Kerosakan Akibat Pengambilan Dadah Jenis Syabu , Ice , Meth dan Amphetamine Type Stimulant.
Syabu atau nama kimianya Methamphetamine, adalah dadah peransang jenis Amfetamina (Amphetamine-Type Stimulants, ATS).
Dadah jenis ini dihasilkan pada abad lalu dari dadah induknya
Amphetamine, yang dahulunya diguna untuk melegakan pernafasan akibat
hidung tersumbat.
Walau bagaimanapun, pada hari ini, kegunaannya
terhad untuk keadaan-keadan tertentu seperti untuk rawatan narkolepsi (
satu keadaan di mana seseorang rasa mengantuk dan tertidur secara
spontan), sindrome kurang penumpuan perhatian, dan kegemukan yang teruk
(untuk kegunaan bagi jangkamasa singkat)
Syabu dihasilkan di makmal haram dari bahan prekursor seperti Ephedrine, Pseudoephedrine dan Phenylpropanolamine.
Apabila kawalan yang ketat dikenakan ke atas prekursor, pengilang haram
ini mula mencuba resipi baru dengan menggunakan bahan-bahan lain yang
merbahaya, seperti asid bateri dan pencuci longkang.
Bahan-bahan ini meningkatkan lagi risiko pendedahan pengguna kepada kesan buruk dan kematian .
Syabu gred satu yang berkualiti berwarna putih kristal sementara syabu
gred dua warna putih kemerahan dan gred tiga pula rendah kualitinya
serta mempunyai rasa yang pahit.
APAKAH KESAN SEGERA SYABU?
Syabu ialah stimulan yang poten. Pengguna menggemarinya kerana ia
memberi rasa euphoria - rasa gembira dan menyeronokkan; rasa lebih
bertenaga dengan peningkatan aktiviti fizikal, hilang mengantuk,
peningkatan tumpuan perhatian, berjaga-jaga dan pengurangan selera.
Walaubagaimanapun, pengguna syabu akan mengalami kesan buruk seperti
mulut kering, berpeluh berlebihan, anak mata menjadi besar, menggeletar
dan sakit kepala.
Selepas kesan khayal, seseorang itu merasa
gelisah, cepat marah, gementar, kebingungan, fikiran terganggu dan boleh
bersifat ganas.
Pada dos yang tinggi dadah ini menaikkan suhu badan kepada tahap yang membahayakan, mengakibatkan sawan dan akhirnya maut.
APA BAHAYA SYABU KEPADA KESIHATAN?
Penggunaan syabu memudaratkan kesihatan kerana:
1. Toleran - kesan toleran terjadi dengan cepat mengakibatkan
penggunanya mengambil dos lebih dan berulang untuk meneruskan kesan
khayal yang dialaminya.
Dalam keadaan tertentu, pengguna tidak
makan atau tidur tetapi pada masa yang sama terus menyuntik dadah ini
sehingga 1 gram setiap 2 - 3 jam dalam jangka masa beberapa hari
sehingga bekalannya habis atau sehingga mereka tidak berupaya
meneruskannya.
Terdapat juga pengguna yang tahan tidak tidur dari 3 - 15 hari akibat dadah ini.
2. Penagihan - Pengguna dadah ini akan mengalami ketagihan dan juga penggantungan psikologi akibat pengambilan syabu.
Ketagihan ini akan berada pada tahap kronik dan berulang. Pemberhentian
pengambilan dadah ini akan menyebabkan kemurungan, kegelisahan,
keletihan, syak wasangka tanpa sebab, sifat ganas dan menagih untuk
mendapatkan dadah tersebut.
3. Pengabaian diri - Apabila di bawah pengaruh syabu, pengguna tidak makan, tidur dan mengabaikan diri sendiri.
Penggunaan pada dos tinggi akan menyebabkan hilang berat badan yang
ketara, muka menjadi pucat, pengabaian kesihatan diri dengan perpeluhan,
badan berbau, gigi kekuningan, berparut dan luka-luka di badan.
Kudis jelas kelihatan akibat pengguna syabu menggaru kulit untuk
menghapus bayangan serangga yang disangka berada pada kulitnya.
4. Kurang daya tahan kepada penyakit - Pengguna syabu yang mengabaikan
pemakanan dan tidur yang sempurna akan menjadi lemah dan kurang daya
tahan melawan penyakit.
5. Kerosakan pada otak dan sistem saraf seseorang -Penggunaan kronik mengakibatkan berkelakuan terlalu aktif, susah tidur
, kemurungan yang teruk, khayal, syak wasangka tanpa sebab, bersikap
garang, keganasan tidak terkawal, dan perlakuan psikotik seperti gila.
Penyelidik-penyelidik mendapati kerosakan pada sistem saraf dan otak
yang bolih menyebabkan gejala-gejala seperti penyakit Parkinson (dengan
gangguan pergerakan anggota-anggota badan) dan penyakit Alzheimer
(dengan kehilangan ingatan dan kekurangan daya berfikir).
6.
Gangguan metabolisma badan - dadah ini menyebabkan hilang selera yang
ketara, kurang pemakanan, kehilangan berat badan yang jelas, kurus dan
lain-lain masalah akibat metabolisma badan yang terjejas.
7.
Kerosakan pada jantung dan sistem pendarahan - dadah ini menyebabkan
degupan kencang, tidak menentu dan tekanan darah meningkat, yang
mengakibatkan sakit jantung dan maut. Kerosakan pada saluran darah
menyebabkan sakit ahmar.
