CARA MENGATASI TEKANAN PERASAAN
Tips bagi mengatasi tekanan perasaan
Tips mudah yang boleh diamalkan untuk mengatasi tekanan dengan bijak :
1. Bawa-bawalah bertenang
Bila kita menyarankan seseorang supaya bertenang apabila dia marah,
sedih dan sebagainya, pernahkah kita terfikir untuk mengajak atau
mengajar cara-cara untuk memenangkan diri? Apa yang selalu saya
praktikkan bila saya mahu bertenang menenangkan diri sendiri, saya akan
tarik nafas dalam-dalam sekitar 7-9 saat, dan lepaskan perlahan-lahan
juga sekitar 7-9 saat. Bagi yang beragama Islam, anda digalakkan
beristighfar semasa melepaskan nafas, sebutkan "astagfirullah hal 'aziim
al-lazi laa ila ha illa huwal hayyul qayyum wa atuubu ilaik" dan
tumpukan fikiran yang anda sedang memohon ampun daripada Allah. Insya
Allah, biasanya jika diulang sebanyak 7 kali, anda akan kembali tenang.
2. Biasakan diri berada dalam keadaan berwuduk
Jiwa kita akan menjadi tenang jika membiasakan diri mengambil wuduk
sebelum melakukan pekerjaan. Kerja yang susah akan menjadi senang dan
mudah diselesaikan. Para pelajar misalnya, disarankan agar membiasakan
diri mengambil wuduk sebelum mengulang kaji pelajaran agar apa yang
dibaca akan mudah diingati.
3. Membaca al-Quran, zikir dan selawat
Ganjaran yang besar akan diberikan Allah bagi sesiapa yang membaca
al-Quran walaupun satu ayat. Waktu yang sesuai bagi kita untuk membaca
al-Quran ialah selepas solat lima waktu dan waktu-waktu lain seperti
ketika berehat dan sebelum tidur. Oleh itu, jadikanlah al-Quran sebagai
teman paling akrab pada sepanjang waktu. Sesungguhnya ayat Al-Quran
adalah penenang jiwa yang paling mujarab.
Anda juga boleh meluaskan pembacaan anda kepada buku-buku ilmiah yang
lain seperti buku-buku berkaitan agama, motivasi dan sebagainya untuk
menghilangkan kesepian atau kesedihan. Ramai orang rekomen baca buku
"Jangan Bersedih",
Anda juga boleh mengurangkan tekanan perasaan dengan berzikir dan
berselawat agar hati sentiasa tenang dan tidak gusar. Kita perlu yakin
bahawa walaubagaimana hebat tekanan yang kita alami, pertolongan Allah
SWT tetap ada kerana selepas kesempitan pasti ada kelegaan dan selepas
kepayahan pasti ada kesenangan.
4. Cintai diri sendiri
"Cintailah diri kamu sendiri sebelum kamu mencintai diri orang lain".
Jelas daripada maksud sepotong hadis ini, kita dapat memahami bahawa
kita perlu mencintai diri sendiri terlebih dahulu berbanding orang lain.
Diri kita yang selama ini masih pada tahap lama dalam pekerjaan perlu
dipertingkatkan dengan cara yang dinyatakan di atas. Kita perlu
memulakan kehidupan kita dengan ceria dan penuh dengan senyuman.
5. Banyakkan solat sunat
Sebagai makhluk paling mulia di sisi Allah, kita dituntut membanyakkan
amal ibadat kita sehari-hari. Antaranya, dengan mendirikan solat sunat.
Solat sunat dhuha, solat sunat hajat, solat sunat taubat, solat sunat
tasbih, solat sunat tahajud dan sebagainya adalah antara pelbagai solat
sunat yang terdapat dalam Islam. Kita bangun pada sepertiga malam dan
mendirikan solat-solat sunat tersebut agar beroleh ketenangan dan
kekuatan daripada Allah.
6. Selalu berdoa kepada Allah SWT
Allah telah berpesan iaitu jangan menyembah selain daripada-Nya. Ini
bererti kita dituntut berdoa hanya kepada Allah yang Maha Esa dan
dilakukan secara berterusan. Waktu-waktu mustajab berdoa adalah pada
malam Jumaat, tengah malam, pagi sebelum waktu Subuh, malam hari raya,
ketika waktu azan dan iqamah. Insya-Allah, Allah akan memakbulkan doa
setiap hamba-Nya yang benar-benar ikhlas. Namun, kita perlulah sedar
bahawa sebarang rezeki tidak akan datang bergolek sekiranya tanpa usaha
yang bersungguh-sungguh. Maka kita perlulah berusaha supaya mencapai
sesuatu di samping berdoa hanya kepada Allah yang Esa.
