Kebimbangan berbanding gangguan kebimbangan
Kebimbangan adalah emosi biasa yang kita alami bila berdepan dengan keadaan yang tidak tentu atau berbahaya. Kita berasa bimbang bila kita mengalami situasi yang menekankan seperti kehilangan kerja, terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, atau menjelang peperiksaan.
Rasa takut akan timbul bila ancaman tersebut lebih hampir dan lebih mudah dikenali. Contohnya, bila melihat ke bawah dari tebing tinggi atau bila diserang oleh anjing menderam yang besar. Takat kebimbangan yang tertentu ada baiknya kerana ia dapat meningkatkan prestasi kita dan membantu kita mengendalikan masalah yang sedang dihadapi.
Gangguan kebimbangan berlaku bilamana kebimbangan menjadi begitu teruk dan berpanjangan sehingga ianya mula mengganggu kebolehan kita untuk mengendalikan aktiviti seharian. Gangguan kebimbangan adalah jenis gangguan mental yang paling kerap berlaku. Kebanyakan orang tersalah tafsir gangguan ini dan berpendapat individu-individu yang terbabit boleh mengatasi gejala-gejala tersebut melalui tekad semata-mata. Mengharapkan gejala-gejala ini akan hilang begitu sahaja tidak akan menyelesaikan masalah tersebut tetapi rawatan dapat membantu.
Apakah gangguan kebimbangan yang biasa?
Dalam risalah ini, kita akan fokus ke atas gangguan kebimbangan yang lebih umum, gangguan panik dan fobia, kerana ini adalah gangguan kebimbangan yang berbentuk lebih biasa.
1. Gangguan Kebimbangan Am
Gangguan Kebimbangan Am (GAD) adalah satu tekanan dan kegelisahan kronik yang diperbesarkan walaupun tiada apa yang mencetuskannya. Orang yang mengalami GAD akan sentiasa menunggu berlakunya bencana, gelisah secara berlebihan berkenaan kesihatan, wang, keluarga atau kerja. Mereka susah untuk berehat dan tidak dapat mengenepikan rasa ambil tahu mereka walaupun mereka sedar bahawa kebimbangan mereka tidak rasional. Kesusahan mereka akan diikuti oleh gejala-gejala fizikal terutamanya menggeletar, gerenyetan, ketegangan otot, sakit kepala, meragam, berpeluh atau berasa panas secara tiba-tiba.
Mereka akan berasa seperti hendak pitam atau sesak nafas dan mungkin rasa mual atau perlu pergi ke tandas dengan lebih kerap. Selalunya kerosakan yang dikaitkan dengan GAD adalah sederhana dan mereka yang mengalami gangguan ini tidak akan berasa begitu tersekat dalam persekitaran sosial atau semasa bekerja. Bagaimanapun jika ianya teruk, maka GAD boleh melesukan, yang mengakibatkan susah melakukan aktiviti-aktiviti harian yang mudah sekalipun.
2. Gangguan Panik
Orang yang mempunyai gangguan panik mempunyai perasaan gerun yang menimpa secara tiba-tiba dan secara berulangan tanpa sebarang amaran. Mereka tidak akan dapat menjangka bila sesuatu serangan akan berlaku dan mungkin akan mengalami satu kebimbangan yang tenat di antara setiap episod/kejadian. Mereka sentiasa khuatir dalam memikirkan bila dan di mana serangan yang seterusnya akan berlaku. Di selang serangan, terdapat satu perasaan khuatir yang sentiasa wujud secara berterusan berkenaan serangan berikut yang boleh datang pada bila-bila masa.
Bila serangan panik melanda, jantung muai berdebar dengan kuat dan pesakit akan berasa lemah, pitam, berpeluh atau rasa gayat. Tangan mereka mungkin berdenyut-denyut sedikit atau rasa kebas dan mereka akan berasa panas atau kesejukan. Ketidakselesaan dada, rasa seolah-olah muka ditekap, satu perasaan tidak realistik, ketakutan terhadap malapetaka yang akan datang atau kehilangan kawalan juga mungkin wujud. Orang yang mengalami gangguan ini benar-benar percaya bahawa beliau sedang diserang penyakit jantung atau strok, menjadi gila atau hampir maut. Walaupun kebanyakan serangan berlanjutan selama beberapa minit, kadang-kala ianya berlanjutan sehingga sepuluh minit. Dalam kes-kes tertentu walaupun yang jarang berlaku, serangan tersebut boleh berlanjutan sepanjang satu jam atau lebih.
Gangguan panik selalunya diikuti oleh keadaan-keadaan seperti kemurungan atau penagihan alkohol, dan akan berkembang menjadi satu fobia. Hidup sesetengah orang akan menjadi begitu tersekat. Mereka akan mengelak sebarang situasi yang boleh membuat mereka tidak berdaya jika satu serangan panik menimpa. Apabila hidup mereka menjadi begitu tersekat oleh gangguan tersebut iaitu yang terjadi kepada satu pertiga daripada orang yang mengalami gangguan panik, keadaan ini dikenali sebagai agorafobia (gerun lapang).