8. Kerosakan pada sistem pernafasan -
dadah ini, lebih-lebih lagi jika dicemarkan dengan bahan berbahaya, akan
menyebabkan masalah pernafasan.
9. Gangguan kepada saluran
makanan - Kebuluran berlanjutan sebab tidak makan semasa pengambilan
syabu, serta bahan toksik dalam dadah yang dicampur dengan bahan lain
menyebabkan gangguan kepada perut dan sistem penghadaman.
10.
Bahaya semasa mengandung - penggunaan Methamphetamine semasa mengandung
akan menjejaskan pembentukan bayi, kelahiran sebelum cukup tempoh atau
keguguran.
Bayi yang dilahirkan adalah kecil, terlalu aktif dan
mudah gelisah. Dikhuatiri juga bayi ini akan mengalami masalah mental
dan masalah tumbesaran .
11. Kemalangan jalan raya - pengguna
syabu boleh terlibat dalam kemalangan jalan raya akibat kesan
kebingungan, khayal, paranoia, keganasan dan kelakuan psikotik.
12. Bahaya daripada exploitasi seks dan seks bebas - Hasil penyelidikan
mendapati pengguna Methamphetamine menjadi lebih berahi.
Penggunaan dadah ini sering dikaitkan dengan hubungan seks yang lebih ganas menyebabkan pendarahan dan luka.
Remaja terutama gadis-gadis di bawah pengaruh syabu akan terdedah
kepada bahaya ekploitasi seks serta hubungan jenis tidak selamat yang
boleh menyebabkan jangkitan HIV, hepatitis dan lain-lain penyakit
kelamin.
Penggunaan Methamphetamine dalam jangka masa panjang menyebabkan lelaki menghadapi masalah fungsi seks mereka.
13. Bahaya akibat HIV, Hepatitis dan lain-lain penyakit berjangkit -
penyakit-penyakit ini mungkin dijangkiti akibat amalan seks bebas atau
tanpa perlindungan semasa di bawah pengaruh dadah ini, dan juga dari
penggunaan alat-alat suntikan yang tercemar dan dikongsi.
14.
Masalah-masalah sosial lain - Semua aspek kehidupan seseorang termasuk
keluarganya, hubungan dengan orang lain dan kerja akan terjejas akibat
dadah ini.
Pengguna akan menghadapi pertelingkahan kerana masalah dadah dan kewangan akibat ketagihan dadah.
Di tempat kerja penyalahgunaan dadah ini akan bermasalah disebabkan
sifatnya yang cepat marah, tidak mesra dan kecenderungan kepada
keganasan.
Pengguna syabu juga mungkin terlibat dengan kejadian
jenayah spontan seperti meragut beg bimbit dan serangan untuk menampung
ketagihan mereka.
Sifat paranoia dan ganas ini boleh menyebabkan pengguna membunuh diri atau melakukan pembunuhan.
Di California, terdapat seorang lelaki yang semasa dibawah pengaruh
syabu mencuri sebuah kereta perisai milik agensi keselamatan National
Guard dan merosakkan beberapa kereta di jalanraya San Diego sebelum dia
akhirnya ditembak oleh polis.
APA KAWALAN UNDANG-UNDANG KE ATAS SYABU?.
Sebelum 29.11.97,
Methamphetamine dikawal sebagai bahan psikotropik di bawah Akta Racun
1952 (Disemak 1989) di mana pemilikan, penjualan atau bekalan tanpa
kuasa atau kebenaran/lesen boleh dikenakan tindakan mahkamah dan jika
sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 atau pemenjaraan
sehingga 4 tahun atau kedua-duanya sekali.
Pada 29.11.97
Methamphetamine diwartakan sebagai dadah berbahaya melalui P.U.(A) 500.
Pada masa itu di bawah Seksyen 12 sesiapa yang didapati mengimport,
mengeksport atau memiliki Methamphetamine tanpa kuasa atau kebenaran sah
melakukan kesalahan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman
tidak melebihi RM20,000 atau penjara sehingga 5 tahun atau kedua-duanya
sekali.
Menyedari hukuman di atas yang nyata adalah ringan
berbanding dengan bahaya dadah ini, Kementerian Kesihatan telah
mencadangkan Pindaan kepada Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Pindaan ini
telah diluluskan oleh Parlimen pada 1.7.1998 untuk meningkatkan hukuman
berkaitan dadah berbahaya dan meningkatkan kawalan ke atas dadah
peransang jenis Amfetamina termasuk syabu. Akta Dadah Berbahaya
(Pindaan) 1998 ini berkuatkuasa 15.9.1998.
Di bawah Pindaan ini -
Pemilik 50g dan lebih Methamphetamine dianggap sebagai mengedar dadah dan akan dihukum mati mandatori jika sabit kesalahan.
Pemilik lebih 30g tetapi kurang dari 50g Methamphetamine boleh
dikenakan hukuman penjara 5 tahun sehingga seumur hidup dan sebatan
tidak kurang dari 10 sebatan.
Pemilik lebih 5g tetapi kurang dari 30g Methamphetamine boleh dikenakan hukuman penjara 2-5 tahun dan sebatan 3-9 sebatan.
Pengguna yang menggunakan Methamphetamine ke atas diri sendiri boleh
dikenakan tindakan di bawah seksyen 15 Akta Dadah Berbahaya dan jika
disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 atau penjara
sehingga 2 tahun atau kedua-duanya.
Source :AADK Malaysia