Wednesday, 8 June 2016

MITOS DAN FAKTA RAWATAN METHADONE


Program Rawatan Methadone telah dimulakan di Malaysia semenjak tahun 2005 bagi merawat masalah kebergantungan dadah jenis opio...d. Program ini merupakan program Kementerian Kesihatan Malaysia dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pengajian Tinggi.

Ia merupakan salah satu kaedah dalam Program Pengurangan Kemudaratan (harm reduction) yang memberi fokus kepada peningkatan status kesihatan dalam kalangan penagih dadah jenis opiod sahaja iaitu seperti kebergantungan dadah heroin dan morfin.
Program ini dilaksanakan dengan pemberian ubat berpreskripsi iaitu sirap Methadone di bawah penjagaan rawatan Pegawai Perubatan bertauliah dan kemudiannya ubat ini didispens dan perlu diminum dengan sempurna oleh pesakit di bawah pengawasan Pegawai Farmasi terlatih.

Dadah opiod dikelaskan dalam kategori ubat penekan (depressant drug) yang sering digunakan untuk memberi kesan analgesik bagi merawat kesakitan tetapi ia kerapkali disalahgunakan oleh kebanyakan penagih kerana kesan sedatifnya. Methadone pula adalah sejenis ubat yang boleh digunakan bagi menggantikan penggunaan dadah heroin dan morfin tanpa memberikan kesan sedatif kepada pengunanya dan pengunaannya tidak memberikan kesan dari segi undang-undang.

Oleh itu, methadone sangat bersesuaian bagi membantu penguna dadah opiod yang ingin menjalani kehidupan bebas tanpa dadah dan sekaligus mampu mengurangkan penggunaan dadah tersebut. Methadone perlu diambil secara oral (melalui mulut) dan cara pengambilan ini mampu mengatasi jangkitan penyakit bawaan darah seperti HIV, hepatitis B dan hepatitis. Selain daripada itu, methadone juga dapat mengatasi pelbagai masalah akibat daripada kebergantungan dadah seperti masalah gejala tarikan, kes overdos dan kes jenayah.

Halangan terbesar bagi golongan penagih dadah yang ingin berubah ini ialah stigma yang menebal dalam kalangan masyarakat terhadap mereka disebabkan oleh masalah kebergantungan dadah. Oleh itu, penagih ini sukar dan berat hati untuk tampil menerima rawatan methadone. Malah mereka yang sedang menjalanai rawatan methadone juga tetap menerima stigma samada daripada mesyarakat mahupun inividu yang memberikan perkhidmatan rawatan.

Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku kerana pengurangan pengambilan dadah heroin dan morfin ini hasil daripada rawatan methadone akan mendatangkan impak yang sangat besar bukan sahaja daripada segi kesihatan penagih tetapi kepada kualiti kehidupan penagih, keluarga penagih dan masyarakat setempat. Rawatan methadone juga dikaitkan dengan banyak mitos yang menyebabkan penagih dan ahli keluarga berasa ragu-ragu untuk memulakan atau meneruskan rawatan.

Terdapat enam mitos utama yang selalu dikaitkan dengan rawatan methadone. Pemahaman kepada mitos ini adalah penting dalam menangkis stigma dan salah tanggapa dalam kalangan pengguna dadah, ahli keluarga dan juga masyarakat terhadap rawatan methadone.

Mitos # 1: Pengambilan methadone adalah sama seperti mengambil dadah opiod heroin atau morfin
Fakta: Methadone adalah tidak sama dengan dadah opioid heroin atau morfin. Methadone adalah sejenis ubat yang digunakan dalam merawat kebergantungan dadah opiod seperti heroin dan morfin. Tindakbalas methadone di dalam badan juga berbeza dengan tiada kesan sedatif jika diambil berbanding pengambilan heroin atau morfin. Malah pengambilan methadone tidak akan menyebabkan urin positif dan bebas daripada tindakan penguatkuasaan pihak berkuasa.


Mitos # 2: Pesakit methadone yang telah tidak mengambil sebarang dadah terlarang lain sebenarnya mempunyai masalah ketagih kepada methadone pula.

Fakta: Pesakit tidak ketagih kepada methadone tetapi memerlukan rawatan methadone yang berterusan untuk mengekalkan status pemulihan. Methadone yang diambil dengan betul adalah selamat dan bermanfaat, bukan sebaliknya. Konsep rawatan berterusan ini adalah sama dengan konsep rawatan pesakit-pesakit penyakit kronik lain seperti pesakit diabetes, pesakit hipertensi, pesakit asma yang perlu mengambil ubat-ubatan mereka seumur hidup bagi mengawal penyakit mereka.