3. Fobia
Fobia menimpa dalam beberapa bentuk. Fobia bukan sahaja satu ketakutan yang keterlaluan; ianya adalah ketakutan yang tidak realistik. Jika sumber ketakutan itu mudah dielak, maka rang yang mengalami fobia mungkin berpendapat yang mereka tidak perlu mendapatkan rawatan.
Fobia spesifik merupakan ketakutan terhadap sesuatu objek atau keadaan. Ramai orang mengalami ketakutan spesifik yang tidak rasional dan begitu kuat terhadap barang-barang tertentu atau keadaan. Beberapa contoh yang biasa adalah anjing, tempat-tempat tertutup, ketinggian, eskalator, terowong, air, berterbang di udara dan kecederaan yang melibatkan pendarahan.
Fobia sosial adalah satu ketakutan besar terhadap dimalukan semasa situasi sosial, secara spesifiknya yang memalukan diri sendiri di hadapan orang lain. Kesilapan kecil mungkin akan nampak begitu besar daripada keadaan sebenarnya. Pipi yang tiba- tiba berubah menjadi merah juga nampaknya begitu memalukan dan si penghidap akan berasa seolah-olah semua mata memandang ke arahnya. Atau ketakutannya mungkin lebih spesifik, contohnya seperti berasa bimbang bila perlu memberi ucapan, semasa bercakap dengan bos atau dengan seorang yang berkuasa, atau semasa ‘dating’. Fobia sosial menjejas hidup biasa dan mengganggu perhubungan sosial atau kerjaya.
Agrofobia, yang selalunya menuruti gangguan panik, merupakan satu ketakutan terhadap dirinya berada dalam sebarang keadaan yang mungkin mencetuskan serangan panik, atau satu keadaan di mana beliau susah melepaskan diri sekiranya berlaku serangan tersebut. Mereka yang mengalami agrofobia akan takut untuk berkunjung jauh dari rumah atau untuk memasuki ruang-ruang terbatas seperti keretapi, lif, kapalterbang kerana begitu takut akan mendapati satu serangan panik dan tidak dapat melarikan diri dengan segera atau mendapatkan bantuan.
Gejala-gejala kebimbangan
Gejala-gejala kebimbangan
1. Psikologi
- Perasaan gugup/gementar
- Fikiran yang merungsingkan
- Keresahan
- Peka kepada bunyi
- Rasa tidak selesa
- Daya tumpu yang lemah
- Meragam/cepat marah
2. Fizikal
- Pening
- Degupan jantung yang kuat
- Sakit kepala
- Gangguan usus
- Sengal otot
- Ketakcernaan
- Kesusahan bernafas/terketar-ketar
- Kencing secara kerap
- Keadaan sejuk dan panas secara mendadak
- Ketidakselesaan gaster
- Najis cair
- Kekebasan tangan dan kaki, ketidakselesaan dada
3. Gangguan tidur
Gejala ini selalunya di salah takrif oleh orang-orang yang bimbang sebagai bukti adanya penyakit fizikal yang serius seperti penyakit jantung atau barah, yang seterusnya menyebabkan kebimbangan untuk bertambah lagi. Perbezaan di antara kebimbangan biasa dan gangguan kebimbangan adalah semasa berlakunya ketegangan yang besar sedangkan pada hakikatnya tiada bahaya pun, atau bilamana langkah berjaga-jaga yang keterlaluan diambil untuk mengelakkan sumber kebimbangan tersebut.
Apakah sebab-sebab gangguan kebimbangan?
Peristiwa-peristiwa hidup yang menekankan boleh mencetuskan gangguan kebimbangan. Kebimbangan selalunya akan hilang selepas puncanya disingkirkan tetapi ada kalanya gejala-gejala itu akan berlanjutan untuk tempoh yang lama walaupun selepas keadaan yang menekankan telah berakhir.
Kebarangkalian anda mendapat gangguan kebimbangan adalah lebih besar sekiranya salah seorang daripada ibubapa atau adik beradik anda mempunyai keadaan tersebut. Oleh itu, pembentukan genetik anda dan pengalaman hidup anda akan menentukan sama ada anda akan menghidapi gangguan kebimbangan. Faktor alam sekitar juga memainkan peranan. Selalunya agak sukar untuk mengenalpasti punca sebenar gangguan kebimbangan. Pesakit selalunya lebih lemah terhadap satu kombinasi tekanan seperti pembawaan peribadi, perubahan dalam hidup dan keadaan-keadaan khas.
