Wednesday, 6 February 2013

Mangsa Serangan Seksual Dan Kaunseling



Mangsa Serangan Seksual (Rogol) Dan Kaunseling





1.0         PENDAHULUAN

              Serangan  seksual merupakan pengenalan umum kepada istilah yang lebih selesa, iaitu rogol atau perkosaan.  Serangan seksual diistilah kepada tindakan ganas yang melibatkan aktiviti seks paksaan.  Mangsa biasanya terdiri dari kaum wanita dan pesalahnya adalah kaum lelaki.  Ia merupakan satu cara menghina, merendah, menakut dan menceroboh diri seseorang  Serangan seksual  seperti ini tidak boleh dianggap sebagai satu cara untuk  menunjukkan intimasi, kasihsayang dan kenikmatan antara yang  terbabit. 

              Jika kita lihat dari sudut sejarah, perkosaan diandaikan sudah bermula sejak wanita dianggap sebagai milik lelaki, tanpa diberi hak  yang  sepadan samada secara undang-undang, sosial atau kemanusian.  Dalam sesetengah masyarakat, wanita dijual kepada bakal suami oleh bapa mereka untuk sejumlah harta atau wang.  Oleh itu wanita yang dijual itu tidak dilihat sebagai mangsa.

                 Dalam sesetengah masyarakat mereka yang didapati bersalah merogol seorang gadis akan dihukum mengahwininya dengan  membayar mas kahwin berkali ganda lebih tinggi daripada biasa.  Ini bermakna si mangsa terpaksa hidup sepanjang hayat sengan penyerangnya.  Sejarah juga melihat perkosaan diamal sebagai satu ganjaran kepada kemenangan.   Dalam kebanyakkan masyarakat silam, tentera yang menang akan memuaskan nafsu mereka dengan wanita tawanan perang dari pihak tentera yang tewas.  Kita tidak perlu  melihat jauh dalam lipatan sejarah, memadai jika melihat kepada yang berlaku dalam perang Veitnam dan Bosnia Herzegovina beberapa tahun lalu.

 Apapun latar belakang zaman ia berlaku setiap mangsa serangan seksual akan diragut rasa kepercayaan, jaminan, berdikari dan  seksualiti mereka.  Si mangsa biasanya akan sentiasa hidup dalam ketakutan.  Kebanyakkan mereka memerlukan bantuan runding cara atau   khidmat  kaunseling.



2.0     Definisi Rogol

            Rogol atau pencabulan adalah serangan seksual yang dianggap oleh kebanyakan orang sebagai jenayah yang sangat serius. Definasi teknikal untuk "rogol" merangkumi sebarang serangan serius dan yang merosakkan terhadap seseorang atau sekumpulan orang,  tetapi dalam penggunaan sehari-harian, istilah tersebut adalah mengenai serangan seksual.

                       2.1  Kanun Keseksaan (Akta 574)

             Menurut undang- undang sivil, rogol termasuk dalam Kanun Keseksaan (Akta 574) yang merupakan ambilan dari Kanun Keseksaan India.  Kanun tersebut digubal  berdasarkan  Common Law  England dan digunapakai sehingga ke hari ini.   Seseorang lelaki itu di kira melakukan rogol jika ia bersetubuh dengan seseorang perempuan dalam keadaan yang termasuk dalam lima perkara berikut;

                   i.        Bertentangan dengan kemahuan perempuan tersebut

                 ii.        Dengan tiada kerelaan perempuan itu

                iii.        Dengan kerelaan perempuan itu manakala lelaki itu  ketahui bahawa ia bukannya suaminya  dan kerelaan itu diberi kerana perempuan percaya lelaki itu ialah seorang lelaki yang menjadi atau yang dia percaya menjadi suaminya sah di sisi undang-undang atau yang kepadanya ia member kerelaan.

                iv.        Dengan kerelaan perempuan itu manakala kerelaannya telah didapati dengan mendatangkan kepadnya ketakutan bahawa pembunuhan/kecederaan akan berlaku.

                 v.        Samada dengan kerelaan perempuan itu atau tidak jika perempuan itu dibawah umur. (18 tahun kebawah)

