Wednesday 17 December 2014

JENIS-JENIS PEMBUBARAN PERKAHWINAN (PENCERAIAN)

 
Terdapat empat kaedah dalam pembubaran atau penceraian menurut Islam:
 
 
 
1. Talak
2. Fasakh
3.Khuluq
4. Li'an
a) Talak

Talak adalah melepaskan ikatan perkahwinan dengan menggunakan lafaz cerai, talak atau seumpamanya oleh suami kepada isteri. Lafaz talak itu terbahagi kepada 3 jenis iaitu lafaz talak sarih (nyata), lafaz talak kinayah (sindiran) dan lafaz taklik (bersyarat).
 
Lafaz sarih adalah lafaz yang jelas menunjukkan maksud talak atau cerai maka talaknya jatuh walaupun tanpa niat.
Contohnya:
"Saya ceraikan kamu" atau "saya ceraikan kamu dengan talak 1 atau 2 atau 3".
-               
Lafaz kinayah adalah lafaz yang boleh membawa maksud talak dan lain daripadanya, talak tidak akan jatuh melainkan dengan niat cerai.
   Contohnya:
   “Kamu baliklah ke rumah ibu bapa kamu atau saya bebaskan kamu.”
Lafaz taklik pula adalah lafaz cerai oleh suami yang dikaitkan dengan sesuatu perkara:
 
Contohnya:
 "Jika kamu keluar dari rumah in, maka tertalaklah kamu"
"Andainya kamu balik ke rumah ibu bapa kamu maka jatuhlah talak bagi  kamu"
 
"Sekiranya saya berjudi lagi maka jatuhlah talak kamu"
-                                

b)   Fasakh

Fasakh pula adalah pembubaran perkahwinan disebabkan oleh sesuatu keadaan yang diharuskan oleh hukum syarak dengan kuasa mahkamah (hakim) sama ada dikemukakan oleh suami atau isteri. Perkara yang  membolehkan fasakh pula adalah seperti berikut;
 
a.    Suami menghilang diri selama tempoh satu (1) tahun atau lebih
  
b.     Suami mempunyai penyakit berjangkit seperti AIDS
 
c.  Suami cuai memberi nafkah selama tiga bulan atau lebih    
  
d.      Suami mati pucuk
 
e.       Murtad
 
f.       Suami dengan sengaja tidak memberi nafkah batin selama 1 tahun
 
g.      Suami di penjara selama tiga tahun
 
h.      Suami menganiaya/ menzalimi isteri
 
i.        Suami berperangai keji
 
j.        Memaksa isteri hidup secara lucah
 
k.      Membuat kehidupan isteri menderita
 
l.        Melupuskan harta isteri/ menghalang isteri menguruskan hartanya
 
m.    Tiak melayan isteri dengan adil
 
n.      Menghalang isteri melakukan perintah agama.


                    c) Khuluq

Khuluq pula adalah penrceraian dengan kaedah bayaran kepada suami yang dipersetujui antara pasangan suami dan isteri. Contohnya, suami melafazkan cerai ke atas isteri jika isteri setuju membayar sejumlah wang yang dipersetujui. Permohonan cerai melalui kaedah ini juga perlu dibuat kepada mahkamah dan hakim akan menggendalikan kes penceraian ini.

d) Li’an

Li'an pula ialah sumpah seorang suami apabila dia menuduh isterinya melakukan zina tanpa saksi atau menafikan kandungan isterinya bukan daripada benihnya dan isterinya bersumpah menafikan tuduhan suaminya.

Pengurusan li’an dilakukan di dalam mahkamah yang dikendalikan oleh hakim li’an. Hakim akan mengkehendaki pihak suami menggunakan lafaz sumpah pengakuan bercakap benar terhadap tuduhan kepada isterinya. Berikut adalah kaedah li’an iaitu;
 
1.        Tuduhan diulang sebanyak 4 kali dan sumpah hanya dilakukan sekali sahaja.
2.        Melaknat diri sendiri jika tuduhan tersebut dusta.
3.        Isteri boleh bersumpah menafikan tuduhan sebanyak 4 kali
4.        Lafaz kali ke-5 isteri menyatakan kesediaan menghadapi kemurkaan Allah SWT ke atasnya jika tuduhan suami benar.

