Showing posts with label Anti Dadah. Show all posts
Showing posts with label Anti Dadah. Show all posts

Monday, 29 May 2017

Bahaya Dadah Flakka



Baru-baru ini sejenis dadah baru telah mendapat perhatian di Amerika Syarikat apabila pengguna dadah tersebut telah bertindak di luar jangkaan dengan melakukan keganasan dan huru hara di kalangan kehidupan masyarakat setempat di sana.
 


Dadah tersebut dikenali sebagai Flakka atau 'sabun garam' (bath salt) yang boleh mengubah seseorang yang mengambil dadah tersebut kepada 'zombie'.

Dengar seperti tidak logik kerana zombie hanya rekaan dan berlaku di dalam filem-filem yang telah ditayangkan seperti filem terbaru iaitu Train To Busan.

 


Tetapi untuk kenyataan sebenar yang telah berlaku, 'zombie' ini telah wujud sejak tahun 2015 lagi. Flakka telah mula merebak di beberapa negara besar dan telah mencetuskan huru-hara sehingga membawa kematian.

 


Dadah ini telah mendapat perhatian dunia apabila beberapa video telah menjadi viral di media sosial yang menunjukkan penagihnya memberi tindakan agresif pada luar jangkaan.

Sifat yang ditunjukkan oleh penagih, akan meronta-ronta, menjerit dan mencederakan diri sendiri atau orang yang berhampiran dengannya akibat kesan daripada dadah tersebut.

 


Dadah Flakka ini merupakan dadah sintetik yang pada mulanya digunakan di rokok E-elektronik (vape) yang mudah larut dengan sedikit bahan bakar.

Ia juga dipanggil sebagai pharmaceutical yang direka sebagai dadah Pyrroldinopentiophenone dan selain itu juga ia dipanggil sebagai PVP atau alpha-PVP.

 


Dadah ini sangat merbahaya kerana ia kelihatan seperti garam putih yang memberi kesan sama seperti dadah kokain dan methamphetamine tetapi lebih kuat daripada kedua-duanya. Tidak mustahil ia menjadi popular di kalangan remaja sekarang ini terutama di Amerika Syarikat kerana dadah Flakka ini sudah cukup kuat lebih 10 kali ganda daripada yang lain.

Selain daripada itu, pengguna dadah ini juga akan mengalami suhu badan yang meningkat sehingga 105 darjah celsius dan mengalami paranonia yang teruk ketika mengambilnya.

 


Bagi remaja diluar sana terutama di Malaysia, semoga dengan info ini dapat memberi manfaat kepada kamu semua agar tidak terjebak untuk mengambil dadah seperti ini. Jika kamu bukan pengguna, sebarkan info ini agar orang yang kamu sayangi tidak mudah terjebak dengan dadah ini.

 
Ingat, dadah ini boleh membuatkan seseorang itu menjadi ganas sehingga boleh membawa kematian. Jadilah remaja yang bijak dan bersih daripada segala kekotoran terutama dadah. Katakan taknak kepada dadah! #IniBaruRemaja
Sumber: CNN, BBC, America Post, Sinar Online

 

Tuesday, 17 January 2017

MENGENAI DADAH SYABU/ICE

Image result for syabu



Kerosakan Akibat Pengambilan Dadah Jenis Syabu , Ice , Meth dan Amphetamine Type Stimulant.
Syabu atau nama kimianya Methamphetamine, adalah dadah peransang jenis Amfetamina (Amphetamine-Type Stimulants, ATS).
Dadah jenis ini dihasilkan pada abad lalu dari dadah induknya Amphetamine, yang dahulunya diguna untuk melegakan pernafasan akibat hidung tersumbat.

