Apakah proses yang
berlaku apabila orang yang bermasalah berjumpa dengan kaunselor untuk meminta
pertolongan?
Terdapat banyak
pendapat daripada pelbagai ahli kaunseling dan psikologi berkenaan proses
kaunseling seperti Lewis, (1972), membahagikan proses kaunseling kepada lima
peringkat iaitu menentukan matlamat klien mendapatkan perkhidmatan kaunseling,
menerangkan definisi dan proses kaunseling yang akan dilalui, memberi
penerangan dan pemahaman mengenai keperluan klien, kemajuan ke arah mencapai
matlamat, dan membuat kesimpulan serta perancangan masa depan berdasarkan pengalaman klien
mengikuti proses kaunseling.
Eisenberg &
Delaney, (1977), pula membahagikan proses kaunseling kepada enam peringkat
iaitu perjumpaan awal ice-breaking,
penerokaan masalah klien dan pembinaan perhubungan yang menolong, menentukan
matlamat, mengenalpasti dan menilai faktor-faktor yang berhubung dengan
mencapai matlamat, membina dan melaksanakan satu pendekatan untuk mencapai
matlamat, menilai pencapaian dan diakhiri dengan penamatan dan susulan.
Menurut Brammer,
(1973), proses kaunseling mempunyai lapan peringkat yang perlu dilalui iaitu
penyediaan dan kemasukan, penjelasan perlunya klien kepada kaunseling,
menstruktur proses kaunseling selanjutnya, perhubungan mesra atau membina
hubungan, penerokaan masalah klien, pengukuhan apabila klien mengamalkan
kemahiran-kemahiran baru, perancangan yang rasional dan diakhiri dengan
penamatan atau merumus pencapaian.
Menurut islam
pula pada pandangan Imam al-Ghazali meletakkan sepuluh tahap dalam proses
kaunseling iaitu Al-ta’arruf (pengenalan), Al-ta’rif (penerokaan masalah),
Al-nahy bi al-wa’zi wa al-nush wa al-takhwif (tegahan melalui peringatan,
nasihat dan amaran), Al-wa’zu wa al-nush (peringatan dan nasihat), Al-sab wa
al-ta’nif (celaan dan kutukan), Al-taghyir bi al-yad (mengubah dengan tangan
atau kekuasaan), Al-tahdid bi al-darb (member amaran dengan deraan pukul), Iqa’
al-darb wa tahqiqihi (melaksanakan deraan pukul), Shahr al-silah
(mengisytiharkan peperangan/angkat senjata) dan Al-istizhar fi a’wan wa jam’i
al-junud (menunjukkan kekuatan dengan mengumpul tentera.
Secara asasnya
proses kaunseling dibahagikan mengikut tiga tahap iaitu fasa satu; Sebelum
proses kaunseling (peringkat pra-persediaan), fasa dua; semasa proses
kaunseling (peringkat penyediaan kemasukan, penetapan/penjelasan, menstruktur
perhubungan, penerokaan, pengukuhan dan perancangan) dan fasa tiga; selepas
proses kaunseling (peringkat penilaian, penyusulan, dan penamatan).
Proses kaunseling pada peringkat permulaan memerlukan
kaunselor mengkaji latar belakang klien.
Segala maklumat peribadi klien
perlu dikumpul secara teratur dan sistematik untuk memudahkan kaunselor
tersebut memahami persoalan sebenar kliennya.
Di tahap ini, kaunselor tersebut perlu membentuk hubungan dan seterusnya
memberikan pertolongan.
Pada
awal sesi, seseorang kaunselor haruslah menjadikan klien lebih selesa.
Kaunselor perlu menyatakan tujuan pertemuan dengan jelas dan tekankan
bahawa
dirinya iaitu kaunselor sentiasa prihatin dan bersedia membantu setakat
yang terdaya. Pada peringkat permulaan ini terdapat dua
aspek utama yang perlu diberi penekanan oleh seseorang kaunselor iaitu
tempat
sesi kaunseling dijalankan dan tahap kemampuan kaunselor dengan klien.
Sebelum
memulakan sesi kaunseling, kaunselor haruslah memikirkan dan menyediakan tempat
serta menentukan masa yang sesuai untuk berbincang tanpa banyak gangguan. Tempat yang selesa dan menarik akan
menggalakkan klien tersebut merasa selesa untuk menghadiri sesi kaunseling dan
seterusnya sesi tersebut dapat diadakan dengan jayanya. Peranan tempat yang
sesuai ini penting supaya emosi klien tidak terganggu dengan keadaan tempat
dimana sesi kaunseling dijalankan. Aspek ini penting supaya klien dapat
menyesuaikan diri dengan persekitaran tempat sesi berjalan dan memudahkan lagi
proses kaunseling itu sendiri.
