daripada daripada remaja itu sendiri mendapat maklumat daripada sumber yang kurang tepat. Sikap malu atau berpegang kepada kepercayaan tradisi bahawa membicarakan mengenai seks secara terbuka dengan anak-anak mereka adalah kepercayaan lapuk. Ibu bapa perlu mewujudkan persekitaran di mana remaja berasa selesa untuk berbincang mengenainya. Ini dapat memberitahu remaja maklumat yang betul seperti risiko hamil tanpa nikah, risiko melakukan seks bebas dan penyakit-penyakit berbahaya seperti AIDS dan HIV.  Selain itu, ini  memberi peluang kepada ibu bapa untuk menekankan perlunya remaja saling hormat menghormati antara satu sama lain dalam apa jua hubungan. Jika ibu bapa merasakan tidak mampu untuk menjelaskan perkara tersebut kepada remaja, dapatkan bantuan daripada profesional lain seperti kaunselor, psikologis dan doktor. 

Rujukan Baumrind, D. (1971). Harmonious Parents and Their Preschool Children. Developmental Psychology, 41, 92-102. Baumrind, D. & Black, A.E. (1967). Socialization Practices Associated With Dimensions of Competente In Preschool Boys and Girls. Child Development, 38, 291-327. Dinkmeyer, D & Mc Kay, G.D. (1989). STEP: The Parent’s Handbook. American Guidance Service. Linke, P. (1994) Practical Parenting. Melbourne: Australian Council for Educational Research. Manual Promosi Kesihatan Mental: Kempen Cara Hidup Sihat 2000. Kementerian Kesihatan Malaysia.   Manual Promosi Keluarga Sihat: Kempen Cara Hidup Sihat 2001. Kementerian Kesihatan Malaysia

source : LPPKN

Keajaiban Menderma

  Dalam 1 program TV di Amerika, pengacara siaran tersebut mengiklankan tentang seorang pesakit yang memerlukan pembedahan segera yang berha...