Walau bagaimanapun, pada hari ini, kegunaannya terhad untuk keadaan-keadan tertentu seperti untuk rawatan narkolepsi ( satu keadaan di mana seseorang rasa mengantuk dan tertidur secara spontan), sindrome kurang penumpuan perhatian, dan kegemukan yang teruk (untuk kegunaan bagi jangkamasa singkat)

Syabu dihasilkan di makmal haram dari bahan prekursor seperti Ephedrine, Pseudoephedrine dan Phenylpropanolamine.
Apabila kawalan yang ketat dikenakan ke atas prekursor, pengilang haram ini mula mencuba resipi baru dengan menggunakan bahan-bahan lain yang merbahaya, seperti asid bateri dan pencuci longkang.

Bahan-bahan ini meningkatkan lagi risiko pendedahan pengguna kepada kesan buruk dan kematian .

Syabu gred satu yang berkualiti berwarna putih kristal sementara syabu gred dua warna putih kemerahan dan gred tiga pula rendah kualitinya serta mempunyai rasa yang pahit.

APAKAH KESAN SEGERA SYABU?

Syabu ialah stimulan yang poten. Pengguna menggemarinya kerana ia memberi rasa euphoria - rasa gembira dan menyeronokkan; rasa lebih bertenaga dengan peningkatan aktiviti fizikal, hilang mengantuk, peningkatan tumpuan perhatian, berjaga-jaga dan pengurangan selera.


Walaubagaimanapun, pengguna syabu akan mengalami kesan buruk seperti mulut kering, berpeluh berlebihan, anak mata menjadi besar, menggeletar dan sakit kepala.

Selepas kesan khayal, seseorang itu merasa gelisah, cepat marah, gementar, kebingungan, fikiran terganggu dan boleh bersifat ganas.
Pada dos yang tinggi dadah ini menaikkan suhu badan kepada tahap yang membahayakan, mengakibatkan sawan dan akhirnya maut.

APA BAHAYA SYABU KEPADA KESIHATAN?

Penggunaan syabu memudaratkan kesihatan kerana:

1. Toleran - kesan toleran terjadi dengan cepat mengakibatkan penggunanya mengambil dos lebih dan berulang untuk meneruskan kesan khayal yang dialaminya.
Dalam keadaan tertentu, pengguna tidak makan atau tidur tetapi pada masa yang sama terus menyuntik dadah ini sehingga 1 gram setiap 2 - 3 jam dalam jangka masa beberapa hari sehingga bekalannya habis atau sehingga mereka tidak berupaya meneruskannya.
Terdapat juga pengguna yang tahan tidak tidur dari 3 - 15 hari akibat dadah ini.

2. Penagihan - Pengguna dadah ini akan mengalami ketagihan dan juga penggantungan psikologi akibat pengambilan syabu.
Ketagihan ini akan berada pada tahap kronik dan berulang. Pemberhentian pengambilan dadah ini akan menyebabkan kemurungan, kegelisahan, keletihan, syak wasangka tanpa sebab, sifat ganas dan menagih untuk mendapatkan dadah tersebut.

3. Pengabaian diri - Apabila di bawah pengaruh syabu, pengguna tidak makan, tidur dan mengabaikan diri sendiri.
Penggunaan pada dos tinggi akan menyebabkan hilang berat badan yang ketara, muka menjadi pucat, pengabaian kesihatan diri dengan perpeluhan, badan berbau, gigi kekuningan, berparut dan luka-luka di badan.
Kudis jelas kelihatan akibat pengguna syabu menggaru kulit untuk menghapus bayangan serangga yang disangka berada pada kulitnya.

4. Kurang daya tahan kepada penyakit - Pengguna syabu yang mengabaikan pemakanan dan tidur yang sempurna akan menjadi lemah dan kurang daya tahan melawan penyakit.

5. Kerosakan pada otak dan sistem saraf seseorang -Penggunaan kronik mengakibatkan berkelakuan terlalu aktif, susah tidur
, kemurungan yang teruk, khayal, syak wasangka tanpa sebab, bersikap garang, keganasan tidak terkawal, dan perlakuan psikotik seperti gila.