Aspek kedua yang
perlu diberi penekanan oleh kaunselor ialah mengambil kira tahap kemampuan sama
ada dirinya sendiri mahupun klien.
Kaunselor yang kelihatan letih akan menimbulkan rasa kurang yakin dalam kalangan klien terhadap kaunselor. Selain dari itu, kaunselor harus peka akan tahap
kemampuan klien. Ada klien yang mungkin
kelihatan letih, lemah dan malas untuk bekerjasama. Terdapat juga keadaan di
mana tahap kemampuan kedua-dua pihak ini harus dititikberatkan sebelum
memulakan sesuatu sesi kaunseling agar proses kaunseling dapat dijalankan
dengan lancar.
Setelah kedua-dua aspek ini diberikan penekanan, kaunselor dan klien
masing-masing bolehlah bersedia untuk memulakan proses kaunseling, persetujuan
antara kedua-dua belah pihak adalah penting dalam proses kaunseling. Brammer
(1973) menganggap persetujuan ini sebagai satu kontrak antara kaunselor dan
kliennya serta sebagai tanda persetujuan tanda permulaan sesuatu proses
kaunseling. Persetujuan antara kontrak
ini akan berubah pada bila-bila masa mengikut kehendak dan keadaan klien itu
sendiri.
Seseorang kaunselor juga perlu mengetahui serba sedikit tentang maklumat
klien bagi memudahkan proses kaunseling berlaku. Latar belakang klien amat
penting bagi seseorang kaunselor sebelum memulakan sesi kaunseling kerana
kaunselor perlu terlebih dahulu mengenal serba sedikit tentang profil kliennya.
Dengan ini klien akan merasa bahawa kaunselor benar-benar serius mahu menolong
klien menyelesaikan masalahnya. Namun begitu, kaunselor tidak perlu mengetahui
secara terperinci tentang prolif kliennya kerana dikhuatiri klien tidak selesa
dengan keadaan itu dan akan menimbulkan syak wasangka terhadap kaunselor.
Keadaan ini perlu dielakkan supaya sesi kaunseling dapat berjalan dengan
jayanya.
Contohnya, A merupakan seorang kaunselor dan B merupakan seorang klien.
Kaunselor A perlulah mengenalpasti terlebih dahulu serba sedikit tentang profil
klien B sebelum sesi kaunseling berlaku. Kaunselor A juga perlu meneliti tempat
sesi kaunseling dijalankan supaya klien selesa dengan persekitaran lokasi sesi
kaunseling itu berlaku.
Setelah
fasa satu berjaya, kaunselor boleh meneruskan proses kaunseling dengan fasa
yang seterusnya iaitu fasa kedua. Fasa kedua dalam proses kaunseling mempunyai
beberapa peringkat iaitu peringkat penyediaan kemasukan, penetapan/penjelasan,
menstruktur perhubungan, penerokaan, pengukuhan dan perancangan. Setelah fasa
kedua berjaya, kaunselor bolehlah meneruskan proses kaunseling ke fasa ketiga
iaitu fasa penilaian, penyusulan dan penamatan.
Fasa kedua dalam
proses kaunseling dimulakan dengan peringkat penyediaan kemasukan. Peringkat tahap ini, memerlukan kaunselor menemu bual secara
minima klien yang menghadapi masalah.
Sewaktu memulakan temubual, seseorang kaunselor itu hendaklah
menggunakan soalan-soalan yang tidak menakutkan serta mempamerkan perlakuan
yang membantu. Umpamanya perbuatan pertentangan
mata dan kedudukan tubuh badan kaunselor tersebut hendaklah disesuaikan
mengikut situasi.
Jarak kedudukan antara kaunselor dan klien juga perlu diberi perhatian bagi
memudahkan proses komunikasi. Selain
dari itu, keadaan tempat juga merupakan satu perkara yang penting dalam
permulaan hubungan antara klien-kaunselor. Ini amat penting kerana suasana
bilik yang tenang akan memberangsangkan dan menggalakkan klien untuk meluahkan
perasaannya.
Kaunselor
juga perlu mempunyai sikap memahami dan menerima iaitu memberi peluang kepada
klien untuk bercakap dan menyatakan apa yang terbuku dalam dirinya. Proses ini
penting bagi membolehkan kaunselor bergerak ke peringkat yang seterusnya iaitu
peringkat penetapan/penjelasan.
