Menjadi seorang muslim atau seorang yang Islam belum lagi dapat
jaminan dari Allah. Allah belum jadi pembela. Menjadi orang Islam
semata-mata belum ada jaminan dari Allah akan diampunkan dosanya.
Menjadi orang Islam sahaja belum ada jaminan dari Allah yang amal
ibadahnya akan diterima. Menjadi orang Islam sahaja belum ada jaminan
yang Allah akan memberi bantuan. Menjadi seorang muslim atau seorang
Islam itu mudah. Apabila sudah mengucap dua kalimah syahadah maka
tetaplah seseorang itu Islam. Dia tidak boleh dianggap kafir.
Lebih-lebih lagi kalau seseorang itu sudah sembahyang, berpuasa dan naik
haji, kita tidak boleh menuduh orang itu kafir. Dia termasuk dalam
golongan orang Islam tetapi belum tentu dia seorang yang beriman atau
bertaqwa.
Setelah menjadi orang bertaqwa baru ada jaminan dan pembelaan dari
Allah di dunia dan juga di Akhirat. Bila jadi orang bertaqwa barulah
dosa diampunkan. Bila jadi orang bertaqwa barulah amal ibadah diterima.
Bila jadi orang yang bertaqwa barulah dapat pimpinan dari Allah. Secara
langsung Allah jadi pemimpinnya. Bila menjadi orang yang bertaqwa,
rezeki datang tidak tahu dari mana sumbernya. Bila menjadi orang yang
bertaqwa Allah permudahkan urusan dan kerja-kerjanya. Buat kerja
sedikit, hasilnya banyak. Kalau buat banyak, lebih banyaklah hasil yang
akan diperolehi.
Ini telah pun dijelaskan oleh Allah melalui beberapa firman-Nya
seperti berikut: Maksudnya: “Barangsiapa yang bertaqwa pada Allah, Allah
akan lepaskan dia dari masalah hidup dan akan memberi rezeki
sekira-kira tidak diketahui dari mana sumbernya.” (At Thalaq: 2-3) Di
sini Allah berkata ‘barangsiapa yang bertaqwa’ bukannya ‘barangsiapa
yang Islam’.
Maksudnya:“Barangsiapa bertaqwa kepada Allah, Allah akan permudahkan
segala urusannya.” (AtAThalaq: 4) Sekali lagi Allah berkata
‘barangsiapa yang bertaqwa’ bukannya ‘barangsiapa yang Islam’. Kalau
buat kerja sedikit, akan dapat hasil yang banyak.
Maksudnya: “Allah menjadi pembela bagi orang-orang yang bertaqwa.” (Al Jasiyah: 19)
Jelas sekali orang bertaqwa Allah akan bela dan bantu secara
langsung. Dalam ayat ini juga Allah tidak menyebut menjadi pembela dan
pembantu bagi orang Islam sebaliknya menjadi pembela dan pembantu bagi
orang yang bertaqwa.
Maksudnya:“Sesungguhnya amal ibadah yang diterima Allah ialah dari orang yang bertaqwa.” (Al Maidah: 27)
Maksudnya:“Jika penduduk satu kampung beriman dan bertaqwa, Tuhan akan bukakan berkat dari langit dan bumi.” (Al A’raf: 96)
Jelas Allah berkata ‘beriman dan bertaqwa’ bukannya setakat ‘Islam’.
Kalau beriman dan bertaqwa, Allah akan buka berkat dari langit dan bumi.
Maka sudah tentunya kehidupan orang yang bertaqwa akan aman damai,
berkasih sayang, mesra, selamat sejahtera, tidak ada gangguan, penuh
harmoni dan indah. Di dunia lagi sudah dapat Syurga yang didahulukan dan
pastilah di Akhirat akan menanti Syurga hakiki yang kekal abadi.
Banyak lagi ayat-ayat yang memberitahu kita bahawa se-telah seseorang
atau sesuatu bangsa itu menjadi orang atau bangsa yang bertaqwa,
barulah akan dapat pembelaan dari Allah. Kalau hanya setakat Islam,
tidak ada jaminan akan dapat pembelaan dari Allah di dunia mahupun di
Akhirat. Inilah yang berlaku kepada seluruh umat Islam di dunia hari
ini. Rata-rata umat Islam adalah orang muslim atau orang Islam dan bukan
orang yang bertaqwa. Sebab itu tidak ada pembelaan dari Allah.
