Wednesday, 4 September 2013

STRATEGI MENANGANI STRESS

Apa itu Stress?
Berikut adalah beberapa penjelasan (definisi) mengenai stress.
  • Stress ialah persepsi dan penilaian individu terhadap persekitaran. Setiap individu mempunyai pandangan yang unik terhadap persekitaran. Oleh itu, aspek persekitaran tertentu mungkin dianggap signifikan dan menyebabkan stress oleh segolongan individu namun tidak memberi kesan terhadap segolongan individu yang lain (Sharpe Robert, 1995).
  • Stress ialah ketidakseimbangan antara intelek, emosi dan fizikal individu yang disebabkan oleh persepsi individu terhadap sesuatu situasi sehingga menghasilkan tindak balas fizikal dan emosi. Tindak balas ini boleh dianggap sebagai sesuatu yang positif atau negatif bergantung kepada interpretasi individu tersebut (Gold Yvonne dan A. Roth Robert, 1993).
  • Stress ialah keadaan atau perasaan yang dialami apabila seseorang berasa tuntutan melebihi kemampuan peribadi dan daya sosial yang mampu digerakkannya.
  • Stress ialah ‘false alarm’. Stress dilihat sebagai pengaktifan palsu sistem amaran bahaya dalam otak yang dimiliki oleh setiap individu. Fungsi biologi sistem ini adalah untuk membantu individu berhadapan dengan bahaya yang sebenar. Apabila tanda bahaya ini diaktifkan, tindak balas fisiologi yang dikenali sebagai ‘fight or flight’ berlaku. Tindak balas ini membantu individu untuk sama ada melawan atau melarikan diri daripada bahaya tersebut (Sarmiento Robert F. , 2003).
  • Stress ialah ‘the wear and tear’ yang dialami oleh tubuh semasa individu menyesuaikan diri dengan persekitaran. Stress mempunyai kesan fizikal dan emosi terhadap individu serta membentuk perasaan positif dan negatif (Dr. Hans Selye).
  • Stress ialah suatu tindak balas bukan spesifik tubuh terhadap rangsangan yang diterima. Rangsangan tersebut boleh jadi ancaman, cabaran atau sebarang perubahan yang memerlukan tubuh membuat penyesuaian. Tindak balas ini automatik. Stress yang positif dikenali sebagai ‘eustress’ sementara stress yang negatif dikenali sebagai ‘distress’. (Dr. Hans Selye dalam Phillip W. Long, 1995).

Apakah Tanda-tanda dan Punca Stress?

Tanda-tanda stress

Tanda-tanda stress secara umumnya dapat dibahagikan kepada empat kategori, iaitu:


1. Fizikal
Letih, sakit kepala, sukar tidur (insomnia), ketegangan otot (terutamanya di bahagian leher dan bahu), jantung berdebar, sakit dada, kejang perut, rasa loya, gementar, sejuk yang keterlaluan, berpeluh dan sering demam.


2. Mental
Tumpuan dan ingatan berkurangan, fikiran bercelaru, hilang perasaan humor.


3. Emosi
Bimbang, muram, gugup, marah, kecewa, cemas, takut dan tidak sabar.


4. Perlakuan
Perlakuan gelisah (menggigit kuku, menggenggam penumbuk, mengeritkan gigi, menyentuh rambut), merokok, makan dalam kuantiti yang banyak, meminum minuman keras, menangis, menjerit, mengutuk, menyalahkan dan melemparkan barang-barang (Kirsta Alix, 1986)


Punca-punca stress
Terdapat dua punca stress, iaitu punca dalaman dan punca luaran.

1. Punca dalaman:
  • Persekitaran fizikal – Kebisingan, kecerahan lampu, kepanasan dan ruang yang sempit.
  • Sosial (interaksi dengan masyarakat) – Kebiadaban dan tabiat suka berkelahi dengan orang lain.
  • Organisasi – Peraturan dan tarikh akhir.
  • Peristiwa penting dalam hidup – Kematian dalam kalangan keluarga, kehilangan pekerjaan dan kenaikan pangkat.
  • Gangguan harian – salah letak kunci dan kerosakan kereta.
2. Punca luaran:
  • Gaya hidup – Kafein, tidak cukup tidur, jadual yang terlalu padat.
  • Bersikap negatif – pesimistik.
  • Pemikiran – Jangkaan yang tidak realistik, membesar-besarkan sesuatu hal, pemikiran yang tidak dapat diubah-ubah.
  • Personaliti – Mementingkan kesempurnaan, ingin menyenangkan orang lain dan suka bekerja keras (Philip W. Long, 1995).

Bagaimana Strategi Terbaik Untuk Menangani Stress?
Terdapat dua strategi untuk menangani stress, iaitu mengubah gaya hidup dan mengubah cara berfikir.