 
Dengan kaedah li`an ini, suami gugur had qazaf iaitu tidak dikenakan hukum 80 kali sebatan atas tuduhan tersebut manakala wajib rejam ke atas isteri jika isteri tidak bersumpah. Pasangan bercerai selama-lamanya dan anak tidak boleh dinasabkan kepada suami tetapi anak dinasabkan kepada ibunya.


 
Lampiran 3
PERANAN PASANGAN SUAMI DAN ISTERI MENGIKUT ISLAM MENJAMIN HUBUNGAN SUAMI  ISTERI  YANG HARMONI- MUHAMMAD ALI QUTHB

Muhammad Ali Quthb (1989) dalam `Tuhfatul-`Aris Wal `Arus’ telah menetapkan kewajiban-kewajiban yang perlu dipenuhi oleh pasangan dalam menjaga kerukunan rumahtangga atau perkahwinan mereka.
4.1.   Hak Isteri Yang Wajib Dipenuhi Oleh Suami.
a.   Suami wajib memberi makanan dan pakaian bagi isterinya dengan rezeki Allah yang diperolehi secara halal, tidak kedekut dan tidak membazir. Sekiranya seseorang isteri menghidapi penyakit, seorang suami wajib untuk berusaha penyakit tersebut sembuh walaupun penyakit itu mengambil masa yang lama untuk sembuh. Seorang suami juga wajib memberi isteri nafkah setelah berlakunya akad nikah berdasarkan ukuran yang ma’ruf (ukurun yang menjadi kebiasaan sehari-hari). Contohnya, jika isterinya sejak sebelum berkahwin memakin daging dan buah-buahan 2 kali dalam seminggu, maka nafkah yang perlu diberikan oleh suami perlulah mencukupi kadar tersebut. Walaupun dari ukurannya tidak dapat dipastikan, namun hal ini dapat diterima jika ukuran itu tidak terlalu kurang dan berdasar kepada kemampuan seorang suami. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 236 yang bermaksud;
“ orang yang mampu menurut kemampuannya dan orang yang tidak  mampu pun menurut kemampuannya”
Muhammad Ali Quthb juga menyatakan tentang aspek-aspek yang tidak boleh dilakukan oleh isteri  iaitu:
i)               Menuntut nafkah melebihi batas keperluan dan melakukan perkara-perkara yang melibatkan pembaziran atau perkara-perkara yang bertentangan dengan hukum syarak.
ii)             Mengambil  sebahagian harta suami, walau sedikit tanpa pengetahuan dan kebenaran suami. Jika didapati suaminya kedekut, isteri boleh mengambil untuk memenuhi keperluan diri dan anak-anak mereka walaupun tanpa pengetahuan dan kebenaran suami.

Berhubung dengan perkara, satu hadis riwayat al-Bukhari dalam Sahih al-Bukhari mengisahkan mengenai satu hari Hindun datang kepada Rasulullah SAW untuk mengadu. Beliau bertanya,

“ Ya Rasulullah, Abu Sufyan seorang yang amat kedekut, dia tidak memberi nafkah untuk keperluan hidupku bersama-sama anak-anakku sehingga aku terpaksa mengambil sebahagian dari hartanya tanpa pengetahuannya’. Rasulullah SAW menjawab. “ Ambillah dari hartanya untuk mencukupi keperluanmu bersama anak-anakmu dalam batas yang ma’ruf (selayaknya).”
 
