Saturday, 27 September 2014

Allah Maha Pengampun


 

Allah SWT itu Maha Kaya. KekayaanNya membuatkan Dia tidak rasa sedikit pun rugi untuk mengampunkan hamba-hambaNya yang bersungguh dalam meminta pengampunan.
Dia sendiri tahu bahawa Dia menciptakan kita dalam keadaan kita akan terjebak dengan dosa. Dia tahu Dia tidak menciptakan kita untuk hidup suci tanpa kesilapan. Kerana kita hanya makhlukNya. Yang sempurna hanyalah Dia.
Namun Allah SWT tidak meninggalkan kita dengan ketidak sempurnaan kita begitu sahaja. Dia tidak lokek membukakan buat kita peluang-peluang keampunan. Allah SWT bahkan menyediakan banyak peluang untuk Dia mengampunkan kita.
Tinggal kita sahaja, apakah mahu mendapatkan keampunanNya atau tidak.
Seruan Untuk Tidak Berputus Asa
Allah SWT sangat memahami hamba-hambaNya. Dialah yang menciptakan kita, Dia amat mengetahui perihal kita luar dan dalam. Justeru Dia mengetahui juga pertarungan di dalam diri kita bila berhadapan dengan dosa-dosa kita.
Ada kalangan kita rasa bahawa dosanya banyak, hingga dirasakan Allah SWT telah mentakdirkannya untuk masuk ke neraka. Sedangkan sebenarnya, selagi belum kita mati, selagi itu masih ada peluang untuk kita membersihkan diri.
Allah SWT memahami keadaan ini, lantas Dia tidak lupa menyelitkan seruan agar kita tidak berputus asa dengan rahmatNya. Dia tidak pernah melupakan hamba-hambaNya, walaupun yang penuh dosa dan melakukan penderhakaan.
“Katakanlah (wahai Muhammad): (Bahawa Allah SWT berkata) Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah bulat-bulat kepadaNya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan.          “ Surah Az-Zumar ayat 53-54.
Betapa baiknya Allah SWT, dan betapa penyayangNya Dia kepada hamba-hambaNya.
Memang ada balasan untuk orang yang berdosa, namun Allah SWT tidak lupa memberikan peluang terlebih dahulu buat kita semua untuk sedar dan berubah.
Diserunya kita, diberinya kita harapan dan peluang.
Apakah balasan kita terhadap kebaikan ini?
 sumber: langitilahi.com

No comments:

Post a Comment

Keajaiban Menderma

  Dalam 1 program TV di Amerika, pengacara siaran tersebut mengiklankan tentang seorang pesakit yang memerlukan pembedahan segera yang berha...