Penyelidik-penyelidik mendapati kerosakan pada sistem saraf dan otak yang bolih menyebabkan gejala-gejala seperti penyakit Parkinson (dengan gangguan pergerakan anggota-anggota badan) dan penyakit Alzheimer (dengan kehilangan ingatan dan kekurangan daya berfikir).

6. Gangguan metabolisma badan - dadah ini menyebabkan hilang selera yang ketara, kurang pemakanan, kehilangan berat badan yang jelas, kurus dan lain-lain masalah akibat metabolisma badan yang terjejas.

7. Kerosakan pada jantung dan sistem pendarahan - dadah ini menyebabkan degupan kencang, tidak menentu dan tekanan darah meningkat, yang mengakibatkan sakit jantung dan maut. Kerosakan pada saluran darah menyebabkan sakit ahmar.

8. Kerosakan pada sistem pernafasan - dadah ini, lebih-lebih lagi jika dicemarkan dengan bahan berbahaya, akan menyebabkan masalah pernafasan.

9. Gangguan kepada saluran makanan - Kebuluran berlanjutan sebab tidak makan semasa pengambilan syabu, serta bahan toksik dalam dadah yang dicampur dengan bahan lain menyebabkan gangguan kepada perut dan sistem penghadaman.

10. Bahaya semasa mengandung - penggunaan Methamphetamine semasa mengandung akan menjejaskan pembentukan bayi, kelahiran sebelum cukup tempoh atau keguguran.
Bayi yang dilahirkan adalah kecil, terlalu aktif dan mudah gelisah. Dikhuatiri juga bayi ini akan mengalami masalah mental dan masalah tumbesaran .

11. Kemalangan jalan raya - pengguna syabu boleh terlibat dalam kemalangan jalan raya akibat kesan kebingungan, khayal, paranoia, keganasan dan kelakuan psikotik.

12. Bahaya daripada exploitasi seks dan seks bebas - Hasil penyelidikan mendapati pengguna Methamphetamine menjadi lebih berahi.

Penggunaan dadah ini sering dikaitkan dengan hubungan seks yang lebih ganas menyebabkan pendarahan dan luka.
Remaja terutama gadis-gadis di bawah pengaruh syabu akan terdedah kepada bahaya ekploitasi seks serta hubungan jenis tidak selamat yang boleh menyebabkan jangkitan HIV, hepatitis dan lain-lain penyakit kelamin.

Penggunaan Methamphetamine dalam jangka masa panjang menyebabkan lelaki menghadapi masalah fungsi seks mereka.

13. Bahaya akibat HIV, Hepatitis dan lain-lain penyakit berjangkit - penyakit-penyakit ini mungkin dijangkiti akibat amalan seks bebas atau tanpa perlindungan semasa di bawah pengaruh dadah ini, dan juga dari penggunaan alat-alat suntikan yang tercemar dan dikongsi.

14. Masalah-masalah sosial lain - Semua aspek kehidupan seseorang termasuk keluarganya, hubungan dengan orang lain dan kerja akan terjejas akibat dadah ini.

Pengguna akan menghadapi pertelingkahan kerana masalah dadah dan kewangan akibat ketagihan dadah.
Di tempat kerja penyalahgunaan dadah ini akan bermasalah disebabkan sifatnya yang cepat marah, tidak mesra dan kecenderungan kepada keganasan.
Pengguna syabu juga mungkin terlibat dengan kejadian jenayah spontan seperti meragut beg bimbit dan serangan untuk menampung ketagihan mereka.

Sifat paranoia dan ganas ini boleh menyebabkan pengguna membunuh diri atau melakukan pembunuhan.
Di California, terdapat seorang lelaki yang semasa dibawah pengaruh syabu mencuri sebuah kereta perisai milik agensi keselamatan National Guard dan merosakkan beberapa kereta di jalanraya San Diego sebelum dia akhirnya ditembak oleh polis.