                      2.2      Kumpulan Hak Asasi

         Pada pandangan Kumpulan Hak Asasi dan Pertubuhan Wanita  pula, mereka memandang rogol sebagai jenayah ganas yang menggunakan seks sebagai alat atau senjata jenayahnya.Ia merupakan ekspresi keganasan dan penggunaan kuasa ke atas orang lain.Golongan ini juga lantang menyuarakan pandangan supaya undang undang (sivil) yang ada sekarang meluaskan definisi rogol ke atas perlakuan perlakuan berikut;

                           i.          Suami merogol isteri yang sah di sisi undang-undang

                          ii.        Seseorang samada lelaki atau perempuan yang memasukkan objek kedalam kemaluan wanita

                        iii.        Memasukan zakar ke dubur mangsa

                        iv.        Memasukkan zakar ke mulut wanita atau mangsa

                          v.        Adakah rogol yang berlaku ke atas seorang lelaki yang mengaku dirogol oleh mana-mana wanita dapat diterima kenyataannya.

.

                  Dalam undang-undang jenayah, istilah "rogol" merujuk kepada serangan seksual yang mana penyerang memaksa mangsa yang enggan bersetuju untuk melakukan hubungan seksual. Sesetengah perundangan menggunakan istilah seperti "serangan seksual" atau "dipukul untuk seksual", dan ada juga yang mentakrifkan "rogol" sebagai serangan seksual dengan penembusan.

             Perbuatan merogol, menurut sesetengah pendapat pula, tidak semestinya bermaksud kemasukan atau penetration.  Perbuatan-perbuatan yang dilakukan dengan paksa ke atas mangsa sebelum sampai ke peringkat kemasukan, seperti mengoyakkan pakaian, juga termasuk dalam kategori rogol.

Selanjutnya, pendapat turut mengatakan bahawa dalam pengertian rogol bukan sahaja lelaki merogol perempuan, malah lelaki juga boleh dituduh merogol lelaki lain, atau perempuan merogol perempuan, atau perempuan merogol lelaki.


 
3.0       Statistik dan Fakta Kes


            Statistik oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menunjukkan secara purata empat wanita dirogol atau dicabul setiap hari.  Tujuh wanita pula menjadi mangsa gangguan seksual manakala 100 kanak-kanak didera setiap hari.  Statistik yang sama menunjukkan 52 peratus mangsa rogol berusia bawah 15 tahun dan lebih daripada 80 peratus mangsa rogol mengenali identiti perogol.  Kementerian itu juga menyatakan bahawa kes rogol meningkat sekali ganda kepada 2,341 kes pada 2006 berbanding 1,217 kes pada 2001.  Manakala statistik polis menunjukkan bahawa kes keganasan domestik yang dilaporkan sepanjang lapan bulan pertama tahun 2006 mencatatkan 2,121 kes.


                  3.1    Statistik Kementerian Kesihatan
Bil  Tahun  Kes Rogol
1    2000    1217
2    2001    1386
3    2002    1431
4    2003    1324
5    2004    1698
6    2005    2431
7    2006    3098
8    2007    3414
9    2008    4959

1)     Kes rogol yang dilapor di negara ini meningkat sebanyak 31.5 peratus bagi tempoh Januari hingga September tahun 2008 berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya dengan lebih 70 peratus membabitkan mangsa berumur 18 tahun ke bawah.

2)      Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Datuk Maximus J. Ongkili berkata, berdasarkan statistik yang diperolehi pihaknya, sebanyak 2,432 kes rogol dilapor dalam tempoh itu berbanding 1,849 kes tahun sebelum itu.

3)      Menurut  Nationmaster yang mengkaji kes rogol di seluruh dunia, Malaysia masih lemah dalam menangani kes-kes rogol yang berlaku dalam negara kita. Mungkin sebagai sebuah negara Islam yang kita bangga, berada pada tangga 38 bukanlah sesuatu yang boleh kita banggakan.Dalam satu juta rakyat malaysia 50 – 51 orang yang dirogol dicatatkan.

