Kaunseling Perspektif Islam
“ Satu Penyelesaian”
1.0 Pengenalan
Peranan agama dan spiritual dalam kaunseling dan psikoterapi sudah lama diperdebatkan dalam kalangan sarjana Barat. Pada peringkat awalnya , sebahagian besar daripada mereka menolak kehadiran unsur ini dalam lapangan kaunseling. Walau bagaimanapun, senario ini sudah berubah, sebagaimana yang dinyatakan oleh Richard dan Bergin (2004):
“ The alienation that existed between psychology and religion during the most of 20th century has ended. Hundred of articles on religion and mental health and spirituality and psychotherapy have been publish in professional journal. Numerous presentations have been given at professional conferences. Many main stream publishers have publish books on this topic. All of the major mental health oprganizations now explicitly that religion is on type of diversity that professionals obligated to respect’.
Penerimaan aspek spiritual dan agama dalam khalayak sarjana bidang psikologi kaunseling pada peringkat antarabangsa ini merupakan titik tolak yang penting dalam perkembangan kaunseling berbentuk agama di dunia khususnya di Malaysia. Hal ini telah diperkukuhkan lagi apabila American Psychiatric Association telah memberikan pengiktirafan terhadap aspek spiritual dan agama dengan memasukkan kategori spiritual dan agama dalam Diagnostic and Statistic Manual of Mental Disorders (DSM IV) (La Torrre 2002); dalam Nurul Ain, 2006). Tindakan ini telah memberikan impak berganda terhadap perkembangan kaunseling agama khususnya Islam untuk berkembang seluas-luasnya. Hal ini disebabkan oleh DSM IV ini menjadi rujukan wajib bagi hampir semua pakar dan pengamal dalam bidang psikologi, psikoterapi dan kaunseling seluruh dunia.
2.0 Kepentingan Kaunseling Islam
Dewasa ini, manusia dilanda pelbagai masalah psikologi yang merangkumi aspek jasmani(jasad) , rohani(spiritual), emosi dan fikiran. Ini menyebabkan kesejahteraan hidup manusia pada hari ini terganggu. Oleh itu terciptalah ruang pendorong kepada manusia untuk bertindak melampaui had pemikiran yang rasional sehingga menyebabkan kecederaan kepada diri sendiri dan orang lain.
Sehubungan dengan itu terbina pelbagai pendekatan psikologi kaunseling untuk menangani masalah ini. Namun demikian, keupayaan pendekatan-pendekatan ini dilihat seolah-olah tidak berkesan berdasarkan peningkatan kes-kes yang berkaitan dengan psikologi kaunseling dari tahun ke tahun. World Health Organization(WHO).,(Berita Harian, 2009) menyatakan lebih kurang 450 juta orang di seluruh dunia mengalami gangguan mental tertentu seperti kemurungan, skizofrenia dan gangguan bipolar, tetapi kurang separuh dari mereka mendapatkan rawatan yang diperlukan. Berita Harian (November,2009) melaporkan di Malaysia, berlaku peningkatan kes mendapatkan rawatan kesihatan mental di hospital-hospital kerajaan.
Oleh itu, manusia kini cenderung untuk mencari pendekatan lain yang lebih menyeluruh untuk berhadapan berhadapan dengan fenomena ini, sebagaimana yang dinyatakan oleh Asmah Bee.
‘ Religion and spiritual practices have been used by mankind as guides for their actions because there are too many unexpected and uncontrolled events and incidents happening today, and these incidents are sometimes phenomenal and unpredictable’.
(Asmah Bee, 2004;262-263)
Selanjutnya Professor Dr. Zakiah Darajat (1995) menyatakan pandangan beliau tentang fungsi agama dalam kesejahteraan diri manusia. Menurut beliau,
‘…kita dapat membezakan orang yang beragama dengan orang yang tidak beragama dengan jelas. Bagi orang yang beragama, tergambar ketenteraman batin pada wajah mereka, dapat mengendalikan hidup dengan tenang, tidak gelisah atau cemas dan tingkah laku serta perbuatan mereka tidak menyusahkan orang lain dan begitulah sebaliknya bagi orang yang tidak beragama.’
Oleh itu tidak hairanlah kaunseling yang berteraskan agama menjadi menjadi pilihan utama dewasa ini dan tidak terkecuali di Malaysia.