7. Bersangka baik dengan Allah SWT
Kita sebagai manusia biasanya tidak akan terlepas daripada berhadapan
dengan ujian dalam hidup. Semuanya itu adalah ujian daripada Allah
bertujuan menguji keimanan kita sebagai hamba-Nya. Oleh itu, kita
mestilah bersangka baik dengan Allah dan janganlah menyalahkan
takdir-Nya jika terjadi sesuatu ke atas diri kita. Kita juga mesti
percaya bahawa tentu ada hikmah di sebalik kejadian itu.
8. Mengurus masa dengan baik
Usahlah bersikap tamak untuk menghabiskan semua kerja dalam satu masa.
Cuba patuhi waktu pejabat dan jangan terselalu membuat kerja lebih masa
kerana setiap kita ada hak-hak yang perlu kita tunaikan. Belajarlah cara
kemahiran pengurusan diri dan masa, seperti menetapkan keutamaan.
9. Berhubung dengan keluarga, rakan-rakan dan jangan bersendirian
Syaitan selalunya menyerang manusia yang suka bersendirian. Satu hadis
daripada Usamah bin Syuraik menyatakan bahawa beliau telah mendengar
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tangan Allah berserta jemaah.
Maka apabila bersendirian seseorang itu daripada jemaah, syaitan-syaitan
akan menyambarnya, seumpama serigala menyambar kambing daripada
kumpulannya". Sesungguhnya serigala hanya membaham kambing yang
memencilkan dirinya dari kumpulan yang besar. Itu perumpamaan dari
Baginda SAW mengenai peranan syaitan ke atas manusia. Jadi, ke mana
sahaja seseorang itu pergi, dia harus mencari tiga perkara iaitu jamaah,
orang ramai dan masjid.
Berbicaralah dengan mereka yang boleh anda dipercayai atau hubungi
sesiapa sahaja yang anda kenali. Cuba luahkan ekspresi tanpa limitasi,
tidak kira sama ada waktu sedih mahupun gembira, kongsikan perasaan anda
dengan ahli keluarga atau rakan-rakan yang anda rasa selesa dengannya.
Bergaullah dengan orang-orang yang bukan dalam kemurungan.
10. Lakukan aktiviti luar rumah atau aktiviti fizikal
Orang ramai selalu berkata bahawa badan yang cerdas akan membentuk otak
yang cergas. Segala tekanan sewaktu belajar atau bekerja akan dilupakan
apabila kita melakukan aktiviti-aktiviti fizikal yang dapat menyihatkan
tubuh badan seperti bersukan atau berenang. Jangan duduk diam dan
berkurung dalam bilik sambil melayan lagu-lagu sedih yang menyayatkan
jiwa hati, ini hanya menambahkan sebak di dada.
Lakukan apa saja akitiviti kecergasan, bersukan dapat menghasilkan
hormon yang mampu melegakan tekanan perasaan. Situasi akan menjadi lebih
menggembirakan jika kita meluangkan masa membawa keluarga pergi
beriadah. Ikatan kekeluargaan juga akan bertambah erat dan kukuh, Insya
Allah
.
.
11. Aktiviti bersama alam
Sentiasa memelihara hubungan dengan alam. Anugerah alam ciptaan Allah
SWT berupaya menenangkan, menyemai iman dan penawar bagi manusia.
Aktiviti berkebun, menanam dan menjaga pokok bunga bukan sahaja
menyihatkan malah membantu memupuk diri memelihara alam. Anda juga
menikmati ‘bird watching’, ‘nature walk’, berjalan di tepi pantai sambil
mengutip cengkerang untuk hiasan akuarium atau apa saja berkaitan
dengan aktiviti alam semulajadi yang cukup mendamaikan bersama-sama ahli
keluarga. Cuba gunakan keseluruhan deria untuk merasai kehadiran Allah
SWT.
12. Amal diet dengan disiplin yang kuat
Pengambilan makanan yang berlebihan dan tidak seimbang juga merupakan
salah satu faktor tekanan sewaktu bekerja. Oleh itu, cara untuk
mengurangkan tekanan adalah mengamalkan diet dengan disiplin yang kuat.
Diet yang tidak terkawal akan menyebabkan kegemukan dan menimbulkan
penyakit kronik yang lain seperti lemah jantung, darah tinggi, kencing
manis.
Jaga makan dan tidur berlebihan. Sayangi badan anda, jangan mendera
badan anda dengan tidur yang tidak mencukupi atau makan makanan yang
tidak berkhasiat.
13. Jangan malu untuk ketawa
Bilakah kali terakhir anda memegang majalah Gila-Gila atau Gelihati?
Anda boleh cubalah baca komik atau menonton cerita-cerita yang kelakar
yang mampu membuat anda ketawa atau tersenyum.