4)      Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Fu Ah Kiow, di Dewan Rakyat menyebut pada tahun 2007 sahaja 5.7 kes sehari di Malaysia ataupun hampir 1 kes rogol setiap 4 jam. Dan pada tahun 2008 dah meningkat kepada 13.7 orang sehari

  Tetapi harus diingat, jumlah ini hanya kes yang dilaporkan sahaja. Hakikat yang sebenar mungkin lebih dari jumlah yang dilaporkan.


3.2       Peratusan kes dan situasi kejadian yang berlaku:


SITUASI

PERATUSAN

Ketika mangsa sendirian di rumah

13.3

Keluar bersama penyerang dengan keinginan mangsa

40.8

Berjalan sendirian di kawasan sunyi atau terpencil tanpa teman

12.1

Di perkosa oleh bomoh semasa rawatan

1.3

Semasa samun, rompakan, pecah rumah

7.5

Lain-lain seperti perjalanan ke sekolah, menunggu bas atau kawan di tepi jalan, ketika mengunakan telefon awam atau diserang pemandu atau penumpang teksi.

25.0

 


4.0       Kesan-kesan  Serangan


 i.         Sebagai satu bentuk serangan seksual, rogol boleh menjadi amat dashyat, dan banyak kes serangan seksual berakhir dengan kematian mangsa.


ii.       . Rogol juga boleh mengakibatkan kecederaan fizikal yang serius, termasuk juga kehamilan, dan jangkitan penyakit sebaran seksual. Kesan paling biasa pada mangsa rogol adalah kesan psikologi. Mangsa rogol dan mangsa serangan seksual yang masih hidup, biasanya mengidap Sindrom Renjutan Emosi Rogol (Rape Trauma Syndrome (RTS)); Ia melibatkan perasaan dosa dan malu, ketegangan, kemarahan, ketidakselesaan pada perut, dan kekadangnya kegundahan.  Di negara Barat, rogol yang menggunakan kekerasan dianggap sebagai kes kecemasan. Kecederaan fizikal seperti pendarahan gynekologi (gynecologic hemorrhage) mungkin boleh berlaku.


iii.        Trauma- mangsa biasanya akan mengalami tekanan emosi psikologi terutama dalam kalangan masyarakat yang mempunyai adat-adat kelamin yang pantang. Umpamanya, seorang anak dara yang telah dirogol, dianggap oleh masyarakat sebagai seorang yang "rosak". Mangsa akan terpaksa menderita seorang diri dan dilarang berkahwin, ataupun mungkin akan diceraikan sekiranya dia sudah berkahwin. Mangsa rogol juga mungkin berasa "kotor" ataupun berasa bahawa dirinya yang bersalah.



            4.1        Akibat serta merta

        Serangan seksual akan serta-merta menghasilkan satu siri tindak balas yang biasa dikenali sebagai sindrom trauma perkosaan.  Pada peringkat permulaan tidak lama selepas serangan, si mangsa akan mengalami  rasa takut yang melampau, tidak berdaya, malu, menyalahkan diri sendiri serta hilang kawalan.  Antara simtom yang dapat dilihat serta-merta termasuklah mengigil, menangis, memulas-mulas sekitar pergelangan tangan, hilang kepercayaan, keliru dengan butiran kejadian, sukar membuat keputusan serta symptom somatic yang teruk seperti kadar degup jantung yang deras atau berpeluh.  Mangsa serangan biasanya keletihan fizikal dan emosi.  Keadaan ini bergantung kepada persekitaran serangan, terutama factor seperti tahap kekerasan, tempoh masa serangan berlaku, jenis aktiviti yang berlaku dan jumlah penyerang.  Semua ini mempengaruhi tahap trauma.

              Burgress et al. (1974) mengambarkan dua jenis reaksi, iaitu   ‘stail luahan ‘ dan ‘stail terkawal’. Mangsa stail pertama akan kelihatan dapat mengawal emosi dan sedih, manakala mangsa yang kedua dapat mengawal diri tetapi bersifat menafikan.  Contoh reaksi penafian termasuk melengahkan aduan, mandi untuk menghapuskan bukti atau akan berlagak seperti  biasa bagi bagi menormalkan keadaan dan mengawal situasi.