3.0 Konsep dan Model Kaunseling Islam
Konsep kaunseling Islam bukan sahaja meliputi konsep hubungan di alam nyata, iaitu melibatkan hubungan antara seorang kaunselor yang terlatih dengan klien yang mempunyai masalah psikologi seperti kemurungan, kecelaruan mental dan kecelaruan personality. Namun demikian, konsep ini juga menjangkau hal-hal yang dialami manusia selepas mati (alam akhirat) yang berkaitan dengan keimanan seseorang (kepercayaan kepada Tuhan, alam akhirat, pahala dosa, syura,neraka dan hari kiamat (Aziz Salleh, 1996).
Dalam konteks kaunseling Islam, keputusan dan pemilihan klien hendaklah berdasarkan sumber Al Quran, hadis, sunnah Nabi dan ijmak ulama. Dalam hal ini, kefahaman yang diterapkan menerusi kaunseling Islam ini bersesuaian dengan firman Allh SWT yang bermaksud:
‘Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati ‘.
(Ali Imran:185)
Oleh itu pertolongan yang diberikan oleh seorang kaunselor bukan sahaja merupakan nasihat, bimbingan, bantuan atau pertolongan untuk seorang klien untuk hidup sejahtera di dunia, malahan akan membawa kesejahteraan di akhirat. Justeru, untuk menjayakan konsep ini para kaunselor seharusnya mempunyai latar belakang pendidikan dan latihan berkaitan dalam bidang kaunseling dan agama, pengalaman yang luas dan sifat yang sesuai sebagai seorang kaunselor. Hal ini penting kerana dalam kaunseling Islam, kaunselor ialah tempat rujukan, rol model dan contoh yang terbaik sebagaimana sabda Rasullah SAW;
‘Sebaik-baik manusia ialah yang bermanfaat kepada manusia’.
(Hadis Riwayat Thabrani).
4.0 Prinsip Asas Dalam Perkhidmatan Kaunseling Islam
Kaunseling Islam meletakan premis dan prinsip atas syariat Islam. Menurut Profesor Dr.Hasan Langgulung (1990), antara premis dan prinsipnya adalah seperti berikut:
i. Memberi nasihat itu adalah tiang dan tapak agama.
ii. Bimbingan dan kaunseling termasuk amal yang mulia di sisi Allah SWT.
iii. Bimbingan dan kaunseling ialah perkhidmatan psikologi untuk mencari keredhaan Allah.\ SWT.
iv. Persiapan perkhidmatan kaunseling itu wajib kepada pemerintah dalam masyarakat Islam.
v. Setiap seorang yang telah baligh dan berakal bertanggungjawab atas setiap perbuatannya.
vi. Tujuan kaunseling adalah untuk mengembangkan kemahuan dan keinginan seseorang untuk mencari sesuatu yang bermanfaat dan meninggalkan sesuatu yang mudarat menerusi penyuluhan dan usaha yang meyakinkan.
vii. Tujuan bimbingan dan kaunseling adalah untuk menolong orang mencapai kemashalahatan dan menghindari kerosakan.
viii. Mencari bimbingan dan kaunseling adalah wajib bagi setiap muslim.
ix. Kaunseling ialah fardhu ain bagi mereka yang pakar atau berkebolehan dalam bidang ini.
x. Memberikan kaunseling secara sukarela kepada kaun muslimin adalah wajib bagi setiap yang yang berkesanggupan.
xi. Seorang kaunselor muslim memberikan kaunseling sesuai dengan hokum syariah dalam perkara itu.
xii. Manusia bebas mengambil keputusan dengan dirinya sendiri.
xiii. Orang tidak bebas menghebahkan maksiat dan kerosakan kerana penghebahan itu akan menyeksa orang lain secara langsung atau tidak langsung dan menyebabkan tersebarnya keburukan itu yang akan merosakkan masyarakat. Sedangkan tanggungjawab menjaga masyarakat daripada kerosakan ialah tanggungjawab secara kolektif.
xiv. Berpegang teguh pada prinsip memlihara ciri-ciri system masyarakat Islam.
xv.
