Monday, 1 April 2013

POHON KURMA MENANGIS

POHON KURMA MENANGIS


             Setelah Baginda Rasulullah mendirikan Masjid Quba, Rasulullah SAW menuju ke Madinah dan unta tunggangannya berhenti di sebuah kebun kurma yang dimiliki oleh dua orang anak yatim. Rasulullah SAW berkenan dan membeli kebun kurma tersebut, lalu mendirikan sebuah lagi masjid yang agung, dikenali dengan Masjid Nabawi. Binaannya sangat sederhana, segi empat, berdinding batu dan tanah, beratapkan timbunan daun kurma. Manakala di persekitaran masjid terdapat banyak pokok-pokok kurma yang menghiasinya.

            Di salah satu pokok kurma inilah Rasulullah SAW berdiri dan bersandar sambil memberi khutbah pada umat Islam. Pada tahun ke 7H, Rasulullah mula menggunakan mimbar. Satu peristiwa aneh berlaku ketika Rasulullah SAW berjalan melepasi pohon kurma tersebut untuk menuju ke mimbar bagi tujuan memberi khutbah. Tiba-tiba pohon kurma itu menangis dan merintih dengan kuat sehingga masjid serasa bergoyang dan bergoncang.

            Pohon kurma tidak dapat menahan perasaannya. Ia merindui Rasulullah SAW yang selama ini bersandar padanya semasa berkhutbah. Mendengar tangisan pohon kurma, Rasulullah SAW turun dari mimbar dan memeluk erat batang pohon kurma sambil perlahan berbisik dan memujuknya sehingga ia berhenti menangis. Peristiwa ini diceritakan oleh dua sahabat Rasulullah SAW:
Jabir bin Abdillah r.a berkata:” Adalah dahulu Rasulullah SAW berdiri untuk berkhutbah di sebatang  pohon kurma, maka apabila diletakkan mimbar baginya, kami mendengar sebuah suara seperti suara unta dari pohon kurma tersebut hingga Rasulullah SAW turun kemudian baginda meletakkan tangannya di atas batang pohon kurma tersebut “. – HR Bukhari
Ibnu Umar r.a berkata: “Dahulu Nabi SAW berkhuthbah pada sebatang kurma. Apabila baginda telah membuat mimbar, maka baginda berpindah ke mimbar itu. Batang kurma itu pun merintih. Maka Nabi SAW mendatanginya sambil mengeluskan tangannya pada batang kurma itu (untuk menenangkannya) “.  – HR Bukhari dan Tirmizi.
Rasulullah  SAW pun bertanya kepada pohon kurma sama ada ia mahu menjadi pokok di dalam syurga dan berdamping dengan baginda SAW atau kekal di dunia untuk memberi makan buahnya pada orang beriman. Pokok kurma memilih untuk berdamping dengan Rasulullah SAW di syurga. Baginya jika memilih dunia, ia akan berpisah dengan Rasulullah SAW sesudah ia mati. Tetapi di syurga, ia tidak mati selama-lamanya dan tidak akan berpisah dari Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW bersabda. “Demi Tuhan yang memegang nyawaku di dalam tangan-Nya. Jika aku tidak memeluk dan memujuknya,  pasti ia akan berterusan seperti ini hingga hari kiamat.”


Inilah tiang tapak pohon kurma yang terdapat dalam Masjid Nabawi, bergetar badan aku semasa aku melewati tiang tersebut kerana aku tahu kisahnya dan aku pun menyentuhnya dengan penuh sayu...Subhanallah.

Inilah mimbar Nabi

No comments:

Post a Comment

Keajaiban Menderma

  Dalam 1 program TV di Amerika, pengacara siaran tersebut mengiklankan tentang seorang pesakit yang memerlukan pembedahan segera yang berha...