Mengubah gaya hidup

1.  Kurangkan atau hentikan pengambilan kafein.
Ramai individu tidak menyedari bahawa kafein yang terkandung dalam kopi, teh, coklat dan kola ialah dadah. Kafein ialah perangsang yang kuat dan sebenarnya menghasilkan tindak balas dalam tubuh. Kesan tanpa pengambilan kafein terhadap tubuh dapat diperhatikan selepas tiga minggu. Individu berasa lebih tenang, tidur dengan lena, lebih bertenaga, dan kurang kesakitan otot. Walau bagaimanapun, pengurangan pengambilan kafein hendaklah dilakukan secara berperingkat. Kurangkan segelas minuman berkafein sehari demi sehari sehingga pengambilan kafein ini dapat dihentikan selepas tiga minggu.


2. Senaman rutin
Tindak balas terhadap stress sebahagian besarnya berasal dari dalam diri kita sendiri bukannya dari rangsangan luar. Bersenam merupakan cara yang paling praktikal untuk meregangkan otot dan membuang tenaga yang berlebihan. Senaman rutin yang kerap diamalkan dapat mengelakkan stress dan situasi yang berlaku sentiasa terkawal. Sekurang-kurangnya lakukanlah senaman rutin tiga kali seminggu dengan kadar minimum 30 minit setiap hari.


3. Meditasi
Tahap rehat yang tinggi dapat dicapai sewaktu meditasi dilakukan kerana secara fisiologinya anggota tubuh sedang berehat dan bukan tidur. Meditasi boleh dilakukan sekali sehari dalam masa 20 minit. Teknik ini boleh dipelajari daripada kursus yang ditawarkan oleh pihak tertentu.


4. Tidur
Tidur boleh mengurangkan stress. Apabila individu yang mengalami stress tidur lebih lama, individu berkenaan akan lebih segar dan bersemangat untuk menghadapi pelbagai tugasan. Keperluan masa tidur adalah antara 5 hingga 10 jam satu malam, tetapi secara purata masa tidur yang diperlukan adalah antara 7 hingga 8 jam. Tidur yang mencukupi membolehkan individu berasa segar, bertenaga sepanjang hari dan bangun tanpa dikejutkan oleh deringan jam. Walau bagaimanapun, tidur terlalu lama boleh menyebabkan gangguan pada ritma tubuh pada keesokan harinya. Tidur pada siang hari amat berguna sekiranya dilakukan sesuai dengan tempoh masa. Tempoh tidur hanyalah antara 5 hingga 20 minit sahaja. Tidur yang melebihi 30 minit boleh menyebabkan ketidakselesaan kepada individu berkenaan.


Mengubah cara berfikir

1. Jangkaan realistik
Individu mudah naik marah apabila hasil yang diperoleh tidak seperti yang diharapkan. Hidup akan lebih mudah diurus apabila individu mengamalkan jangkaan realistik. Setelah individu mempunyai gambaran tentang sesuatu, apa-apa pun hasilnya nanti tidak akan menyebabkan individu tadi mengalami stress yang melampau.


2. Unsur humor
Unsur humor perlu ada pada setiap individu. Walau bagaimanapun, tahap humor pada setiap individu adalah berbeza. Mungkin ada individu yang terhibur dengan rancangan National Geographic dan ada juga yang menganggap rancangan tersebut membosankan. Oleh itu, individu hendaklah sensitif ketika cuba berlawak atau menghiburkan hati individu lain.


3. Sistem kepercayaan
Sistem kepercayaan menyebabkan stress dari dua aspek, iaitu tingkah laku hasil daripada kepercayaan dan tatkala berlaku konflik dengan orang lain. Pendirian individu sering kali inginkan sesuatu yang sempurna tetapi tidak semestinya dapat dicapai. Oleh itu, sekiranya individu tidak fleksibel maka akan menimbulkan stress. Justeru, mengubah pendirian terhadap sesuatu yang positif boleh membantu mengurangkan stress.
Kita perlu sedar yang stress memang sukar untuk dielakkan. Stress yang berlaku sekarang akan berterusan tanpa mengira jantina, umur, kelas sosial, profesion dan zaman. Stress tidak semestinya membahayakan malah boleh menjadi aset selagi stress tersebut dapat dikawal. Walau bagaimanapun, memandangkan kebanyakan stress menyebabkan impak yang tidak diingini dan tidak dapat dielakkan, adalah penting untuk individu menangani stress dengan sewajarnya.

No comments:

Post a Comment

Keajaiban Menderma

  Dalam 1 program TV di Amerika, pengacara siaran tersebut mengiklankan tentang seorang pesakit yang memerlukan pembedahan segera yang berha...