Bila tidak ada pembelaan dari Allah, lihatlah apa yang sedang berlaku
pada umat Islam. Hidup tidak bersatu padu, musuh menekan, hina-dina,
miskin, mundur, merempat, menjadi hamba orang, susah dan tersingkir di
mana-mana. Bilangan mereka ramai tetapi tidak berguna macam buih di
laut. Walaupun buih sebesar gunung, mancis api jatuh pun ia boleh pecah
berkecai. Umat Islam dikeronyok di mana-mana oleh musuh kafir macam
anjing mengkeronyok bangkai. Umat Islam tidak ada daya upaya untuk
melawan dan mempertahankan diri.
Jadi, sekadar menjadi seorang yang Islam sahaja kita tidak boleh
berbangga sebab masih belum ada jaminan dan pem-belaan dari Allah. Oleh
itu kita mesti jadi orang yang bertaqwa. Barulah jaminan dan pembelaan
dari Allah akan diperolehi sama ada di dunia mahupun di Akhirat.
Hendak mendapat bantuan dan rahmat Tuhan, Tuhan sebut di dalam Al
Quran, “Wamai yattaqillah”. Ertinya kita kena bertaqwa. Ada tiga
peringkat orang yang baik hubungannya dengan Allah.
1. Soleh
2. Taqwa
3. Siddiqin
Tetapi Tuhan ambil yang tengah iaitu orang bertaqwa untuk diberi
bantuan. Tuhan tidak janjikan bantuan kepada orang soleh kerana rendah
sangat. Tuhan juga tidak janjikan bantuan kepada orang siddiqin kerana
mungkin tinggi sangat. Tidak ramai nanti yang akan mendapat bantuan
kerana orang siddiqin itu sedikit. Namun orang soleh boleh mendapat
bantuan Allah dengan bersandarkan kepada orang yang bertaqwa.
Senjata umat Islam yang utama untuk menjayakan per-juangan mereka
ialah iman dan taqwa. Inilah satu-satunya senjata yang tidak ada pada
orang kafir. Dengan senjata ini sahajalah kita boleh kalahkan
orang-orang kafir atau munafik yang hendak menghancurkan kita dan musuh
batin kita iaitu nafsu dan syaitan.
Selain taqwa, dengan kekuatan apa sekalipun, baik ekonomi, ilmu
pengetahuan, teknologi, ketenteraan dan senjata, pasti kita tidak akan
mampu menentang kegagahan musuh-musuh Allah yang jauh lebih hebat dari
kita.
Taqwa adalah faktor paling utama dalam memperolehi bantuan Allah SWT.
Bantuan Allah kepada orang yang bertaqwa ini berbagai bentuk yang tidak
diketahui oleh manusia. Lazimnya bentuk bantuan yang Allah datangkan
itu mengikut keperluan semasa dan mengikut peranan seseorang. Ertinya
bantuan Allah bagi orang yang bertaqwa itu berbeza menurut keperluan dan
peranan. Bagi pendakwah yang bertaqwa, bantuan yang Allah turunkan
berbeza dengan pemimpin yang bertaqwa. Dan bantuan itu berbeza pula
dengan seorang ahli perniagaan atau seorang pendidik yang bertaqwa.
Kalau dalam medan perang, Allah bantu dengan menu-runkan para
malaikat beribu-ribu banyaknya untuk mengalahkan orang kafir. Bagi
seorang peniaga yang bertaqwa, mungkin dapat untung yang berlipat ganda.
Atau wangnya terselamat kerana ada berkatnya. Keluarganya sentiasa
sihat, keretanya jarang rosak, duitnya tidak membazir dan sering
tersalur ke arah amal jariah atau kepada berbagai bentuk kebajikan.
Seorang pendakwah yang bertaqwa pula, ilham atau ideanya mencurahcurah,
penyampaiannya berhikmah dan menarik, yang mendengar mudah lembut hati,
yakin dan terdorong untuk beramal.
Pendakwah yang tidak bertaqwa, dia terpaksa memaksa diri untuk
memerah otak mencari dan mengumpulkan bahan dakwah. Dia terasa sukar dan
sering merasa jemu. Dakwahnya tidak menginsafkan orang dan tidak
membawa perubahan kepada masyarakat. Tetapi kalau di medan perjuangan
dan tarbiah, Allah beri bantuan dengan cara lain pula.