               Menurut Metzger (1976 ). Mangsa yang diperkosa sepenuhnya sering rasa bersalah dan disalahkan.  Keadaan ini sering  didedahkan semasa mangsa di minta mengambarkan semula tingkah laku mereka semasa serangan.  Mereka berasa bahawa serangan itu boleh dielakkan jika mereka melakukan sesuatu pada masa tersebut.  Wanita yang pernah berkhayal diserang secara seksual selalu akan rasa ersalah.  Mereka beranggapan fantasi itu sebagai satu kemahuan bawah sedar sehingga tingkah laku mereka membawa kepada serangan.


               4.2       Akibat jangka panjang

         Jenis dan tahap tindakbalas , terutama bagi jangka panjang, berkait dengan faktor seperti kemampuan menghadapi masalah (coping) secara umum, tahap perkembangan, usia, sikopatologi prawujud, kehadiran sokongan orang penting dan keadaan serangan berlaku.  Konflik dalam perhbungan, masalah seksual, kemampuan menghindar dan penyesuaian, pengalaman tekanan lepas, tingkah laku obsesif atau kompulsif serta kecelarua cemas juga merupakan kesan sampingan dalam menghurai trauma perkosaan.  Mereka yang sukar menyelesaikan krisis masa lalu akan mengalami kesan jangka panjang yang teruk  (Burgress et. al.(1974).

Simptom seperti gangguan tidur (selalu terjaga, mimpi ngeri), lintasa kenangan yang berulang dan symptom fizikal seperti sakit kepala dan gastrotestinal mrupakan antara yang harus dilihat dalam kaunseling.  Kesulitan untuk percaya kepada lelaki dan mengelakkan diri daripada sebarang perhubungan antara individu lebih kerap terjadi.  Metzger (1976) mengutarakan bahawa wanita melihat lelaki sebagai pelindng dan penghulur bantuan.  Mereka akan mersa dikhianati apabila serangan seksual  dilakukan oleh lelaki.  Mereka juga akan hilang kepercayaan diri untuk menilai jaminan orang lain.

Bermacam-macam reaksi gerun (fobia) muncul atau berulang kali muncul selepas perkosaan.  Selain rasa takut samada bersendiri, di tempat asing, di tempat  atau hamper tepat kejadian, mereka juga takut kepada prosedur kehakiman.  Rasa cemas dan panik  yang tidak ada kaintan dengan serang juga boleh muncul.


                4.3      Masalah seksual

           Masalah seksual selalu muncul serta merta selepas kejadian.  Ia akan berlanjutan sehingga bertahun-tahun.  Bagi sesetengah orang ia muncu hanya selepas beberapa tahun.  Kebanyakkan mengadu masalah rasa ingin menyendiri, hilang minat serta tidak sanggup menyertai kegiatan seks.  Becker dan Skinner mengandaikan bahawa masalah seksual masalah seksual terhasil daripada teori pembelajaran soaial dua factor.  Menurut mereka, cemas dan ketakutan yang dirasai semasa kejadian di seluruhkan kepada situasi seksual lain.  Ini menghasilkan perlakuan menarik diri atau mengelak sebarang kegiatan seksual


5.0      Pertimbangan kaunseling

              Matlamat serta-merta dalam kaunseling  mangsa serangan seksual ialah membantu mereka memulihkan kawalan ke atas diri dan persekitaran.  Mereka harus di bantu mencapai tahap kefungsian seperti mana yang di miliki sebelum kejadian berlaku.  Tiga  model yang di cadangkan oole Burgess (1974) mengambarkan pendekatan rawatan kepada masalah akibat serangan seksual.


               5.1       Model Perubatan

                 Model ini termasuklah menetukan tahap kerosakkan fizikal secara makmal, diagnosis, prognosis, mencari bukti jenayah, masalah berkait rawatan perubatan, pencegahan penyakit  dan tindak susul yang bersesuaian akibat serangan.


              5.2    Model jaringan sosial

                Model ini pula memerhati interaksi si mangsa dengan keluarga, rakan-rakan dan lain-lain dalam masyarakat setempat.  Ini juga meliputi usaha menentukan cara masyarakat boleh member sokongan kepada si mangsa dalam meneruskan kehidupan harian.