5.0 Kaedah Pemulihan dan Intervensi dalam Kaunseling Islam
Dalam kaunseling Islam, proses intervensi menjurus kepada membentuk semula dan mengubah personality manusia dengan pengiktirafan terhadap fitrah dan keperluan manusia dalam membentuk kesempurnaan dan al-Falah (kesejahteraan dunia dan akhirat). Dalam hal ini, Abd. Rahman (1992) telah cuba mengariskan aplikasi intervensi ini supaya kaunselor dapat membawa dunia klien untuk membina pemilihan alternatif penyelesaian dengan melibatkan kaedah-kaedah berikut:
5.1 Kaedah pengikatan Keyakinan dan Kepercayaan (Akidah)
Kaedah ini melibatkan dua perkara, iaitu pengikatan kepercayaan dan akidah dan pengikatan amalan. Menerusi kaedah pengikatan klien kepada kepercayaan dan akidah ini, klien akan dihubungkan secara konsisten dengan Allah SWT. Dalam hal ini, nikmat keimanan yang dikecap melalui perlaksanaan perintah Allah dan menjauhi laranganNya menjadi teras pertahanan seseorang muslim daripada terlibat dengan perkara yang membawa kerosakan kepada diri sendiri akan disematkan dalam diri klien (Hairunnaja Najmuddin,2002).
Contohya mengikat keyakinan dan kepercayaan klien kepada rukun Iman iaitu
- Percaya Kepada Allah
Kita wajib percaya kepada Allah . Percaya kepada keesaannya . Wajib percaya tiada tuhan melainkan Allah yang hidup tiada pemulaan dan tiada akhirnya , tiada yang menyerupainya , maha berkuasa , maha medengar , maha melihat dan maha mengetahui segala yang berlaku baik yang kelihatan dan tersembunyi. segala yang belaku adalah diatas kehendaknya
- Percaya kepada malaikat
wajib percaya malaikat itu wujud . Dijadikan tuhan daripada nur ( cahaya ) yang sentiasa bertasbih kepada tuhan dan tidak pernah menginkari suruhan dan larangan Allah.
- Percaya kepada Kitab-kitabnya
wajib percaya bahawa tuhan menurunkan peraturan-peraturan dan perintah yang diberikan kepada rasul-rasulnya. segala peraturan ini dikumpulkan dijadikan kitab. Kitab ini adalah terkumpulnya segala suruhan dan larangan yang dikenakan kepada manusia.
- Percaya kepada nabi dan rasul
Kita wajib percaya tuhan mengirimkan pesuruh dan utusan kepada manusia sebagai ketua atau pembimbing manusia ke arah jalan yang benar .dan juga bertindak sebagai penyampai perintah dan larangan tuhan.
- Percaya kepada Hari Kiamat
Kita wajib percaya pada suatu hari nati dunia akan hancur lebur , rosak binasa dan segala mahluk benyawa pasti akan mati , kemudian manusia akan dihidupkan kembali dari kubur mereka untuk dihitung amalan mereka dan mendapat pembalasan.
- Percaya Kepada Qada dan Qadar
wajib percaya segala yang terjadi adalah apa yang telah ditentukan dan ditetap kan tuhan sejak azali .
Seterusnya, pengikatan amalan (ibadah) pula merupakan kaedah yang membawa diri klien agar melaksanakan latihan kerohanian kearah tazkiyah nafs (penjernihan jiwa) yang seterusnya akan membawa kepada ketenangan, kedamaian dan kebahagian kepada diri klien.
· Contohnya mengikat amalan ibadat dengan:-
· Mengikat dengan Al Quran Al Karim
· Mengikat dengan masjid
· Mengikat dengan amalan zikir
· Mengikat dengan muraqabah kepada Allah
5.2 Kaedah pembinaan pemikiran
Kaedah ini menjurus kepada pembinaan pemikiran sedar yang pada akhirnya akan menimbulkan keinsafan dalam diri klien. Kaedah ini menumpukan usaha kearah memusatkan pemerhatian dan pemikiran klien terhadap tanda-tanda kekuasaan dan kebesaran Allah (Hairunnaja 2002).