Pada peringkat
ini, kaunselor akan cuba mendapatkan gambaran yang jelas tentang persoalan
serta permasalahan yang dihadapi oleh klien serta menentukan matlamat
kaunseling yang diperlukan mengikut kehendak klien. Biasanya terdapat dua cara
yang boleh dilakukan iaitu jika klien mudah bercakap dan meluahkan segala isi
hatinya, kaunselor akan terus mendorong klien tersebut untuk terus bercerita
dan jika klien tersebut sukar untuk bercerita, maka kaunselor hendaklah bijak
mengemukakan soalan-soalan yang terbuka agar menggalakkan klien tersebut untuk
bercerita.
Kaunselor
hendaklah mengelakkan pendekatan ‘soal-selidik’ kepada klien kerana ini akan
menyebabkan klien tersebut merasa
terancam atau takut. Kaunselor haruslah mahir menggunakan pendekatan
psikologi yang boleh menimbulkan suasana selesa, sayang, hormat dan terbuka.
Kaunselor juga hendaklah menunjukkan sifat-sifat sebagai pendengar yang baik
dan kritikal serta membantu klien jika menghadapi keadaan tersekat-tersekat
sewaktu meluahkan pengalaman dan perasaanya.
Kaunselor juga
haruslah dapat menggalakkan klien menghurai dan menentukan pernyataannya
tentang bentuk dan jenis pertolongan yang dikehendaki. Pada tahap ini, kaunselor juga harus
mengamati dan menentukan siapa sebenarnya yang sedang menghadapi permasalahan
tersebut iaitu sama ada diri beliau sendiri atau pun melibatkan orang
lain.
Pengetahuan dan
kemahiran ini amat penting bagi membantu merangka alternatif ke arah
penyelesaian. Pada peringkat ini,
kaunselor sepatutnya sudah dapat merangkakan ketetapan untuk melihat matlamat
klien. Kaunselor juga sudah boleh
mencungkil kehendak sebenar klien.
Peringkat seterusnya ialah peringkat penstukturan, kaunselor dan klien akan
menetapkan sama ada perhubungan mereka itu boleh diteruskan atau tidak. Kaunselor harus menilai dirinya sendiri sama
ada beliau berkemahiran membantu klien, memenuhi harapan, berasa selesa dengan
klien tersebut dan selanjutnya perlu atau tidak mengadakan kontrak kaunseling
dengan klien.
Bagi pihak klien juga sudah dapat menentukan sama ada kaunselor tersebut
boleh dipercayai atau tidak dan bersediakah ia melibatkan diri serta menerima
syarat-syarat yang dikenakan oleh kaunselor itu nanti.
Tahap penstrukturan ini akan menentukan sifat, batasan dan matlamat
perhubungan menolong. Kaunselor boleh memberitahu klien langkah-langkah yang
diambil bagi menyediakannya arah yang
sedang dituju.
Kontrak kaunseling akan dibuat pada peringkat ini iaitu persetujuan antara
kaunselor dan klien bagi berusaha
mencapai matlamat yang ditentukan serta bertanggungjawab untuk menepatinya.
Dengan adanya kontrak ini klien akan merasa lebih komited menjalankan sesuatu
tindakan untuk mencapai matlamat-matlamat yang ditetapkan. Seseorang kaunselor
juga boleh membuat penamatan sesi jika
kaunselor tidak dapat menyelesaikan masalah klien atau merujuknya kepada
kaunselor yang lain sebagai klien yang dirujuk. Jika tidak peringkat seterusnya
dalam proses kaunseling boleh diteruskan.
Kaunselor juga perlu mahir dalam peringkat perhubungan supaya sesi atau
proses kaunseling itu berjalan dengan lancar. Peringkat ini penting supaya menimbulkan
rasa selesa dalam kalangan klien supaya mereka tidak berasa terganggu dan
terancam ketika sesi kaunseling berlaku. Antara perkara yang perlu diambil kira
oleh seorang kaunselor ialah membina suasana alam sekeliling yang kondusif, jarak
antara klien dengan kaunselor termasuk cara duduk dalam sesi kaunseling,
penampilan diri, ekspresi muka atau wajah yang melibatkan emosi seperti marah,
seyum, gembira dan lai-lain, mendengar apa yang dikatakan iaitu banyak
mendengar dan memahami, tidak cepat membuat tanggapan dan penilaian serta
menjaga nada suara.