                 5. 3    Model tingkah lakuan (behavioural)

Model ini ditujukan kepada hasil khusus daripada stimulasi perkosaan (fobia, kecemasan, serta tingkah laku lain yang menghalang mangsa daripada kembali hidup normal).  Dalam mengembalikan keyakinan dan penghargaan kendiri, pendekatan seperti mempelajari teknik-teknik mempertahankan diri atau kembali melihat tempat kejadian adalah berkesan.


                    5.4   Model Psikologi

               Model ini mengesyorkan bahawa cara individu bertindak balas dengan kesan serangan seksual bergabung jalin dengan tahap  kematangan dan perkembangan dalam kontek stail personality.  Kaunseling bersifat  pencegahan termasuk membantu klien melihat kejadian dengan maklumat tentang impak serangan ke atas hidupnya.  Ia juga akan menyebabkan klien menjadikan kejadian sebagai satu kenangan hidup yang paling buruk dan menekan

(Burgess et. al. 1974).

                 Perancangan kaunseling jangka pendek atau jangka panjang akan ditentukan sama ada klien pernah mendedahkan hal serangan itu atau tidak.  Mereka yang pernah mendedahkan kejadian perkosaa akan rasa tertekan dan cemas.  Pelbagai simtom jangka panjang boleh muncul.  Keengganan membuat pendedahan mungkin disebabkan pengalaman klien ketika membuat pendedahan lain pada masa lepas.  Bagi mangsa yang merahsiakan serangan ke atasnya jarang bersedia untuk membuat pendedahan ketika sesi kaunseling.  Jika kaunselor berinteraksi dengan klien serta-merta atau tidak sangat berkesan.  Tumpuan diberikan kepada menyelesaikan kecemasan serta-merta dan isu keselamatan, mengerakkan sumber sokongan masyarakat yang boleh membantu pengubahsuaian klien, serta perancangan kaunseling dan perubatan lanjutan.  Krisis biasanya berakhir antara lima hingga lapan minggu.  Sepanjang tempoh itu, klien akan hilang keseimbangan dan tidak berupaya mengunakan  kemahiran mereka untuk mengatasi masalah.  Klien yang mempunyai kecelaruan personality dan psikologi prawujud mempunyai potensi terhadap reaksi yang lebih serius.  Mereka lebih memerlukan kaunseling pencegahan jangka panjang.


6.0     Campur Tangan Permulaan

                  Kebanyakkan model kaunseling Berjaya membantu mangsa trauma perkosaan selama tiga bulan pertama selepas kejadian.  Braen (1982) mengenal pasti langkah-langkah yang perlu diikuti semasa memberi bantuan perubahan kepada mangsa serangan seksual.  Ini termasuk pemeriksaan fizikal dan langkah-langkah susulan, mencatat latar belakang klien, mengumpul specimen, mencari bukti merawat kecederaaan, rawatan awal untuk trauma emosi, pencegahan penyakit dan langkah susulan yang lain.  Klien perlu ada maklumat  mengenai langkah yang akan diambil.

                 Pemeriksaan fizikal sering ditafsir sebagai satu lagi pencerobohan terhadap diri.  Oleh sebab itu, ia harus dilakukan secara empati, persekitaran yang tertutup dan diikuti penjelasan dan jaminan tentang apa yang dilakukan.  Semua rawatan dilakukan oleh kakitangan perubatan.  Para doktor jarang menerima latihan psikososial untuk campur tangan dalam kes serangan seksual.  Begitu juga interaksi antara klien dan anggota polis dalam sesi soal siasat sering membuat klien rasa gusar dan malu.  Hal ini perlu diperjelaskan oleh kaunselor dan membuat penjelasan mengenai prosedur yang akan dibuat.  Sebarang penyimpanan bukti harus memperolehi kebenaran klien.  Klien perlu tahu bahawa bukti tersebut mungkin penting jika dia mahu  mengambil tindakan kepada penyerangnya kelak.