Mitos # 3: Pesakit yang berada di dalam rawatan methadone tidak boleh melakukan kerja berat dan menunjukkan prestasi kerja yang tidak baik 

Fakta: Pesakit methadone yang stabil mampu bekerja berat dengan prestasi kerja yang jauh lebih baik berbanding jika masih mengambil dadah. Pesakit methadone tidak akan mengalami sebarang kesan gian, lentok, lalok ataupun khayal semasa bekerja. Melalui kesan methadone yang lama iaitu sehingga 24jam, pesakit tidak akan merasa gian, tidak perlu resah tentang cara mendapatkan dadah dan bebas daripada kesan khayal selepas mengambil dadah. Maka pesakit boleh fokus bekerja dengan baik. Pesakit sering menyifatkan keadaan mereka sebagai normal dan prestasi kerja sama sekali tidak akan terjejas. Kajian menunjukkan pesakit methadone yang stabil mempunyai koordinasi mata dengan tangan, tindakbalas respon dan pemerhatian yang baik seperti individu normal yang lain.


Mitos # 4: Methadone akan menyebabkan pereputan gigi dan tulang

Fakta: Methadone tidak akan menyebabkan pereputan gigi dan tulang. Salah satu kesan sampingan pengambilan methadone hanyalah pengeringan mulut disebabkan oleh pengurangan rembesan air liur. Pesakit sering dinasihatkan agar menjaga kebersihan gigi, mengurangkan pengambilan gula dan minum air dengan mencukupi bagi mengelakkan gejala kekeringan mulut. Masalah pesakit mengalami sakit pinggang atau sengal tulang adalah mungkin disebabkan kesan gian yang dialami pesakit dan bukannya disebabkan oleh methadone. pesakit perlu berjumpa dan berbincang dengan pegawai perubatan mengenai dos methadone yang mungkin tidak mencukupi.


Mitos # 5: Pengambilan methadone semasa hamil adalah tidak selamat

Fakta: Methadone adalah ubat yang selamat untuk digunakan bagi merawat masalah kebergantungan opiod dalam kalangan pesakit hamil. Kajian menunjukkan bayi di dalam kandungan tidak mengalami sebarang kecacatan atau tumbesaran yang perlahan dalam tempoh pengambilan methadone oleh ibu. Manakala pengambilan dadah terlarang secara berterusan semasa hamil akan lebih berisiko menyebabkan kecacatan dan mudarat kepada bayi.


Mitos # 6: Sukar untuk memulakan dan berhenti daripada rawatan methadone

Fakta: Setiap pesakit yang ingin dimulakan rawatan methadone perlu disaring terlebih dahulu seperti pemeriksaan darah dan fungsi hati, perkara ini penting bagi memudahkan pegawai perubatan menentukan dos methadone yang selamat untuk diambil pesakit. Disebabkan methadone merupakan ubat sintetik, dos yang diperlukan untuk rawatan adalah berbeza berbanding pengambilan dos heroin atau morfin. Oleh itu saringan perubatan hendaklah dilakukan terlebih dahulu. Pesakit methadone hendaklah menjalani rawatan sekurang-kurangnya selama 12 bulan bagi memastikan pesakit mendapat rawatan yang berkesan. Selepas tempoh itu, jika pesakit yakin akan pemulihan mereka, pesakit dibenarkan untuk melakukan penurunan dos secara berperingkat sebelum boleh berhenti mengambil methadone sepenuhnya.


Mitos-mitos ini adalah perkara yang sering diperkatakan dalam kalangan pesakit methadone dan pengguna dadah. Lebih malang apabila ia bukan sekadar diperkatakan malah dipercayai kebenarannya oleh golongan ini. Keadaan bertambah buruk dengan kewujudan stigma dalam masyarakat setempat yang menyebabkan golongan sasar ini malu untuk bertanya kepada kakitangan kesihatan terutamanya pegawai perubatan dan pegawai farmasi bagi mendapatkan rawatan.

Semoga pemahaman yang lebih jelas berkaitan rawatan methadone dapat disampaikan kepada mereka yang memerlukan dan semoga ia menjadi satu permulaan kepada langkah pertama penagih yang ingin berubah kepada perkara yang lebih baik. Sila hubungi klinik kesihatan atau hospital berhampiran jika terdapat sebarang pertanyaan mengenai program rawatan methadone atau sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1 800-88-6722.
Wan Maisarah Bt Wan Ahmad Kamal
Pegawai Farmasi, Klinik Kesihatan Taman Medan

KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA.

No comments:

Post a Comment

Keajaiban Menderma

  Dalam 1 program TV di Amerika, pengacara siaran tersebut mengiklankan tentang seorang pesakit yang memerlukan pembedahan segera yang berha...