Proses kaunseling juga memerlukan peringkat penerokaan iaitu
kaunselor akan semakin mengenali klien terutamanya dari segi pendirian,
matlamat dan juga strategi yang bakal diambil untuk membantu kliennya. Antara
langkah-langkah yang boleh diambil oleh kaunselor di peringkat ini ialah terus mewujud dan
mengeratkan hubungan agar wujud perasaan yakin, percaya dan selamat di pihak
klien terhadap kaunselor, klien di waktu ini digalakkan untuk meneroka masalah dan
perasaannya bagi mencapai kesedaran kendiri, kaunselor juga boleh memutuskan
sama ada akan meneruskan hubungan sesi kaunseling ini atau menghentikannya atas
sebab-sebab tertentu, dan kaunselor boleh memberi panduan kepada klien tentang
kemahiran-kemahiran yang perlu bagi mencapai matlamatnya.
Kaunselor boleh
memberikan aktiviti “kerja rumah” untuk klien bagi membolehkannya mencapai
matlamat. Pada tahap ini, kaunselor harus lebih bersifat aktif, tegas dan
cergas dalam tindakannya. Kaunselor
seharusnya semakin jelas tentang apa yang diperlukan oleh kliennya.
Kaunselor juga
perlu menggunakan segala kemahirannya untuk meneroka persoalan klien. Menurut
Eisenberg dan Delaney (1977), peringkat ini merupakan proses berlakunya komunikasi yang didorong oleh keikhlasan
dan kejujuran serta berterus-terang terhadap peranan sebenar yang hendak
dibincangkan antara kedua-dua pihak.
Segala perasaan
tidak logik, tidak rasional sama ada dalam diri kaunselor atau klien mestilah
dikikis dan dihindari segera supaya tidak mengganggu pencapaian matlamat
sebenarnya. Perhubungan yang erat sangat
penting untuk menimbulkan keyakinan sehingga klien dapat berasa bebas, selamat
dan selesa serta terbuka dan sedia berkongsi perasaan dan masalah dengan
kaunselor.
Proses
kaunseling yang seterusnya ialah diperingkat pengukuhan. Pada peringkat
pengukuhan ini, klien akan menjelaskan dengan lebih lanjut tentang perasaannya
serta menentukan pilihan-pilihan yang boleh diambil olehnya. Kemahiran-kemahiran baru juga perlu
diamalkan. Klien seharusnya telah
benar-benar melibatkan dirinya secara langsung dan secara aktif di peringkat
ini. Seboleh-bolehnya, sesuatu pilihan
telah dibuat, diterima dan diyakinkan serta disepadukan mengikut proses-proses
yang telah dipersetujui bersama.
Contohnya,
Kaunselor A telah membuat beberapa sesi dengan klien B dan kedua-duanya telah
sepakat dan mencapai satu persetujuan berkenaan dengan tindakan seterusnya yang
perlu dilakukan oleh klien. Jadi klien B, sudah tahu apa yang perlu
dilakukannya selepas ini di peringkat sesi kaunseling yang seterusnya.
Proses
kaunseling seterusnya berlaku diperingkat perancangan. Peringkat perancangan
merupakan satu peringkat ketetapan dan kata muktamad kepada rancangan tindakan
yang khusus. Kaunselor seboleh-bolehnya
menolong kliennya merancang strategi-strategi yang hendak diambil termasuk
langkah-langkah perlaksanaan strategi tersebut. Peringkat ini lebih merupakan
peringkat memperjelaskan matlamat yang diharapkan oleh klien dan
menyesuaikannya dengan tindakan yang bakal diambil. Di tahap ini, proses
perancangan sudah hampir kepada tahap penyelesaian.
Peringkat ini
menunjukkan bahawa klien sudah mempunyai matlamat sendiri dan telah pun tahu
tindakan apa yang perlu dilakukannya. Perinkat ini merupakan peringkat terakhir
dalam fasa dua dan sudah pun hampir ketahap penyelesaian.
Fasa yang
terakhir ialah fasa tiga iaitu peringkat penilaian, penyusulan dan penamatan.
Kebiasaannya kaunselor yang telah berjaya melalui proses kaunseling di fasa
satu akan terus bergerak ke fasa tiga untuk menamatkan proses kaunseling yang
dijalankan bersama klien. Namun begitu, kaunselor juga boleh membuat penyusulan
terhadap kes klien jika itu difikirkan perlu oleh seseorang kaunselor.