Kaedah pembinaan pemikiran ini terbahagi kepada dua iaitu:-
· Kesedaran melalui pemerhatian, kaedah ini akan menyedarkan klien melalui pemerhatian dan berdasarkan firman Allah SWT dalam surah Al Ghaasyiyah ayat 17 hingga 20 yang bermaksud:-
“ Maka apakah mereka tidak memperhatikan unta bagaimana ia diciptakan?. Dan langit, bagaimana ia ditinggikan?., Dan gunung –gunung bagaimana ia ditegakkan?. Dan Bumi bagaimana ia dihamparkan?.”
· Kesedaran melalui renungan, kaedah ini akan membuatkan klien berfikir melalui renungan melalui firman Allah SWT melalui surah Al Nahl ayat 10 dan 11 yang bermaksud :- “ Dialah Allah yang menurukan air hujan dari langit untuk kamu, sebahagiannya untuk minuman dan sebahagiannya untuk menyuburkan tumbuh-tumbuhan, yang mana tempat tumbuhannya kamu mengembalakan ternakan kamu. Dia menumbuhkan dengan air hujan itu tanam-tanaman; zaitun, kurma dan segala buah-buahan. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar- benar ada tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang memikirkannya.”
5.3 Kaedah Pengikatan Riadah dan Reakrasi
Kaedah ini menumpukan pembinaan dan penyuburan tenaga jasmaniah yang akan menghasilkan unsur-unsur kekuatan dan membentk kesihatan diri (Abd. Rahman, 1992). Oleh itu, menerusi aktiviti riadah dan reakrasi akan melengkapkan keperluan jasmani klien untuk mencetuskan ketenangan dan kedamaian jiwa dan fikiran. Sebagai contoh klien boleh digalakkan untuk bersukan dan bersenam mengikut kesesuaian masa dan tahap kesihatan masing-masing, namun begitu klien masih perlu melaksanakan dasar-dasar Islam semasa melaksanakan keedah ini iaitu:-
· Menanam niat yang baik iaitu untuk membina kekuatan dan menjaga kesihatan.
· Menjaga batasan syarak iaitu dengan memmelihara kod etika Islam dalam berpakaian, pergaulan antara lelaki dan perempuan dan lain-lain.
5.4 Kaedah Pengikatan Masyarakat
Meningkatkan kefahaman klien tentang persekitaran berdasarkan tuntutan akidah dan akhlak Islam. Dalam Islam, hubungan dalam komuniti yang akrab dan padu menjadi tuntutan. Hal ini akan membina satu sistem sokongan antara satu sama lain yang berteraskan pepatah yang berat sama dipikul dan ringan sama dijinjing. Oleh itu individu yang bermasalah tidak akan terasa diri mereka dipinggirkan kerana akan sentiasa ada dalam komuniti individu yang akan menghulurkan bantuan.
Persekitaran yang rencam antara faktor yang boleh mempengaruhi tingkah laku dan perwatakan seseorang individu. Oleh itu klien perlu diberi tunjuk ajar untuk mengenalpasti manusia yang berpekerti mulia dan digalakkan agar membina hubungan dengannya, di samping mengambil pengajaran yang baik dan tidak mencontohi sifat-sifat buruk dan merosakkan (Hairunnaja, 2002).
Klien perlu diajar cara untuk mengenal manusia yang soleh dan bersih dan digalakkan mereka supaya bersahabat dengan orang-orang tersebut. Ekoran dari itu mereka akan mencontohi akhlak orang-orang yang mereka berkawan itu. Klien juga akan digalakkan agar mengambil pengajaran dari contoh-contoh yang baik dan bukannya contoh yang buruk dan memudaratkan.
5.4 Kaedah Pencegahan
Kaedah pencegahan ialah kaedah yang mencegah individu daripada terlibat dengan gejala yang memudaratkan dan menyesatkan. Al Quran dan Al Sunnah sering memberi amaran dan tegahan agar tidak membawa diri individu kepada kehancuran dan merosakkan (Mohd Noor Saper dan Mohd Yunus, 2006). Sebagai contoh, klien boleh didedahkan atau diingatkan kembali terhadap sesuatu amalan yang merosakan kesihatan seperti kempen-kempen yang dilancarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia tentang bahaya merokok, pengambilan gula berlebihan. Gaya hidup bebas, HIV, AIDS dan sebagainya.