Bagaimana gangguan kebimbangan dapat dirawati?
Orang-orang yang bimbang atau dalam ketakutan boleh dibantu dalam berbagai cara:
1. Bercakap mengenai masalah tersebut
Adakalanya perbualan bersama seorang kawan yang dipercayai atau seorang ahli keluarga yang kita sanjungi pendapat-pendapatnya dapat mengurangkan keresahan kita dengan begitu efektif. Mereka mungkin telah menghadapi masalah tersebut secara sendiri dan dapat berkongsi pengalaman. Terdapat juga ramai para profesional yang boleh kita temui, contohnya doktor keluarga, ahli psikiatri, pakar sakit jiwa, pekerja sosial, jururawat atau kaunselor.
2. Belajar berehat
Mempelajari suatu teknik merehatkan diri boleh membantu anda untuk bersantai dan dapat mengawal tegangan dan kebimbangan anda. Teknik berehat termasuk senaman bernafas, bertafakur dan imejan. Terdapat berbagai buku dan pita audio yang boleh diperolehi oleh anda untuk melatih diri anda berkenaan teknik-teknik tersebut.
3. Psikoterapi
Ini merupakan rawatan perbualan yang lebih intensif, yang boleh membantu pasakit mengenali, memahami dan menerima sebab berlakunya kebimbangan yang kemungkinannya tidak kelihatan begitu jelas. Pendekatan melalui terapi tingkah laku kognitif yang tertentu juga dapat membantu kebanyakan daripada gangguan kebimbangan, sama ada secara bergabungan dengan perubatan ataupun ataupun secara sendirinya. Teknik ini melibatkan para individu untuk menghadapi situasi yang paling ditakuti oleh mereka dan pada masa yang sama memberikan mereka strategi kognitif.
4. Perubatan
Berbagai perubatan boleh didapati untuk merawati gangguan kebimbangan. Ianya selalunya digunakan bersama dengan kaedah yang diterangkan di atas. Ubat pententeram dan antidepresan adalah dua daripada ubat yang paling kerap digunakan.
Ubat pententeram yang paling kerap digunakan adalah benzodiazepine. Ianya berguna bukan sekadar untuk gejala kebimbangan siang hari tetapi juga di waktu malam untuk membantu tidur. Walaupun mujarab, benzodiazepine mungkin menyebabkan berlakunya pergantungan terhadapnya selepas penggunaan yang berpanjangan. Gejala-gejala penguduran akan berlaku jika ubat ini dihentikan atau dikurangkan dosnya. Oleh itu, benzodiazepine. seharusnya digunakan hanya untuk pengurusan gejala kebimbangan jangka pendek dan bukannya untuk rawatan jangka panjang.
Antidepresan diguna untuk merawat kebimbangan dan juga gejala-gejala kemurungan. Tidak seperti benzodiazepines, ianya tidak menyebabkan pergantungan terhadapnya. Ubat antidepresan yang selalu digunakan termasuk antidepresan trikitaran (TCAs), penyekat kadar penyerapan semula serotonin yang terpilih (SSRIs), dan penyekat kadar penyerapan semula serotonergik noradrenergik (SNRIs) dan penyekat monoamina oksidas. Ini mesti diambil secara tetap untuk dua hingga empat minggu sebelum sebarang peningkatan ketara dalam kesihatan berlaku.
Adakah terdapat sebarang komplikasi akibat daripada gangguan kebimbangan?
Gangguan kebimbangan mempunyai beberapa komplikasi. Komplikasi pertama adalah kebolehan berfungsi yang berkurangan. Dalam kes-kes yang teruk, ini boleh membawa kepada keadaan ketidakmampuan yang menyeluruh di mana seseorang itu tidak boleh lagi bersekolah atau berkerja.
Kemurungan juga merupakan satu komplikasi yang sering berlaku, yang menjadikan keadaan lebih teruk dan menambah risiko terhadap perasaan bunuh diri. Penyalahgunaan bahan (dadah) juga merupakan satu komplikasi yang sering berlaku, terutamanya apabila pesakit mencuba untuk mengubati diri sendiri dengan sedatif atau alkohol. Ini berkemungkinan memerlukan rawatan selari yang melibatkan program penyalahgunaan bahan.
Langkah pertama dalam mendapatkan rawatan adalah untuk mengenal pasti gejala-gejala yang diterangkan tadi. Ramai pesakit akan terus sengsara menghadapi gejala-gejala tersebut kerana mereka takut berjumpa dengan ahli profesional berkenaan masalah mereka. Ini kerana mereka takut dianggap sebagai “gila”. Pada hakikatnya, kebanyakan orang yang mengalami kebimbangan atau ketakutan jarang sekali menghidapi penyakit mental yang teruk, dan masalah mereka selalunya boleh dikurangkan atau mendapat kelegaan melalui rawatan.
|