Antaranya:
1. Ilmu yang bermanfaat
Allah ilhamkan ilmu-ilmu yang bermanfaat yakni ilmu dalam cara
menarik orang, ilmu dalam bertindak, ilmu untuk melaksanakan ekonomi
Islam, menegakkan kilang-kilang Islam, sekolah Islam dan lain-lain ilmu
praktikal untuk mewujudkan Islam dalam setiap aspek kehidupan. Ilmu
begini telah Allah kurniakan pada umat Islam zaman dahulu terutamanya di
zaman para Sahabat dan para salafussoleh. Sebab itu, mereka boleh
membangun dan menawan tiga perempat dunia. Bangunan yang dibina oleh
umat Islam, istana Al Hambra di Sepanyol misalnya, tahan kukuh sehingga
kini setelah berumur tujuh ratus tahun sedangkan binaan orang sekarang
baru dua puluh tahun sudah roboh. Itulah ilmu ilham yang diberi oleh
Allah kepada orang soleh.
Ilmu yang datang langsung dari Allah berdasarkan firman-Nya:
Maksudnya: “Bertaqwalah kepada Allah, nescaya Allah akan mengajar kamu.”
(Al Baqarah: 282)
Begitu juga sistem perairan dalam bangunan-bangunan yang dibina oleh
umat Islam tujuh ratus tahun dahulu. Hingga kini, pakar sains dan
teknologi tidak mampu menirunya. Misalnya salah satu paip air dalam
istana Al Hambra yang boleh mengeluarkan air dengan sendirinya bila
masuk waktu sembahyang telah pernah diselidik oleh orang Barat untuk
mengetahui rahsianya. Hasil penyelidikan itu, paip itu rosak terus dan
mereka tidak boleh memperbaikinya semula apatah lagi untuk membina paip
yang baru. Itulah ketinggian teknologi orang soleh.
2. Ilmu Firasat
Iaitu rasa hati yang tepat hasil dari sifat taqwa. Ini amat perlu
supaya pejuang Islam dapat bertindak tepat pada waktu dan ketikanya
dalam menghadapi ragam musuh. Misalnya, musuh sudah siap sedia untuk
menabur fitnah tentang kita. Maka Allah akan ilhamkan pada hati suatu
tindakan yang boleh membuatkan musuh berhenti dari niat jahatnya,
contohnya dengan menghantar surat pada musuh bahawa kalau dia buat
fitnah, kita akan dedahkan berita skandal mereka yang ada dalam simpanan
kita.
Misalan lain ialah bila musuh bercadang hendak mengambil tindakan
untuk mengacau kampung kita maka Allah akan ilhamkan supaya kita keluar
segera dari kampung kita itu. Ilmu firasat juga penting untuk mendidik
ahli-ahli yang berbeza-beza sifat mazmumahnya. Supaya semuanya dapat
dididik untuk menjadi orang soleh dan bertaqwa.
Firasat dinamakan juga ‘kasyaf ilmu’ atau rasa hati. Iaitu ilmu
laduni atau ilham yang jatuh terus ke hati. Di situ tidak ada gangguan
atau campurtangan nafsu dan akal. Firasat adalah ilmu dari langit. Orang
yang ada firasat dikatakan muhaddasin (orang yang dibisikkan).
Firasat sangat tajam. Dengan firasat, seseorang itu boleh membaca
hati orang. Dia boleh dapat ilmu yang menyegarkan hati dan jiwa. Firasat
adalah untuk orang-orang yang sudah sampai ke tahap Rohul Muqaddasah
(roh yang suci), Rohul Toyyibah (roh yang baik) dan Nafsun Zakiyyah
(nafsu yang bersih).
Adapun kasyaf mata hati seperti nampak benda di sebalik tabir, nampak
alam jin, nampak sifat-sifat haiwan yang ada pada manusia, nampak alam
malaikat dan sebagainya, tidak ada nilai apa-apa,hanya nampaksahaja.
Tidak dapat apa-apa ilmu. Orang kafir dan orang jahat pun boleh dapat
kasyaf yang seperti ini.
Itulah firasat namanya, satu rasa hati yang kuat mendesak agar kita
membuat sesuatu yang kadang kala di luar logik fikiran manusia. Ilmu
inilah yang telah menguatkan perjuangan umat Islam dahulu. Mereka boleh
serang musuh dengan cara yang membingungkan mereka. Mereka bertindak
seolah-olah mereka tahu rancangan musuh. Sebab itu musuh tidak boleh
buat apaapa pada mereka.
Inilah yang dimaksudkan oleh Rasulullah dengan sabdanya: Maksudnya:
“Takutilah firasat orang mukmin kerana mereka melihat dari cahaya
Allah.” (Riwayat Tarmizi)
SUMBER : Usaha taqwa.com