5.5 Intervensi Melalui Amalan Penjernihan Jiwa
Hassan Langgulung (1995) telah mengariskan beberapa amalan kea rah tazkiyah an-nafs seperti berikut:
I. Solat (Sembahyang)
II. Puasa
III. Zakat
IV. Haji
V. Membaca Al Quran
VI. Zikir
VII. Bertafakur (befikir) pada kejadian makhluk ciptaan Allah SWT
VIII. Mengigati mati
IX. Muraqabah, muhasabah, mujahadah dan muatabah
X. Jihad, amar makruf dan nahi mungkar
XI. Khidmah dan tawaduk
XII. Mengetahui jalan-jalan masuk syaitan ke dalam jiwa dan menghalangnya
XIII. Mengetahui penyakit-penyakit hati dan menghindarinya
6.0 Sifat-sifat Kaunselor muslim
Pada dasarnya, seorang kaunselor Islam harus memiliki dan mengamalkan sifat-sifat mahmudah (sifat terpuji) dan menghindari sifat-sifat mazmumah (sifat buruk) sebagaimana yang ditegaskan dalam agama Islam. Hal ini sangat penting untuk kejayaan sesuatu sesi kaunseling. Kaunselor yang berwibawa dan menampilkan sahsiah yang anggun, di samping latar belakang ilmu kaunselingnya yang baik mampu memimpin sesi kaunselingnya kearah matlamat yang dituju.
Mohd Noor Saper(2006) menyarankan sifat-sifat yang perlu ada pada kaunselor:
6.1 Ikhlas
Ikhlas yang dimaksudkan ialah niat untuk membantu klien semata-mata kerana Allah SWT, untuk memenuhi tuntutan agama dan mencari keredhaan Allah SWT semata-mata. Melalui keikhlasan inilah yang akan menjadikan segala usaha yang dilakukan menjadi ibadah dan akan beroleh kebaikan kepada kaunselor dan klien.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
‘Katakanlah (wahai Muhammad), sesungguhnya aku hanyalah seoraang manusia seperti kamu, diwahyukan kepada aku bahawa Tuhan kamu hanyalah satu. Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya hendaklah is mengerjakan amal soleh, dan jangan ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya’.
(Al Kahfi: 110)
6.2 Bertakwa
Firman Allah SWT yang bermaksud:
‘Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam’.
(Ali Imran:102)
Pengertian takwa yang diberikan oleh Dr Abdullah Nasih Ulwan dengan merujuk ulama ‘rabbaniyun’, iaitu takut akan seksaan Allah SWT dengan memperbaik amal dan takut akan AllahSWT, sama ada secara bersendirian ataupun secara beramai-ramai.
Perasaan takwa ini bertindak sebagai pengawas yang memastikan bahawa niat, proses juga intervensi dan pertolongan yang dilakukan oleh kaunselor semasa sesi kaunseling menepati kehendak Allah SWT. Justeru, kaunselor muslim tidak terjerumus melakukan perkara yang melanggar etika dan adab ketika melakukan sesi kaunseling.
6.3 Perasaan bertanggungjawab Individu
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“….dan sesungguhnya kamu akan ditanya kelak tentang apa yang telah kamu kerjakan.”
(An-Nahl:93)
Kaunselor muslim mestilah menyedari dan memahami bahawa setiap niat, perbuatan dan amalannya dalam proses kaunseling akan dipertanggungjawabkan dalam bentuk ganjaran atau balasan daripada Allah SWT. Hal ini akan menjadi pendorong dan penguat bagi kaunselor muslim untuk memastikan segala perkhidmatan dan pertolongan yang diberikan adalah benar dan terbaik dan mendapat keredhaan Allah semata-mata. Oleh itu, seseorang kaunselor muslim mestilah mempunyai iltizam dan iktikad yang tinggi untuk menjayakan tugas-tugasnya dan sentiasa berlapang dada untuk membantu sesiapa sahaja tanapa mengira tempat, masa, latar belakang klien dan sebagainya.
6.4 Berilmu pengetahuan dan terlatih
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Katakanlah lagi (padanya), adakah sama orang-orang yang mengetahui(berilmu) dengan orang-orang yang tidak berilmu”.