                 Mencatat latarbelakang insiden harus dilakukan secepat mungkin.  Ini termasuk semua tindakan semasa serangan, latar ginekologi (haid terakhir, penyakit bawaan seksual, penggunaan pil perancang dan sebagainya), maklumat umum perubatan, dan lain-lain aktiviti pasca serangan (mandi, mengesat).  Apabila meneroka tingkah laku seksual yang spesifik, risiko kehamilan dan jangkitan penyakit bawaan seksual, klien dijangka akan cemas dan aprehensif.  Penjelasan harus dititikberat jika pemeriksaan pelvic dilakukan kepada mangsa yang masih muda.  Ini kerana mereka belum mempunyai pengalaman mengenainya.

                      Mendapatkan maklumat lengkap mengenai serangan memerlukan kemahiran dan sokongan agar klien tidak rasa bersalah dan gagal mengawal diri semasa mengigati butir-butir serangan.  Penting sekali, semua pertanyaan yang dikemukakan tidak bersifat menuduh klien.  Peruntukkan masa yang cukup perlu untuk mengurangkan kegusaran klien.  Soalan yang lebih umum boleh digunakan untuk mengcungkil hal yang lebih spesifik.  Temubual yang dibuat dalam keadaan seperti soal siasat akan membuat klien sekali lagi “diserang”.

Ia akan rasa tidak berdaya.  Semasa bertanya, perhatikan isyarat-isyarat tanpa lisan.  Ini akan membekalkan maklumat mengenai tahap tekanan, cemas dan keupayaan klien memberi perhatian semasa temubual.  Ini juga akan menentukan kejayaan penerokaan secara umum.


7.0       Kaunseling jangka panjang

                  Kaunselor boleh mencadangan kaunseling jangka panjang, namun ia harus ditentukan klien berdasarkan keperluan dan matlamat.  Prosedur ini akan mengukuhkan kemampuan klien untuk bertanggungjawab kepada hidupnya, meningkatkan penghargaan kendiri dan mengurangkan kawalan kaunselor.

Dalam kes tertentu, ketakutan dan cemas boleh dikurangkan dengan desensitisasi sistematik atau pendekatan lain tingkah lakuan mahupun kognitif.  Maklum balas bio mungkin bergua jika dipadankan dengan symptom fizikal sepetrti peningkatan degup jntung, gangguan abdominal dan sakit kepala.

Berkongsi pengalaman dengan mereka yang pernah merasai insiden serupa adalah terupatik.  Sesi pertemuan kelompok didapati berkesan mengurangkan symptom, terutamanya tindak balas fobi dan kecemasan.  Ini khas kepada mereka yang tiada mengalami kecelaruan personality yang teruk atau psikopatologi yang lain.  Penyertaan anggota keluarga juga mendatangkan manfaat.  Pertemuan kelompok yang diawasi secara professional boleh menyediakan satu forum yang selamat untuk berkongsi dan membentuk jalinan sokongan.  Setiap sesi biasanya selama sejam dan berlangsung selama dua hingga tiga bulan


8.0      Penamatan

            Klien bersedia untuk menamatkan rawatan apabila mereka sanggup menerima pengalaman serangan seksual sebagai sesuatu yang buruk tetapi sebahagian daripada kehidupan silam mereka (Mccombie et. al, 1980).  Apabila semakin hamper dengan penamatan, klien mungkin akan mengalami perasaan takut sendirian dan tidak berdaya melindung diri, sama seperti yang dirasai selepas serangan berlaku.  Galakan kaunselor dan penampilan bukti kemajuan sepanjang sesi kaunseling akan mengukuhkan jaminan kendiri individu.  Perancangan teliti untuk penamatan sangat penting.  Sebarang lengahan daripada pihak kaunselor untuk menamatkan sesi akan meningkatkan rasa kurang yakin pada diri klien.


9.0    Penutup

                  Pada pandangan saya,  mangsa serangan seksual patut diberi keutamaan dari pelbagai sudut.  Apabila mangsa bersedia membuat keputusan untuk  membuat laporan pada pihak polis, perkara pertama ialah mangsa perlu berhadapan dengan ahli keluarga terlebih dahulu kemudian mangsa akan dibawa ke Balai Polis untuk membuat aduan dan kemudian pihak Polis akan merujuk kepada pihak Hospital Kerajaan untuk pemeriksaan fizikal.