b.    Tempat Kediaman Yang Selamat Dan Tenteram.
Suami wajib menyediakan kepada isterinya tempat kediaman yang menjamin keselamatan dan ketenteraman kepada isteri, bebas dari gangguan dari orang yang mempunyai perangai yang buruk dan derhaka kepada Allah. Ini adalah untuk memastikan agar kehidupan isteri itu lebih sejahtera. Perkara ini adalah bersesuaian dengan perintah Allah dalam surah al-Thalaq ayat 6 yang bermaksud;
“ Tempatkan mereka (para isteri) di mana kamu tinggal menurut kemampuan kamu, dan janganlah kamu menyusahkan mereka dan sengaja hendak menyulitkan mereka”.
c.   Suami wajib menunaikan apa yang telah dijanjikan kepada isteri (janji yang tidak bertentangan dengan hukum syarak)  sebelum menyetubuhi isterinya. Suami juga tetap berkewajiban menunaikan maskahwin yang belum diterima oleh isteri. Jika suami itu mempunyai isteri lain, maka  suami wajib menjaga keadilan dalam pemberian nafkah dan lain-lain yang perlu dan yang menjadi kewajiban.
d.  Isteri wajib diperlakukan dengan baik dan bergaul dengan sepatutnya. Suami wajib berusaha untuk menyenangkan hati isterinya dan sabar dalam menghadapi keadaan yang tidak menyenangkan hati suami. Sehubungan dengan ini, Allah SWT berfirman dalam suarh an-Nisa’ ayat 19 yang bermaksud;
“ Hendaklah kamu bergaul dengan mereka (para isteri) dengan secara baik-baik. Apabila kamu tidak lagi menyukai mereka (disebabkan tingkah lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya) kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikkan yang banyak untuk kamu”.