(Az-Zumar:9)
Agama Islam memandang tinggi kepada orang yang berilmu pengetahuan kerana mereka dapat membezakan antara perkara yang haq (benar) dan batil(salah), perkara yang halal dan haram, perkara yang mendatangkan manfaat dan mudarat, juga perkara yang mendatangkan kebaikan di dunia dan di akhirat.
Oleh itu menerusi kefahaman ini dan selaras dengan tuntutan agama, seorang kaunselor muslim sewajarnya mempunyai dan menguasai ilmu yang berkaitan dengan bidangnya, iaitu bimbingan dan kaunseling. Sehubungan dengan itu, para kaunselor perlu sentiasa meningkatkan pengetahuan dan latihan dalam bidang kaunseling. Hal ini mungkin berbentuk menghadiri seminar yang berkaitan, perkongsian pengalaman dengan pengamal dan pakar-pakar dalam bidang kaunseling, melakukan kajian-kajian terkini yang berkaitan dengan isu-isu kaunseling dan membaca jurnal atau buku yang dihasilkan oleh pakar kaunseling dari dalam dan luar Negara.
Sehubungan dengan itu, untuk menyeimbangkan ilmu kaunseling yang dimiliki, menuntut ilmu asas syariat dan fardhu ain juga sewajarnya tidak diabaikan. Ini adalah kerana matlamat utama bimbingan dan kaunseling adalah untuk mendapat keredhaan Allah SWT. Justeru, pengetahuan berkaitan dengan halal dan haram, perkara yang berkaitan mahmudah (sifat akhlak yang terpuji), mazmumah ( sifat akhlak yang keji) dan seumpamanya harus difahami oleh setiap kaunselor muslim.
6.5 Bersopan santun dan beradab
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Oleh sebab rahmat Tuhan, engkau bersikap lemah lembut terhadap mereka, dan kiranya engkau berbudi kasar dan berhati bengis, nescaya mereka akan lari dari sekelilingmu.”
(Ali Imran:159)
Berdasarkan maksud Al Quran di atas seandainya kita tidak bersikap baik dan bengis, manusia akan menjauhkan diri. Oleh itu bersopan santun dan beradap ketika melayan klien merupakan kunci utama untuk menambat hati dan meningkatkan kesediaan klien untuk menjalani sesi kaunseling. Selain itu, akan menambahkan keyakinan dan memudahkan pembinaan hubungan dalam proses kaunseling.
7.0 Tanggungjawab dan Etika
Adawiyah Ismail (2008), merumuskan etika kaunselor Islam berdasarkan syarak seperti berikut:
i. Kaunseling ialah satu amanah. Oleh itu, kaunselor mestilah merahsiakan keaiban klien. Sebarang kenyataan berkaitannya hanya boleh dilakukan dengan mendapatkan persetujuan rasmi daripadanya.
ii. Tidak boleh melakukan kaunseling di tempat yang boleh menimbulkan syak wasangka atau mendatangkan fitnah.
iii. Kaunselor lelaki hendaklah mengadkan sisi dengan klien lelaki, dan begitu juga dengan kaunselor perempuan. Dalam hal darurat, klien perempuan boleh mendapat nasihat daripada kaunselor lelaki teapi mestilah disertai dengan kaunselor perempuan atau mahram klien tersebut.
iv. Sesi kaunseling mestilah berpandukan prinsip-prinsip yang di benarkan oleh syarak.
v. Menyatakan dengan terus –terang kepada klien sekiranya kaunselor tidak mampu untuk membantu klien. Kaunselor menyarankan seseorang yang lebih kanan atau pakar dalam isu yang dihadapi oleh klien.
vi. Berusaha menghindari kerosakkan terlebih dahulu kemudian barulah mencari jalan untuk memperbaikinya.
vii. Sekiranya kaunselor berhadapan dengan dua kemudharatan, ambil kemudharatan yang lebih ringan.
viii. Pemilihan kemudharatan ini mempunyai hadnya dan kadarnya, iaitu sekiranya tidak dilakukan pencegahan akan berlaku kerosakan. Pencegahan pula sekadar yang diperlukan (berdasarkan prinsip hukum fiqah sesuatu yang disabitkan kerana darurat atau hajat ditentukan oleh hukum menurut keperluan.)
ix. Apabila bertemu dengan perkara yang halal atau haram pilihlah perkara yang halal.
x. Menyatakan kepada klien bahawa manusia hanya mampu berusaha, tetapi ketentuannya dating daripada Allah SWT. Oleh itu, keputusan hendaklah disertai dengan doa semoga diberkati dan mendapat petunjuk daripada Allah SWT.
xi. Menganjurkan kepada klien untuk solat isthikarah sekiranya klien sukar untuk membuat keputusan.
xii. Menggalakkan klien supaya sentiasa bertaubat dan memohon keampunan daripada Allah SWT.