APA KAWALAN UNDANG-UNDANG KE ATAS SYABU?.
Sebelum 29.11.97,
Methamphetamine dikawal sebagai bahan psikotropik di bawah Akta Racun 1952 (Disemak 1989) di mana pemilikan, penjualan atau bekalan tanpa kuasa atau kebenaran/lesen boleh dikenakan tindakan mahkamah dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 atau pemenjaraan sehingga 4 tahun atau kedua-duanya sekali.


Pada 29.11.97 Methamphetamine diwartakan sebagai dadah berbahaya melalui P.U.(A) 500. Pada masa itu di bawah Seksyen 12 sesiapa yang didapati mengimport, mengeksport atau memiliki Methamphetamine tanpa kuasa atau kebenaran sah melakukan kesalahan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman tidak melebihi RM20,000 atau penjara sehingga 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

Menyedari hukuman di atas yang nyata adalah ringan berbanding dengan bahaya dadah ini, Kementerian Kesihatan telah mencadangkan Pindaan kepada Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Pindaan ini telah diluluskan oleh Parlimen pada 1.7.1998 untuk meningkatkan hukuman berkaitan dadah berbahaya dan meningkatkan kawalan ke atas dadah peransang jenis Amfetamina termasuk syabu. Akta Dadah Berbahaya (Pindaan) 1998 ini berkuatkuasa 15.9.1998.

Di bawah Pindaan ini -
Pemilik 50g dan lebih Methamphetamine dianggap sebagai mengedar dadah dan akan dihukum mati mandatori jika sabit kesalahan.


Pemilik lebih 30g tetapi kurang dari 50g Methamphetamine boleh dikenakan hukuman penjara 5 tahun sehingga seumur hidup dan sebatan tidak kurang dari 10 sebatan.

Pemilik lebih 5g tetapi kurang dari 30g Methamphetamine boleh dikenakan hukuman penjara 2-5 tahun dan sebatan 3-9 sebatan.

Pengguna yang menggunakan Methamphetamine ke atas diri sendiri boleh dikenakan tindakan di bawah seksyen 15 Akta Dadah Berbahaya dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga 2 tahun atau kedua-duanya.
Source :AADK Malaysia

Wednesday, 8 June 2016

Islam haram salah guna dadah


 
Dadah
Dadah. - Gambar Hiasan

SESUNGGUHNYA penyalahgunaan najis dadah telah lama menular di negara ini. Bilangan penagih dari sehari ke sehari bertambah. Kerajaan mengambil tindakan serius untuk menanganinya di semua peringkat, antaranya membuat penambahbaikan kepada agensi pencegahan dadah termasuk Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dan Ikatan Relawan Rakyat (Rela).

Sementara, semua badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam), Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKKP), ahli politik, ketua-ketua jabatan dan pelbagai pertubuhan kemasyarakatan termasuk PIBG, belia, wanita dan keagamaan dikerah sama untuk menangani masalah ini.

Sebenarnya, usaha pencegahan penyalahgunaan najis dadah adalah sesuatu yang universal. Ia bukan terhad kepada agama Islam sahaja kerana semua agama melarang penganutnya mabuk, hilang akal, kelakuan tidak senonoh atau sesuatu yang boleh menyebabkan seseorang itu hilang pertimbangan dalam sesuatu tindakan sebagai manusia normal.

 Islam begitu tegas mencegah penyalahgunaan dadah kerana najis dadah diistilahkan sebagai sesuatu yang melemahkan (mukhadir); sesuatu yang memabukkan (muftir) dan sesuatu yang mengakibatkan seseorang tidak sedar (musakir). Lebih tepat lagi, dari segi biologinya najis dadah termasuk dalam perkataan sesuatu yang memabukkan itu haram (al-Khamr).