4.2    Hak-Hak Suami Yang Wajib Dipenuhi Oleh Isteri.
a.  Isteri diwajibkan taat kepada suaminya dalam perkara-perkara yang tidak membawa kepada keingkaran atau kemungkaran terhadap Allah dan Rasul-Nya. Keredhaan Allah itu terletak kepada keredhaan suami dan kemurkaan Allah adalah terletak kepada kemurkaan suami.
               Sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal dari Abu Na’im, Rasulullah S.A.W bersabda;
“Jika seorang isteri menunaikan solat lima waktu, berpuasa bulan Ramadhan, menjaga kesucian dirinya (dari perbuatan tidak senonoh) dan taat pada suaminya, ia akan masuk Syurga melalui pintu mana saja yang dikehendakinya”.
b.    Isteri hendaklah menunaikan permintaan suami jika suami berkehendakan untuk persetubuhan tanpa dilambatkan atau menolak permintaan  kecuali jika ada keuzuran syarie seperti nifas, haid, sakit atau sedang berpuasa fardhu.
c.     Isteri juga tidak berpuasa sunat kecuali dengan izin dari suami bila suami ada di sisi kerana kemungkinan suami perlukan layanan dari isteri. Ini kerana , jika seseorang suami itu naik syahwatnya bila ia memandang seorang wanita lain, hendaklah dia pulang ke rumah dan  hampirilah isterinya kerana apa yang ada pada perempuan itu sama dengan apa yang ada pada isterinya.
d.    Isteri hendaklah menjaga dengan baik harta milik suami, menggunakan secara berhati-hati dan tidak membazir, tidak memberi kepada orang lain sebelum mendapat keizinan dari suami atau  tidak memberi makanan kepada saudara mara atau pada orang yang meminta kecuali isteri merasa yakin suaminya tidak keberatan untuk berbuat perkara yang sama.
e.     Isteri perlu menjaga kehormatan diri dan kehormatan anak-anak perempuannya. Tidak membenarkan orang lain masuk tanpa keizinan dari suami dan tidak memperlihakkan bahagian badan  di hadapan lelaki yang bukan muhrimnya. Isteri juga hendaklah tidak memakai  pakaian yang nipis, pendek dan mendedahkan aurat di hadapan lelaki yang bukan muhrimnya.
f.     Tidak meninggalkan rumah tanpa izin suami. Suami berhak melarang isterinya keluar dari rumahnya kecuali keluar untuk melihat ibu bapanya. Atas tanggungjawab menjaga silaturrahim dengan keluarga, isteri berhak untuk bertemu ibu bapanya walaupun tanpa keizinan suami. Mengikut ulama’ Fiqah,  ukuran yang telah ditetapkan adalah satu kali dalam sebulan. Isteri juga berhak untuk merawat dan melayani ibubapanya yang sedang menderita kesakitan, sekiranya tiada orang lain yang melayani dan merawat kedua ibubapanya.
               Syarat seorang suami boleh untuk melarang isterinya keluar meninggalkan rumah ialah, suami dapat menyediakan rumah tempat tinggal yang layak mengikut kemampuan suami dan dapat menjamin suasana tenang dan tenteram bagi kehidupan isteri. Rumah sebegini adalah dainggap sebagai rumah yang memenuhi syarat `tempat tinggal syari’e’. Jika suami tidak dapat menyediakan rumah sebagai tempat tinggal syari’e ini, maka ia tidak dapat melarang isterinya keluar meninggalkan rumah. Contohnya, isteri dan suami tinggal di sebuah rumah bersama-sama orang lain sehingga menghalang kebebasan untuk bermesra atau menganggu `privacy’ seorang isteri atau dibimbangi isteri akan kehilangan harta milikannya, atau rumah yang tidak mempunyai kemudahan asas yang selesa seperti bilik air, bilik tidur dan sebagainya, maka berhak kepada isterinya untuk tidak berada di rumah tersebut. Tempat kediaman yang tidak termasuk sebagai tempat tinggal yang syari’e juga ialah apabila keadaan rumah itu telah menyebabkan isteri tidak merasa tenteram atau jiran di sekeliling rumah tersebut berperangai keji, buruk dan mencurigakan dan boleh mendatangkan ancaman keselamatan dan moral kepada isteri.     
               Suami juga berhak untuk melarang isteri keluar rumah untuk tujuan menuntut ilmu terutamanya ilmu agama jika suami mampu dan sanggup untuk memberi pendidikan agama  kepada isterinya. Sebaliknya jika suami tidak mampu, isterinya berhak keluar rumah untuk menuntut ilmu agama yang diperlukan sahaja.
               Suami juga berhak untuk melarang isteri keluar dari rumah untuk berkerja jika hal itu menyebabkan kessukaran dalam kehidupan walaupun perkerjaan isteri itu tidak melanggar syariat agama. Tetapi jika  perkara membenarkan isteri berkerja menjadi sebahagian syarat sejak mula berkahwin lagi dan pekerjaan yang dilakukan isteri itu tidak menjejaskan moral, maka suami wajib memenuhi syarat yang telah dipersetujui sejak mula perkahwinan.
Hal yang sama juga mengenai penjagaan kedua ibu bapa isteri dan perkara-perkara yang berkaitan seperti persetujuan untuk tinggal dengan ibu bapa telah dipersetujui sejak mula perkahwinan, maka wajib bagi suami memenuhi pensyaratan itu.