        Apa yang akan berlaku di Balai Polis mereka akan di soal siasat  oleh pegawai Polis yang bertugas untuk mendapatkan maklumat dan latar belakang kes seperti  kenapa, bila, dimana ,siapa di satu tempat yang agak terbuka, contohnya di kaunter.   Kemudian mangsa akan diserahkan pula kepada Pegawai Penyiasat dan mangsa terpaksa mengulang lagi  kisah tersebut sekali lagi malah kali ini dengan lebih detail,  bayangkan Pegawai-pegawai Polis yang bertugas itu tidak langsung mendapat latihan psikososial apatah lagi mempunyai empati,  ini merupakan satu lagi penderaan dan pencerobohan kepada emosi dan maruah mangsa.

              Kemudian Pihak Polis akan merujuk mangsa kepada pihak hospital dalam masa yang sama waran tangkap untuk perogol telah dikeluarkan.  Di Hospital mangsa akan ditemani oleh seorang Pegawai Polis (wanita) dan terpaksa melalui proses pendaftaran seperti biasa,  kemudian beliau akan ditemubual oleh doktor bertugas tentang kejadian tersebut.  Mangsa perlu menceritakan dari awal hinggalah kepada berlaku penetration.  Sekali lagi mangsa perlu menanggung malu  dan mengadaikan maruah dan emosi kepada doktor tersebut dan akhir sekali barulah pemeriksaan fizikal dilakukan bagi mendapatkan kesan-kesan pada tubuh mangsa bertujuan untuk memudahkan pendakwaan terhadap perogol. Bayangkan jika keluarga kita berada di tempat mangsa…


            Pada saya sudah sampai masanya kaunselor-kaunselor melalui Persatuan (PERKAMA) memainkan peranan dalam menangani isu ini.  Pendekatan soal siasat dengan cara yang tidak berempati dan beretika akan meninggalkan kesan lain yang lebih buruk pada mangsa.  Ia juga merupakan satu lagi bentuk serangan kepada emosi dan privasi mangsa.  Secara tidak langsung ia menambahkan lagi beban trauma yng ditanggung oleh mangsa.  Itu tidak termasuk lagi pendedahan kes mangsa kepada pihak akhbar.  Teknik-teknik soal siasat kadang-kadang meletakkan mangsa seolah-olah sebagai orang yang tertuduh.  Ini mungkin menyebabkan kebanyakkan kes, mangsa enggan membuat laporan kepada pihak Polis dan mangsa terpaksa menanggung penderitaan itu bersendirian dan perogol akan bebas dari segala hukuman.  Mungkin juga mangsa takut untuk terus menceritakan perkara sebenar tentang kejadian tersebut kerana semakin ia bercerita semakin  ia akan dipersalahkan.

                 Mungkin pihak PERKAMA sendiri boleh mengesyorkan atau menyedarkan kepada pihak-pihak berwajib ataupun melalui Pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan yang menjaga kepentingan wanita ini mengenai  pentingnya kewujudan kaunselor sebagai pegawai pertama  berhadapan dengan mangsa rogol sebelum disalurkan kepada pihak Polis dan pihak Hospital.  Adalah penting kaunselor-kaunselor ini ditempatkan di Jabatan (Balai-balai) Polis dan Hospital-hospital untuk menangani mangsa-mangsa rogol.  Kita tidak mahu mangsa hanya  akan menyimpan rahsia, bukti dan butir-butir kejadian hanya kerana takut dan malu dalam soal siasat yang dijalankan ataupun mungkin mangsa akan mengambil keputusan untuk membunuh diri akibat tiada tempat yang betul  atau selamat untuk membuat aduan.

              Mungkin dengan kehadiran kaunselor sebagai pegawai pertama, ia dapat merungkaikan keseluruhan kejadian  dan dapat menyelesaikan kes serta  sekaligus dapat memberi rawatan terapi kepada mangsa mengikut kesesuaian dan kemahiran yang dimiliki oleh  kaunselor.

Sekian.


No comments:

Post a Comment

Keajaiban Menderma

  Dalam 1 program TV di Amerika, pengacara siaran tersebut mengiklankan tentang seorang pesakit yang memerlukan pembedahan segera yang berha...