Dalam al-Quran ada tiga rujukan khusus mengenai al-Khamr. Perkataan al-Khamr pertama kali diturunkan di Madinah pada tahun pertama dan kedua  Hijrah, di mana ALLAH SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 219 bermaksud: “Mereka bertanya kepada-Mu (Wahai Muhhamad) tentang “al-Khamr” dan “judi”. Katakanlah: “Pada kedua-duanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, akan tetapi dosa kedua-duanya lebih besar daripada manfaatnya.”

ALLAH SWT berfirman dalam Surah An-Nisaa’ ayat 43 bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu melakukan sembahyang, sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehinggalah kamu mengerti apa yang kamu ucapkan".

Hadis Nabi Muhammad SAW - antaranya Ibnu Umar RA, menyebut bahawa Baginda Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Setiap bahan yang memabukkan ialah khamr dan segala yang memabukkan adalah haram. Sesiapa meminum arak di dunia ini dan mati dalam meminumnya dan tidak memohon keampunan, tidak akan dapat meminumnya di akhirat.”

Ini jelas bahawa tanpa merujuk kepada jenis atau bentuknya, apa jua bahan yang mengakibatkan tidak siuman adalah haram. Pengecualian dari peraturan ini adalah jika dadah dimakan sebagai ubat atau penawar boleh dibuat sekiranya tiada pilihan yang lain.
Sebenarnya, apabila disebut haram sama ada dimakan sedikit atau banyak  hukumnya adalah haram. Ini ditekankan dalam hadis yang diriwayatkan  al-Imam At Tirmizi daripada Jabir bin Abdullah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesuatu jika banyak boleh memabukkan, maka yang sedikit pun hukumnya haram.”

Perlu disebut bahawa orang Islam bukan sahaja dianjurkan supaya menjauhi penyalahgunaan dadah dan pada masa sama menanam, menghasilkan, memproses, menyimpan, mengangkut, mengedar atau memasarkannya, sama ada secara sulit atau terbuka atau apa-apa aktiviti secara tertutup atau terang-terangan adalah haram. Ini dibuktikan oleh al-Iman Abu Daud daripada Abdullah ibnu Umar bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:

“ALLAH SWT melaknat khamr, melaknat peminumnya, penuangnya, penjualnya, yang memerahkannya, yang minta diperahkan, yang membawanya dan yang minta dibawakan.”
Dalam hubungan ini, kita boleh merumuskan bahawa orang-orang Islam dilarang memakan najis dadah, penjualan/pembelian, penanaman pokok, pemprosesan, penggunaan, keuntungan yang diperoleh daripada penjualan, pembelian dan penghasilan najis dadah.

MITOS DAN FAKTA RAWATAN METHADONE


Program Rawatan Methadone telah dimulakan di Malaysia semenjak tahun 2005 bagi merawat masalah kebergantungan dadah jenis opio...d. Program ini merupakan program Kementerian Kesihatan Malaysia dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pengajian Tinggi.

Ia merupakan salah satu kaedah dalam Program Pengurangan Kemudaratan (harm reduction) yang memberi fokus kepada peningkatan status kesihatan dalam kalangan penagih dadah jenis opiod sahaja iaitu seperti kebergantungan dadah heroin dan morfin.
Program ini dilaksanakan dengan pemberian ubat berpreskripsi iaitu sirap Methadone di bawah penjagaan rawatan Pegawai Perubatan bertauliah dan kemudiannya ubat ini didispens dan perlu diminum dengan sempurna oleh pesakit di bawah pengawasan Pegawai Farmasi terlatih.

Dadah opiod dikelaskan dalam kategori ubat penekan (depressant drug) yang sering digunakan untuk memberi kesan analgesik bagi merawat kesakitan tetapi ia kerapkali disalahgunakan oleh kebanyakan penagih kerana kesan sedatifnya. Methadone pula adalah sejenis ubat yang boleh digunakan bagi menggantikan penggunaan dadah heroin dan morfin tanpa memberikan kesan sedatif kepada pengunanya dan pengunaannya tidak memberikan kesan dari segi undang-undang.