g.    Isteri wajib mengatur urusan rumah dan mengasuh serta memelihara anak-anak kerana kewajipan itu menjadi tugas semulajadi sebagaimana suami berkewajipan menjamin nafkah kehidupannya. Sebagai ibu dan isteri kepada suami yang menjadi ayah kepada anak-anak, dia perlu menanamkan akhlak mulia dalam jiwa anak-anak, membiasakan anak-anak menunaikan kewajiban agama.
h.    Isteri wajib berdandan dan berhias diri bagi suaminya dengan cara-cara yang dibenarkan syarak seperti bercelak, berinai, berbedak, memakai minyak wangi, memakai pakaian yang baik dan lain-lain alat hiasan lain. Isteri perlu menitikberatkan kebersihan diri, anak-anak dan rumah serta tempat tidur. Ketika  suami berada di perantauan pula, isteri tidak perlu berdandan dan berhias kerana dikhuatiri mendatangkan minat orang lain kepadanya.
i.     Isteri berkewajiban membantu suami dalam melakukan kerja-kerja kebajikan. Ini termasuk dalam membantu agar suami tetap patuh mengerjakan tanggungjawab terhadap ibu dan bapanya. Ini dapat dilakukan dengan isteri harus berbuat baik terhadap ibu dan bapa mertua dan dapat menahan diri dari ucapan-ucapan yang tidak berkenan dihati mereka.
j.     Isteri wajib berlembut dengan suaminya sama ada dari segi percakapan atau perlakuan dan sebaliknya tidak berbicara dengan lelaki bukan muhrim dengan suara yang lembut dan menarik sehingga membangkitkan nafsu syahwat di dalam hati lelaki yang berhati serong.
               Allah Taala berfirman dalam surah al-ahzab ayat 32 bermaksud;
“....... jika kamu bertaqwa (para wanita mukminat), janganlah kamu berkata-kata lembut manja dengan orang lain sehingga orang yang di dalam hatinya ada penyakit timbul keinginan(menaruh tujuan buruk kepada kamu).Dan ucapkanlah perkataan secara baik.”
4.3    Konsep Kepimpinan Suami Atas Wanita.
                        Allah berfirman dalam surah an-Nisa: ayat 34 yang bermaksud;
“Kaum lelaki (suami) adalah pemimpin bagi kaum wanita (isteri),kerana Allah mengurniakan kelebihan kepada sebahagian mereka(iaitu kaum lelaki) atas sebahagian yang lain(iaitu wanita) dan kerana meraka menafkahkan sebahagian daripada hartanya.”
Muhamad Ali Quthb menekankan  mengenai kepimpinan suami ke atas isterinya kerana dengan memahami konsep ini dengan baik akan dapat mengatasi kesulitan-kesulitan yang terjadi dalam kehidupan suami isteri. Ada sesetengah suami berfahaman bahawa kepimpinan itu sebagai kekuasaan, penindasan, perbudakan lalu atas kefahaman yang salah ini, mereka memperlakukan isteri-isteri mereka dengan cara yang salah, keliru dan buruk. Sebaliknya pula ada pula isteri yang meremehkan soal kepimpinan tersebut sehingga mereka tidak menghargai suami sebagaimana semestinya. Ini kerana, jika suami isteri itu menyedari batas-batas hak kewajipan masing-masing, mereka tentu akan hidup dalam suasana bahagia, tenteram dan damai. Kepimpinan seseorang suami ke atas isterinya hendaklah berdasarkan kepada prinsip musyawarah iaitu konsep berbincang dan permuafakatan.
Berhubung dengan campurtangan pihak ketiga, Muhamad Ali Quthb menyatakan bahawa suami yang mengeluh hal kesukaran rumahtangganya kepada selain Allah menandakan bahawa ia seorang lelaki yang bertekad lemah dan tidak mampu memperbaiki hubungan dengan isterinya. Justeru itu, mengeluh kepada orang lain sesunggunya menyakiti isterinya, kerana hal kesukaran rumahtangganya diketahui oleh teman-temannya, kenalan, atau kaum kerabatnya sendiri dan sanak saudara isterinya. Sewajarnya, walau apa pun keadaannya segala sesuatu yang bersifat peribadi rumahtangga harus dijaga sebaik-baiknya , jangan sampai terbongkar ke luar rumah membicarakan masalah peribadi rumahtangga dengan orang luar tentu akan membangkitkan kemarahan seorang isteri, dan pada akhirnya ia berani menganggu dan tidak segan-segan berlaku buruk kepada suaminya bila terdapat kemungkinan untuk berbuat demikian. Rasulullah SAW bersabda;
“ Sesiapa yang sabar menghadapi perlakauan buruk isterinya, Allah akan memberi balasan pahala seperti yang diberikanNya kepada Nabi Ayyub atas kesabaran menghadapi cubaan dan sikap isteri yang sabar mengahdapi perlakuan buruk suaminya, Allah akan memberinya balasan pahala seperti yang diberikanNya kepada Aisyah, isteri Firaun”
Betapa ramai suami, walaupun menerima perlakuan buruk dan  pembangkangan daripada isetrinya, namun mereka tetap mengajaknya berdamai, bersikap ramah dan tetap mahu bergurau. Mereka tetap memperlihatkan kecintaan untuk mengamankan diri daripada gangguan yang lebih berat lagi daripada isterinya. Mereka besikap sabar menghadapi tingkah laku isterinya yang kurang baik dan menyerahkan kehidupannya kepada Allah S.W.T.

Source: Ustaz Suhaidi Sidek.

No comments:

Post a Comment

Keajaiban Menderma

  Dalam 1 program TV di Amerika, pengacara siaran tersebut mengiklankan tentang seorang pesakit yang memerlukan pembedahan segera yang berha...