8.0 Penutup
Kaunseling Islam menyediakan alternatif bagi klien yang tidak berjaya dirawat menerusi pendekatan kaunseling yang sedia ada. Oleh itu, tanggungjawab dan beban yang terpikul kepada di bahu para kaunselor Islam yang menjalankan amalan kaunseling Islam adalah sangat berat. Justeru, mereka perlu menangani cabaran ini dengan meningkatkan pengetahuan serta kemahiran kaunseling dan agama Islam itu sendiri. Namun demikian, harapan dan tanggungjawab yang besar itu mempunyai batasannya. Harus difahami bahawa kaunselor ialah manusia biasa yang mempunyai kelebihan dan kelemahan. Dalam hal ini ada kalanya kaunselor tidak mampu membantu klien disebabkan kekurangan kepakaran atau ilmu dalam perkara tersebut. Oleh itu, kaunselor perlu mengenepikan egonya sebagai kaunselor serba tahu dan merujuk kes kepada kaunselor lain yang boleh atau berupaya membantu klien tersebut. Ini selaras dengan etika kaunseling yang sangat menekankan tentang had kemampuan kaunselor dalam membantu klien.
Kaunseling Islam merupakan pendekatan rawatan dan bantuan alternative yang dijalankan oleh kaunselor muslim. Perlaksanaannya berasaskan dua perkara penting, iaitu kefahaman Islam terhadap fitrah manusia dan peranan dan tanggungjawab manusia di dunia. Berlandaskan hal ini, fungsi dan tanggungjawab kaunselor dilihat sangat besar, bukan sahaja sekadar menolong klien mencapai matlamat sesi kaunseling, malahan bertanggungjawan membawa klien kembali ke jalan yang benar sebagai mana yang disarankan oleh Islam atau dalam perkataan lain kaunselor juga seorang pendakwah yang menunjukkan jalan kebenaran.
Sekian.
BIBLIOGRAFI
L. K.Cheong, E.A. Meng, N.Suppiah, Tajuddin Abd Mukti,(2012),Bimbingan Dan Kaunseling Kanan-kanak.Selangor: Oxford fajar sdn Bhd.
Rujukan diambil dari:
Abdul Halim Othman (1990), Ke Arah Satu Profesion Kaunseling Di Malaysia,Jurnal Personalia Pelajar 2:3 – 12.
Abdul Halim Othman dan Amir Awang(1990), Counseling In The Asia-Pacifi Region, London: Greenwood Press.
Abdul Rahman Hj.Salleh (1982), Konsep Manusia Dan Personaliti Dalam Teori Kaunseling: Satu Analisis Dari Perspektif Islam, Latihan Ilmiah Yang Tidaki Diterbitkan: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Amalludin Abd Rahman (2008), Perkhidmatan Kaunseling Pendekatan Dalam
Berhikmah Berdakwah, Kuala Lumpur; Utusan Publication Sdn Bhd.
American Psychological Association (2003), Publication Manual of The American
Psychological Association (5th Ed.), Washington D.C.
Asmah Bee (2004), Dimensi Agama dan Spiritual dalam Amalan Kaunseling.
International Seminar on Islamic Thoughts Proceedings, hal.262-263,
Kuala Lumpur: Univesiti Kebangsaan Malaysia.
Aziz Salleh (1996), Kaunseling Islam Asas, Kuala Lumpur: Utusan Publication.
siapa penulis asal artikel ini ye..?
ReplyDeleteArtikel ni adalah tugasan saya sendiri berdasarkan rujukan yang disertakan.
ReplyDeleteArtikel ini sangat2 membantu saya . Terima Kasih sgt2 , moga rezky tuan melimpah ruah atas pertolongn tuan dn niat tuan untk memberi rujukan ini ye
ReplyDelete