Oleh itu, methadone sangat bersesuaian bagi membantu penguna dadah opiod yang ingin menjalani kehidupan bebas tanpa dadah dan sekaligus mampu mengurangkan penggunaan dadah tersebut. Methadone perlu diambil secara oral (melalui mulut) dan cara pengambilan ini mampu mengatasi jangkitan penyakit bawaan darah seperti HIV, hepatitis B dan hepatitis. Selain daripada itu, methadone juga dapat mengatasi pelbagai masalah akibat daripada kebergantungan dadah seperti masalah gejala tarikan, kes overdos dan kes jenayah.

Halangan terbesar bagi golongan penagih dadah yang ingin berubah ini ialah stigma yang menebal dalam kalangan masyarakat terhadap mereka disebabkan oleh masalah kebergantungan dadah. Oleh itu, penagih ini sukar dan berat hati untuk tampil menerima rawatan methadone. Malah mereka yang sedang menjalanai rawatan methadone juga tetap menerima stigma samada daripada mesyarakat mahupun inividu yang memberikan perkhidmatan rawatan.

Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku kerana pengurangan pengambilan dadah heroin dan morfin ini hasil daripada rawatan methadone akan mendatangkan impak yang sangat besar bukan sahaja daripada segi kesihatan penagih tetapi kepada kualiti kehidupan penagih, keluarga penagih dan masyarakat setempat. Rawatan methadone juga dikaitkan dengan banyak mitos yang menyebabkan penagih dan ahli keluarga berasa ragu-ragu untuk memulakan atau meneruskan rawatan.

Terdapat enam mitos utama yang selalu dikaitkan dengan rawatan methadone. Pemahaman kepada mitos ini adalah penting dalam menangkis stigma dan salah tanggapa dalam kalangan pengguna dadah, ahli keluarga dan juga masyarakat terhadap rawatan methadone.

Mitos # 1: Pengambilan methadone adalah sama seperti mengambil dadah opiod heroin atau morfin
Fakta: Methadone adalah tidak sama dengan dadah opioid heroin atau morfin. Methadone adalah sejenis ubat yang digunakan dalam merawat kebergantungan dadah opiod seperti heroin dan morfin. Tindakbalas methadone di dalam badan juga berbeza dengan tiada kesan sedatif jika diambil berbanding pengambilan heroin atau morfin. Malah pengambilan methadone tidak akan menyebabkan urin positif dan bebas daripada tindakan penguatkuasaan pihak berkuasa.


Mitos # 2: Pesakit methadone yang telah tidak mengambil sebarang dadah terlarang lain sebenarnya mempunyai masalah ketagih kepada methadone pula.

Fakta: Pesakit tidak ketagih kepada methadone tetapi memerlukan rawatan methadone yang berterusan untuk mengekalkan status pemulihan. Methadone yang diambil dengan betul adalah selamat dan bermanfaat, bukan sebaliknya. Konsep rawatan berterusan ini adalah sama dengan konsep rawatan pesakit-pesakit penyakit kronik lain seperti pesakit diabetes, pesakit hipertensi, pesakit asma yang perlu mengambil ubat-ubatan mereka seumur hidup bagi mengawal penyakit mereka.


Mitos # 3: Pesakit yang berada di dalam rawatan methadone tidak boleh melakukan kerja berat dan menunjukkan prestasi kerja yang tidak baik 

Fakta: Pesakit methadone yang stabil mampu bekerja berat dengan prestasi kerja yang jauh lebih baik berbanding jika masih mengambil dadah. Pesakit methadone tidak akan mengalami sebarang kesan gian, lentok, lalok ataupun khayal semasa bekerja. Melalui kesan methadone yang lama iaitu sehingga 24jam, pesakit tidak akan merasa gian, tidak perlu resah tentang cara mendapatkan dadah dan bebas daripada kesan khayal selepas mengambil dadah. Maka pesakit boleh fokus bekerja dengan baik. Pesakit sering menyifatkan keadaan mereka sebagai normal dan prestasi kerja sama sekali tidak akan terjejas. Kajian menunjukkan pesakit methadone yang stabil mempunyai koordinasi mata dengan tangan, tindakbalas respon dan pemerhatian yang baik seperti individu normal yang lain.