14. Menangis dengan sepuas hati
Jika anda jenis yang "tidak boleh" gelak-ketawa sebab "terputus wayar:,
maka cubalah menangis sepuas-puasnya. Ia mampu membuang jauh-jauh
perasaan yang gundah gelana.
Tekanan yang dihadapi sekiranya melibatkan individu yang lain dapat
diredakan melalui luahan hati kita dengan menuliskan rasa ketidakpuasan
hati kita itu dalam sehelai kertas. Sikap cuba menyimpan perasaan
tersebut dalam hati boleh menyebabkan diri merana. "Luaran lain hati
lain" ada sesetengah individu apabila mereka mengalami sesuatu tekanan,
mereka seolah-olah tidak menunjukkan permasalahan mereka itu. Sebagai
contoh, mereka akan sentiasa gembira bila dilihat bersama rakan-rakan
tetapi dalam hatinya hanya Allah yang Maha Mengetahui. Maka dengan
itulah, menangis dilihat sebagai salah satu cara kita dapat mengurangkan
tekanan yang dihadapi.
15. Hargai kebolehan diri sendiri
Kita perlu mempunyai satu sikap yang dipanggil yakin diri. Apabila kita
mempunyai keyakinan diri, maka kita tidak akan mempunyai masalah untuk
melakukan sesuatu pekerjaan yang disuruh oleh pihak lain sewaktu
bekerja. Kita yakin bahawa kita boleh melakukan kerja yang disuruh
dengan mudah dan tiada sebarang masalah yang dihadapi. Apa yang penting
ialah, kita mesti menghargai kebolehan diri sendiri dan memulakan hidup
dengan lebih ceria.
16. Fokus kepada warna yang menenangkan
Kajian membuktikan bahawa warna memberi kesan kepada perasaan kita.
Warna merah terang, oren dan kuning memberikan kita tenaga. Kombinasi
warna merah dan kuning menyebabkan darah kita berkitar dan menaikkan
suhu badan. Biru dan hijau memberi kesan menyejukkan dan menenangkan.
Anda pasti boleh mengenalpasti warna dengan cara anda sendiri untuk
mengubah perasaan yang anda mahukan.
17. Cuba hidu aroma yang menenangkan
Minyak pati aromaterapi lavender amat terkenal dengan aroma menenangkan.
Anda boleh cuba hangatkan pati aromaterapi lavender atau dapatkan saja
bau -bauan yang di gemari.
18. Hindari bunyi bising
Bunyi boleh memberi kesan kepada perasaan kita. Kita dilahirkan dengan
perasaan yang tidak selesa kepada bunyi bising. Kebisingan juga boleh
memberi tekanan dalam diri. Ia juga boleh menaikkan tekanan darah,
mempercepatkan degupan jantung dan memberi kesan psikologi yang lain.
Walau bagaimanapun bukan semua bunyi memberi kesan buruk. Muzik
contohnya boleh memberi kesan yang baik kepada perasaan dan kesihatan
diri kita.
Menurut kajian dari Avram Goldstein, muzik boleh menyebabkan otak
mengeluarkan sejenis bahan penenang yang dinamakan endorfin. Muzik juga
boleh menimbulkan pelbagai variasi perasaan. Justeru, jika anda rasa
tertekan, dengarlah lagu-lagu kegemaran anda. Semoga ia dapat membantu
mengurangkan tekanan yang dihadapi.
19. Hadkan pengambilan ubat-ubatan
Ada sesetengah ubat-ubatan yang kita ambil mampu menyumbangkan mood
swing yang kurang baik seperti kemurungan dan emosi tidak terkawal. Jika
ia tidak perlu, anda boleh cuba elakkan pengambilan ubat-ubatan
sebegini seboleh mungkin. Simpan ubatan di tempat yang susah sukar
dicapai sekiranya anda berniat untuk mengambilnya dalam dos yang
berlebihan. Jangan mengambil pil tidur tanpa preskripsi doktor.
20. Katakan tidak pada alkohol dan dadah
Elakkan dari mengambil alkohol dan dadah-dadah lain yang boleh
mengakibatkan hilang pertimbangan anda. Mengambil sesuatu yang
mengkhayalkan tidak akan membantu untuk menghilangkan tekanan,
sebaliknya akan membuatkan anda menjadi ketagih dengannya.
21. Dapatkan sokongan sosial atau rujuk pakar
Cuba dapatkan bantuan kaunseling melalui ruangan kaunseling, NGO
berkaitan atau boleh juga melalui telefon seperti talian "Befrienders"
dan lain-lain. Sekiranya semua gagal, dapatkan bantuan pakar untuk
mendapatkan rawatan yang selanjutnya.
sumber : Alam Informasi
No comments:
Post a Comment