Sunday, 9 November 2014

Pengucapan Awam

 

 


1. Salah satu kemahiran yang perlu dikuasai oleh setiap  individu adalah kemahiran pengucapan awam (public speaking). Ia lebih mustahak bagi individu yang menjadi pemimpin bagi sesebuah organisasi, masyarakat dan juga ahli politik.

2. Ucapan yang baik mestilah ucapan yang boleh difahami oleh audiens dan mampu membangkitkan keinginan untuk bertindak. Ucapan yang baik tidak semestinya berapi-api tetapi mestilah ucapan yang jelas dan tidak menimbulkan kebosanan di kalangan audiens.

3. Halangan utama untuk menyampaikan ucapan yang baik adalah perasaan gugup dan gementar. Ia dialami oleh ramai orang. Pengucap yang baik menguasai rasa gementar sebaliknya pengucap yang kurang baik dikuasai rasa gementar. Mengatasi rasa gementar boleh diatasi dengan latihan yang berterusan. Mulakan berucap bersendirian, dalam kumpulan yang kecil, sederhana dan seterusnya dalam kumpulan yang lebih besar.

4. Dalam pengucapan awam, dua perkara yang penting adalah mesej dan bagaimana mesej itu disampaikan.

5. Mesej adalah maksud dan tujuan ucapan itu disampaikan. Sangat penting bagi si pengucap memahami sepenuhnya sesuatu mesej sebelum ia disampaikan kepada audiens. Sesuatu mesej yang baik mestilah bermanfaat untuk diketahui oleh audiens dan ia disampaikan tepat pada masanya.

6. Audiens tidak akan peduli jika mesej yang mahu disampaikan tidak berkaitan atau bermanfaat dengan dirinya. Misalnya audiens dari kalangan mahasiswa hanya berminat jika pengucap berbicara mengenai isu-isu seperti PTPTN, masalah air di kolej kediaman, yuran pengajian atau mengenai isu percintaan di menara gading. Mereka tidak berminat jika pengucap membincangkan tentang isu-isu seperti KWSP, pembiayaan BBA di Bank Islam , masalah rumah tangga atau masalah gaji minimum dalam sektor pembinaan.
7. Mesej yang sudah luput (expired) juga tidak menarik minat audiens. Mesej yang bersifat futuristik pula hanya akan diberikan perhatian oleh golongan pemikir dan bukan dalam khalayak awam yang ramai. Mesej mestilah bersifat semasa dan mempunyai kaitan yang kuat dengan audiens.

8. Bagaimana mesej disampaikan berkait rapat dengan bahasa pertuturan yang digunakan, lenggok bahasa, intonasi, pemilihan kata, kelantangan suara dan kejelasan perkataan yang disebutkan.

Source : Blog Hasbie Muda

No comments:

Post a Comment

Keajaiban Menderma

  Dalam 1 program TV di Amerika, pengacara siaran tersebut mengiklankan tentang seorang pesakit yang memerlukan pembedahan segera yang berha...