Mitos # 4: Methadone akan menyebabkan pereputan gigi dan tulang

Fakta: Methadone tidak akan menyebabkan pereputan gigi dan tulang. Salah satu kesan sampingan pengambilan methadone hanyalah pengeringan mulut disebabkan oleh pengurangan rembesan air liur. Pesakit sering dinasihatkan agar menjaga kebersihan gigi, mengurangkan pengambilan gula dan minum air dengan mencukupi bagi mengelakkan gejala kekeringan mulut. Masalah pesakit mengalami sakit pinggang atau sengal tulang adalah mungkin disebabkan kesan gian yang dialami pesakit dan bukannya disebabkan oleh methadone. pesakit perlu berjumpa dan berbincang dengan pegawai perubatan mengenai dos methadone yang mungkin tidak mencukupi.


Mitos # 5: Pengambilan methadone semasa hamil adalah tidak selamat

Fakta: Methadone adalah ubat yang selamat untuk digunakan bagi merawat masalah kebergantungan opiod dalam kalangan pesakit hamil. Kajian menunjukkan bayi di dalam kandungan tidak mengalami sebarang kecacatan atau tumbesaran yang perlahan dalam tempoh pengambilan methadone oleh ibu. Manakala pengambilan dadah terlarang secara berterusan semasa hamil akan lebih berisiko menyebabkan kecacatan dan mudarat kepada bayi.


Mitos # 6: Sukar untuk memulakan dan berhenti daripada rawatan methadone

Fakta: Setiap pesakit yang ingin dimulakan rawatan methadone perlu disaring terlebih dahulu seperti pemeriksaan darah dan fungsi hati, perkara ini penting bagi memudahkan pegawai perubatan menentukan dos methadone yang selamat untuk diambil pesakit. Disebabkan methadone merupakan ubat sintetik, dos yang diperlukan untuk rawatan adalah berbeza berbanding pengambilan dos heroin atau morfin. Oleh itu saringan perubatan hendaklah dilakukan terlebih dahulu. Pesakit methadone hendaklah menjalani rawatan sekurang-kurangnya selama 12 bulan bagi memastikan pesakit mendapat rawatan yang berkesan. Selepas tempoh itu, jika pesakit yakin akan pemulihan mereka, pesakit dibenarkan untuk melakukan penurunan dos secara berperingkat sebelum boleh berhenti mengambil methadone sepenuhnya.


Mitos-mitos ini adalah perkara yang sering diperkatakan dalam kalangan pesakit methadone dan pengguna dadah. Lebih malang apabila ia bukan sekadar diperkatakan malah dipercayai kebenarannya oleh golongan ini. Keadaan bertambah buruk dengan kewujudan stigma dalam masyarakat setempat yang menyebabkan golongan sasar ini malu untuk bertanya kepada kakitangan kesihatan terutamanya pegawai perubatan dan pegawai farmasi bagi mendapatkan rawatan.

Semoga pemahaman yang lebih jelas berkaitan rawatan methadone dapat disampaikan kepada mereka yang memerlukan dan semoga ia menjadi satu permulaan kepada langkah pertama penagih yang ingin berubah kepada perkara yang lebih baik. Sila hubungi klinik kesihatan atau hospital berhampiran jika terdapat sebarang pertanyaan mengenai program rawatan methadone atau sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1 800-88-6722.
Wan Maisarah Bt Wan Ahmad Kamal
Pegawai Farmasi, Klinik Kesihatan Taman Medan

KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA.

Keajaiban Menderma

  Dalam 1 program TV di Amerika, pengacara siaran tersebut mengiklankan tentang seorang pesakit yang memerlukan pembedahan segera yang berha...