Peringkat ini merupakan tahap pencapaian keputusan. Lazimnya satu penamatan sesi dicapai melalui
persetujuan pihak kaunselor dengan klien. Di peringkat ini hasil atau
pencapaian klien akan dirumuskan. Jika masih terdapat matlamat-matlamat yang
tidak tercapai, maka sebab-sebabnya haruslah dikenal pasti. Di peringkat ini pihak klien seharusnya sudah
berpuas hati dengan proses kaunseling.
Sebaliknya jika klien tidak mahu lagi meneruskan sesi, maka klien tersebut
bolehlah merujuk kepada kaunselor atau pakar-pakar lain. Penamatan juga boleh berlaku jika kaunselor
mendapati klien tidak mahu bekerjasama, tidak mahu berubah atau pun atas
permintaan klien sendiri.
Menurut George
& Cristiani, (1981) seorang kaunselor harus belajar menamatkan sesi
kaunseling dengan berkesan. Dia harus biasa dengan isu-isu dan kemahiran yang
terlibat secara langsung dalam proses penamatan temuduganya bagi menamatkan
hubungan dalam kaunselingnya itu. Dalam situasi ini kaunselor seharusnya telah
memberitahu kliennya bila sesi itu akan berakhir di awal lagi. Penamatan sesi
yang mengejut dan mendadak boleh memberi reaksi dan emosi negatif kepada klien.
Menurut Maznah
Baba & Zainal Madon (2003) terdapat beberapa panduan untuk menamatkan sesi
iaitunsebelum menamatkan sesi , kaunselor perlu membuat rumusan perkara yang
dibincangkan sepanjang sesi yang lepas dan memberi tugasan yang sesuai atau
menyatakan apakah rancangan dan perkara fokus pada sesi akan datang dengan
memberi ingatan dan dorongan kepada klien melaksanakan tugasan yang diberi
seterusnya memberi ruang kepada klien menerus atau menamatkan sesi dan
merancang temu janji akan datang. Kaunselor yang professional tidak mengalami
kesukaran untuk menamatkan sesi kaunseling dan bertindak dengan mudah seperti
mengubah sedikit kedudukannya atau meletakkan tangannya di atas birai kerusi
atau menyandarkan belakangnya jauh daripada klien. Semua ini member gambaran
kepada klien bahawa kaunselor tidak berminat untuk meneruskan sesi tersebut.
Dapatlah dirumuskan bahawa peringkat penamatan ini merupakan peringkat
penilaian kaunselor terhadap keberkesanan strategi atau teknik yang telah
diaplikasikan terhadap kliennya.
Sebaliknya, jika tidak berkesan, mungkin sesi dan tindakan susulan akan
diteruskan.
Walaupun proses kaunseling sudah ditamatkan, ini tidak bererti hubungan
antara kedua-duanya akan terputus langsung.
Sebaik-baiknya adalah digalakkan supaya kaunselor mengikuti perkembangan
klien yang pernah dibantunya. Penamatan dalam konteks ini hanya merupakan
pemberhentian proses kaunseling sahaja.
Oleh itu, kaunselor disarankan membuat penyusulan sama ada melalui jangka
pendek iaiti tiga hingga enam minggu atau melalui jangka panjang iaitu
sekurang-kurang selepas enam bulan penamatan. Kebiasaanya terdapat empat cara
untuk membuat penyusulan iaitu menjemput klien ke sesi untuk membincangkan
kemajuan berterusan dalam memenuhi matlamat yang ingin dicapai, melalui
telefon, klien boleh melaporkan kepada kaunselor secara verbal, kaunselor
menghantar surat kepada klien bertanyakan perkembangan terkini dan kaunselor
menghantar kepada klien soal selidik
berkenaan dengan tahap kefungsiaan terkini klien dan ini dilakukan
menerusi pos.
Jelas di sini bahawa proses menamatkan sesi pertemuan pertama ini merupakan
satu penilaian terhadap kaunselor yang
cuba melihat sejauh manakah peranan kliennya selepas dia menetapkan strategi
yang bakal diambilnya. Dari sini dapatlah dinilai sama ada perkhidmatan yang
telah diberikan dan proses pertemuan itu berjaya dan bermanfaat atau
sebaliknya. Justeru itu, mereka boleh mengukur adakah mereka sama-sama telah
memenuhi kehendak masing-masing atau jika sebaliknya adakah mereka telah menetapkan langkah
seterusnya bagi sesi yang akan datang.
-Muhammad Ilyas bin Zambri- (Cr. GIK)
Email ThisBlogThis!