Mungkin ramai yang masih tidak peka apakah revolusi industri 4.0 di Malaysia dan adakah negara kita telah atau akan mencapai sasaran untuk bersaing bersama negara-negara maju yang lain. Pada lewat tahun 2018, pihak kerajaan telah mengeluarkan polisi kebangsaan (Industry4WRD) demi membantu mempersiapkan perniagaan serta sektor-sektor perkilangan dalam menghadapi cabaran revolusi perindustrian baharu yang membabitkan teknologi automasi. Isu tersebut juga turut dibangkitkan ketika pembentangan Belanjawan 2020 yang lepas.
Revolusi Perindustrian
Bagi memudahkan pemahaman para pembaca, revolusi industri 1.0 adalah mekanisasi industri pembuatan dan pemprosesan dengan menggunakan kuasa air serta stim. Revolusi industri 2.0 pula adalah kedatangan barisan pemasangan dan elektrik yang boleh menghasilkan pengeluaran secara besar-besaran. Manakala revolusi industri 3.0 diikuti dengan peningkatan automasi demi menyediakan proses dan pembuatan yang lebih cekap. Oleh itu, apakah revolusi industri 4.0?
Revolusi Industri 4.0
Revolusi Industri 4.0 merupakan revolusi digital bagi menggabungkan proses dan teknologi pembuatan tradisional seperti Internet of Things (IoT) demi meningkatkan automasi, komunikasi serta penggunaan data masa nyata.
Menurut Profesor Bersekutu Dr Sawal Hamid Md Ali; seorang pensyarah kanan di Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Elektronik dan Sistem di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), revolusi industri 4.0 adalah mengenai sistem dan sistem siber-fizikal yang boleh menghubungkan dunia digital dengan sistem biologi seperti manusia melalui internet.
Beliau turut berpendapat bahawa terdapat hubungan dua hala antara manusia dan elektronik. Revolusi tersebut boleh dilihat melalui pengeluaran telefon pintar, TV pintar serta rumah pintar yang terdapat di pasaran kini.
Sektor Tumpuan Industri 4.0
Terdapat beberapa sektor tumpuan industri 4.0 berdasarkan polisi Industry4WRD. Antara sektor yang terlibat adalah:
Elektronik dan Elektrik
Industri elektronik dan elektrik adalah sektor perindustrian terkemuka di Malaysia yang menyumbang secara ketara terhadap eksport dan peluang pekerjaan di negara kita.
Subsektor selainnya:
- Komponen elektronik
- Elektronik pengguna
- Elektronik perindustrian
- Produk elektrik
Jentera dan Peralatan
Industri jentera dan peralatan adalah salah satu bidang utama untuk pertumbuhan dan pembangunan yang memberi fokus terhadap nilai tambahan yang tinggi serta teknologi tinggi M&E.
Subsektor selainnya:
- M&E khusus untuk perindustrian tertentu
- Perindustrian M&E am, bahagian dan komponen
- Kuasa penjanaan M&E
- Peralatan mesin
Kimia
Industri kimia pula merupakan salah satu daripada pemangkin industri di negara Malaysia dengan pertumbuhan yang pesat disebabkan oleh ketersediaan minyak dan gas sebagai bahan mentah.
Subsektor selainnya:
- Produk petroleum dan petrokimia
- Produk plastik
- Produk getah
- Kimia dan produk kimia
- Oleokimia
Peralatan Perubatan
Industri peralatan perubatan berkembang dengan pesatnya menerusi keluaran pelbagai industri atau produk daripada getah dan lateks, plastik, jentera dan kejuruteraan sokongan serta elektronik.
Subsektor selainnya:
- Barang boleh diguna pakai
- Instrumen pembedahan, peralatan klinikal dan implan
- Peralatan penjagaan kesihatan
Aeroangkasa
Industri aeroangkasa telah ditetapkan sebagai sektor yang strategik dengan potensi pertumbuhan yang tinggi di dalam perindustrian negara dan teknologi program pembangunan.
Subsektor selainnya:
- Kejuruteraan dan reka bentuk
- Pembuatan aero
- Integrasi sistem
- Penyelenggaraan, pembaikan dan operasi (MRO)
Sektor-sektor lain
Selain daripada sektor-sektor perindustrian seperti di atas, terdapat juga beberapa sektor lain yang terlibat sebagai sektor tumpuan Industri 4.0. Antaranya adalah seperti berikut:
- Automotif
- Pengangkutan
- Tekstil
- Farmaseutikal
- Logam
- Pemprosesan makanan
- Perkhidmatan
Malaysia sebagai Hab Industri 4.0 di Asia Tenggara
Menurut perkongsian Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Star Online, Malaysia mensasarkan untuk menjadi hab industri 4.0 di Asia Tenggara bagi mendapatkan semula status negara sebagai “Asian Tiger” atau Harimau Asia. Menerusi Industri 4.0 tersebut, beliau percaya ianya boleh membawa kepada peningkatan KDNK per kapita berikutan peningkatan produktiviti serta peluang pekerjaan.
Walaubagaimanapun, terdapat pelbagai jenis rintangan yang mungkin dihadapi oleh syarikat-syarikat atau perindustrian yang terlibat bagi menjayakan revolusi industri 4.0 di Malaysia. Antara rintangan yang dimaksudkan termasuk kekurangan pendedahan serta maklumat berstruktur oleh pihak kerajaan yang boleh membimbing organisasi ke arah ideologi yang diharapkan.
Tambahan pula, kemajuan Industri 4.0 tersebut banyak bergantung kepada penggunaan teknologi internet dan analisis data yang besar bagi menggerakan pembuatan, perkhidmatan dan perniagaan. Oleh itu, tanpa penyediaan akses internet yang meluas serta ekoran tahap kelajuan internet yang terhad, ianya akan menjejaskan perkembangan revolusi industri 4.0 di Malaysia.
Penguatkuasaan Revolusi Industri 4.0
Menurut laporan dari World Economic Forum tahun 2018, terdapat 6 buah negara yang telah menjadi pemangkin utama kepada revolusi perindustrian 4.0. Antara negara yang tersenarai adalah Kanada, Jepun, Jerman, Australia, Austria dan Switzerland. Negara jiran Singapura telah turut maju ke arah Industri 4.0 dengan hasil seperti “Smart Manufacturing”, “Made in China 2025”, “Industrial Value Chain Initiative” dan “Smart Nation Programme”.
Walaupun terdapat beberapa rintangan dan cabaran yang perlu dihadapi, negara kita kini semakin maju ke arah Industri 4.0. Tambahan pula, Malaysia kini berada di antara Industri 2.0 dan Industri 3.0. Menerusi polisi kebangsaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), ianya dapat membantu organisasi-organisasi terlibat dalam menjayakan harapan negara untuk bersaing dengan negara-negara maju yang lain.
Antara langkah yang pihak kerajaan boleh lakukan adalah dengan menguatkuasakan dasar-dasar komprehensif serta terancang yang boleh dilaksanakan secara berperingkat demi memperoleh kerjasama serta menyiapkan netizen untuk revolusi industri 4.0 di Malaysia kelak.
Adakah Malaysia sudah bersedia untuk revolusi perindustrian keempat tersebut?
Nurin Eznieka
No comments:
Post a Comment